LIKAS: "Phantom", Warga Asing Mengundi dan Kad Pengenalan Palsu

Berlakunya pengundi hantu, pengundi warga asing/PTI dan penggunaan IC palsu, adalah berpunca tidak adanya sikap jujur, amanah, profesional dan bertanggungjawab dikalangan banyak pihak sama ada orang politik, pegawai kerajaan, polis, SPR, JPN dan sebagainya. Kita lebih banyak mengarahkan matlamat dalam tugas-tugas yang diamanahkan untuk membuncitkan perut, menambahkan hartabenda, pangkat, kedudukan, kepentingan diri dan lain-lain. Sehingga keselamatan dan kedaulatan rakyat, undang-undang, bangsa, agama dan negara tertutup oleh semua kepentingan itu.

Sewaktu pilihanraya kecil DUN Lunas di Kedah, heboh pasal beberapa buah bas mengangkut pengundi hantu untuk mengundi di Lunas telah dikesan dan ditahan oleh pekerja-pekerja BA. Kini di Likas, phantom (hantu atau pengundi hantu jelmaan) telah dikesan oleh mahkamah. Akibat dari pengundi hantu itulah DUN Likas dibatalkan. Semua rakyat marhaen yang celik politik dan sensitif terhadap isu-isu penyelewengan dalam pilihanraya sedar dan tahu, kerja-kerja jelek, jahat dan penuh tipu helah itu adalah kerja yang dirancang dan dilakukan secara sistematik oleh UMNO/BN demi untuk memenangkan calon-calon mereka yang sudah tidak popular dimata rakyat.

Mereka UMNO/BN semahunya mempergunakan jentera kerajaan seperti JPN, Imigresen, Polis, Kemas, RTM, pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang boleh mereka perkudakan, walaupun hakikatnya susah untuk kita membuktikan dalam kelicikan mereka melakukan tipu helah yang sangat merugikan bangsa, mengancam keselamatan dan kedaulatan rakyat serta negara ini. Tetapi seluruh hati rakyat yang terbuka mata, akal dan terbuka mata hatinya, dapat melihat kerja-kerja jahat, berkepentingan diri, harta benda, pangkat dan kedudukan oleh pimpinan UMNO/BN pimpinan Dr Mahathir.

Benar UMNO/BN banyak membuat pembangunan itu ini, KLCC, KLIA, Putrajaya, Proton dan bermacam-macam lagi. Akan tetapi pusingan keuntungan dan manfaat hanya diperolehi oleh segelintir kroni, korporat dan suku sakat yang berkeliling dipinggang PM, Daim dan menteri-menteri atau ahli-ahli politik terdekat yang patuh taat tanpa soal. Inilah gejala-gejala tidak sihat yang akan menimpa jutaan rakyat majmuk Malaysia yang tidak tahu apa-apa.

Berbalik kita kepada, isu pengundi hantu, pengundi warga asing dan kad pengenalan palsu. Sedarkah SPR dan JPN, bahawa inilah punca DUN Likas dibatalkan. Apakah SPR dan JPN tidak cukup sedar dan faham dengan isyarat dan simbolik yang dihantar oleh Mahkamah. Kerana mengharapkan kepada jabatan kerajaan yang terlibat supaya menurut undang-undang dan peraturan dalam menjalankan amanah dan tugas kepada rakyat, negeri serta negara demi keselamatan dan kedaulatan rakyat dan negara terjamin. Apakah SPR dan JPN masih mahu membutakan mata, memekakkan telinga untuk terus membisu terhadap isu berbahaya yang sedang menjadi-jadi di Sabah, iaitu fenomena rakyat asing/PTI dengan mudah boleh mengundi, mudah pula dibenarkan mendaftar sebagai pengundi di mana-mana kawasan dan mudah juga mendapatkan kad pengenalan serta penggunaan kad pengenalan palsu yang berleluasa di Sabah. Perkara dan isu ini semacam sudah sebati seperti satu perkara yang sukar untuk di atasi secara jelas dan terbaik.

Benarkah kerajaan, khususnya melalui JPN yang ada kuasa melulus dan membatalkan kad pengenalan, apakah JPN juga sanggup melakukan sandiwara memalsukan IC dan meluluskan IC kepada warga asing supaya mereka itu boleh mengundi memilih wakil rakyat, tanpa mengikut peraturan dan undang-undang?. Begitu juga dengan SPR yang sepatut selaku badan bebas menjadi sebuah badan profesional bagi menjaga dan menjamin kesahihan setiap pilihanraya yang dijalankan di Malaysia benar-benar mengikut undang-undang yang sedia ada. Tegasnya, SPR mesti menjauhi amalan berat sebelah, sekalipun kepada parti yang sedang memerintah.

Punca terjadinya penggunaan kad pengenalan palsu, warga asing/PTI dibenar mengundi dan pengundi hantu, adalah disebabkan JPN dicerobohi dan SPR juga dicerobohi oleh anasir politik yang tidak mahu menerima kekalahan dalam setiap pilihanraya. Anasir itu tidak mahu ada parti lain menang, menganggap parti lain berbahaya, tidak pandai tadbir negeri dan macam-macam lagi anggapan khurafat politik yang cuba ditanamkan dalam pemikiran rakyat. Di Sabah, inilah faktor utama kenapa UMNO/BN berusaha mati-matian untuk mendaftarkan warga asing sebagai pengundi, kemudian memberikan mereka IC projek dan sebagainya.

Tiga isu ini, saling berkaitan rapat sekali. Kerana itu SPR jangan sekadar menuding kepada pihak lain khususnya JPN sahaja. Apa yang penting, SPR, JPN, Imigresen dan termasuk PDRM selaku pengawal keamanan dan keselamatan negara, dituntut agar lebih profesional dalam melaksanakan amanah rakyat, keselamatan dan kedaulatan rakyat dan negara mesti didahulukan dengan lain-lain tugas.

SPR sebagai badan bebas menguruskan urusan pilihanraya peganglah undang-undang yang ada, JPN peganglah undang-undang dan polis laksanakanlah undang-undang, manakala rakyat dan pemimpin politik sama ada PM, TPM, menteri hatta pegawai kerajaan begitulah juga hormati undang-undang. Insya-Allah, rakyat dan negara akan aman, lebih selamat dan terjaminlah kedaulatan rakyat dan negara Malaysia yang majmuk.

Kerana itu, sekiranya telah jelas pengundi itu warga asing, guna kad pengenalan orang lain, apa lagi IC palsu dan pengundi hantu yang tidak ada dalam daftar pemilih. Kemudian bahasanyapun, warna kulit dan suku bangsanyapun sudah jelas menandakan mereka bukan warganegara Malaysia. Cukup mudah membuat keputusan, jangan benarkan terus membuang undi, wajarnya mereka itu ditangkap, serah kepada polis untuk diambil tindakan. Inilah jalan lebih praktikal untuk mengatasi pengundi bukan warganegara, pemegang IC palsu dan pengundi hantu. Tindakan inilah sepatutnya diambil oleh petugas-petugas SPR. Jadilah sebuah badan bebas dan profesional sebenar.

Demikianlah, pentingnya sikap jujur, amanah, terbuka dan profesional kepada semua pihak, rakyat marhaen, lebih-lebih lagi badan-badan seperti SPR, Polis, JPN, parti-parti politik dan kepimpinan politik dan masyarakat. Sebab untuk mendidik serta mengasuh rakyat bersikap jujur, baik dan sebagainya itu pemimpin atau badan yang menguruskan urusan rakyat mesti terlebih dulu mencontohkan suatu kebaikan, sebagaimana kita mengasuhdidik anak-anak menjadi orang baik, soleh dan berguna kepada agama, bangsa, ummah dan negara.

Sekian.
Ibn Sabah,
5.7.2001M.

Jumlah pembaca:orang