Saya, Pholan Devi

Bab 6

Ketika itu ialah bulan "Baisakh". Pada satu hari yang panas terik, dengan pancaran mentari yang sungguh memenatkan, akupun dikahwinkan.

Sungguh banyak muka baru yang tidak pernah aku kenal sebelum itu. Lagi pun upacara itu bukannya amat bererti kepadaku. Aku keseorangan dan kehairanan. Yang aku ingat ialah menderita kebuluran, tidak sabar, dan
keletihan, namun aku kehairanan juga. Terdapat muzik dan nyanyian, dan para jemputan berlagak berbeza daripada perangai manusia biasa, sedangkan aku masih seperti biasa dengan skirt berwarna biru dan blaus. Ketinggianku tidak pun melepasi ketinggian seekor kambing jantan, badanku masih kurus laksana seekor kucing, dan perasaanku kegusaran laksana seekor tupai di dahan kayu, namun kehadiran manusia yang ramai itu cuba menenangkan diriku.

Aku tidak pun sedar ketibaan rombongan pengantin kerana aku sedang bekerja di seberang sungai, menggali parit untuk mengalirkan air ke batas sayur di kachwari. Sebaik selesai tugasan pada pagi itu, aku dan Chotipun merendmkan badan ke dalam sungai untuk mengelakkan serangan nayamuk yang berkeliaran cuba menggigit badan sepanjang pagi itu. Air sungai sudah cetek dan memudahkan kami berenang untuk menyeberang. Di tebing sungai air bermain di tepiannya sambil seekor burung berjaya menghunjamkan paruhnya menikam seekor ular yang berenang di permukaan air itu. Inilah yang membuatkan sekumpulan burung yang lain terjerit-jerit kerana cemburu.

Sambil kami bermain itu, aku melihat ibu datang daripada rumah membawa sesuatu. Cara dia berjalan itu aku dapat meneka dirinya sedang murung dan kepalanyapun tidak bertudung. Sebelum itu kami telah memberitahu bahawa kami akan pulang sebaik selesai kerja, dan itu adalah perkara biasa di mana kami akan mudah lupa akan janji kepadanya. Memang menyeronokkan bermain-main dalam air sambil kepanasan, lagipun memang seronok juga cuba menangkap ikan dengan tangan. Tetapi ibu selalu runsing kalau-kalau arus sungai yang deras menghanyutkan kami ataupun sesuatu yang tidak diingini terjadi di hadapan rumah Paradhan. Akupun ambil longgokan pakaianku dengan cepat untuk menemui ibu di pertengahan lorong.

Choti bertindak lebih bijak lagi: dia berlari sepanjang tebing sungai untuk pulang ke kampung tanpa disedari oleh sesiapa. Tetapi ibu sudahpun dapat mengesan aku. Dia seolah-olah tidak sabar dan bukannya memarahi aku. Lagipun dia datang itu membawa aku sehelai kain sari.

"Kan aku kata jangan bermain dalam sungai!" ibu mula meleter. "Tengok rupa kamu... penuh berlumpur!"

Ibu menyeret aku dengan menarik rambutku pulang ke kampung. Terlalu ramai orang menggunakan lorong itu sehinggakn aku tidak berapa perasan keadaan keliling yang sebenarnya. Apabila sampai, aku lihat rumahku dipenuhi oleh orang yang tidak aku kenali. Semua kaum ibu kampung itu ada juga, riang gembira sambil membelek-belek hadiah yang dilonggokkan di depan mata.

Pasukan "baraat" itu sudah pun tiba di rumah kami, sedangkan aku masih
berlumpur lagi dan rambutku berkecamuk rupanya. Aku tidakpun tahu di mana lagi mahu menyembunyikan diri. Aku merasa rimas melihatkan ramai orang luar dalam rumahku. Ada satu "pandal" yang dibina di depan rumah. Ini adalah kanvas berwarna putih yang dipasangdan dihiasi dengan juntaian dedaun mangga, serta pelepah pisang yang segar dan lebar daunnya yang digunakan sebagai tikar.

"Tengok," aku menarik perhatian Choti, "alangkah cantiknya."
"Ah, tak sehebat majlis Rukmini. Masa dia dulu banyak lagi bunganya, dan
ramai lagi manusianya. Hadiah pun banyak lagi masa itu."

Aku mengaku dengan pendapat adikku itu. Ibu bapa kami mesti terpaksa meminjam untuk membayar dauri anak perempuan kedua mereka. Apa pula yang mereka akan lakukan untuk Choti bila tiba gilirannya? Anak perempuan memang memeritkan, fikirku. Pada wktu itu baru aku teringat betapa aku belum menjamah sesuatupun sejak pagi.

Aku berlari memasuki rumah. "Amma, boleh sya makan capati? Tolong, amma, saya lapar!"

"Jangan." kata ibu. "Itu harus mengajar kamu jangan lari ke sana-sini pada hari perkahwinanmu! Kamu boleh makan kemudian! Mula-mula kau mesti mandi dulu."

Aku terpaksa mandi lima kali, setiap kali menggunakan wangian dan minyak yang berbeza. Apabila selesai, mereka melumur haldi pada tangan dan kakiku. Isteri kepada tukang gunting kampung itu mengadu kesukaran menyimpul rambutku untuk dibuat tocang. Terlalu pendek rambut itu katanya. Semasa kakak berkahwin dulu, rambutnya kelihatan cantik dan panjang. Sebelum itu rambutnya dicukur dulu untuk mengelakkan kutu beranak pinak.

Salah seorang pamanku di sebelah ibu telah membawa beberapa gelang yang
disarungkan oleh ibu kepada tangan dan kakiku. Aku juga mengenakan cincin di jari kakiku dan seutas rantai di leherku. Beberapa orang wanita telah membantu menyolekkan aku. Barulah aku tahu bahawa kain sari berwarna kuning itu adalah pakaianku. Aku terpaksa menggunakan hujung sari untuk menutup keseluruhan kepalaku. Inilah yang melindungi pandanganku. Namun, aku boleh merasakan tangan wanita yang menghiasiku dan memusingkan badanku.

Aku telah dipimpin untuk duduk di bawah Pandal. Kemudian aku mendenar banyak suara pada satu masa memberi pesanan apa yang mesti aku lakukan dan apa yang seharusnya aku lupakan; jangan bergerak, jangan buat kecoh, jangan menggeletik sepanjang upacara agama itu, dan menyebut sepatah perkataan pun!

"Kalau saya kehausan?"

Ibu mengoyang-goyang bahuku.

"Tidak boleh! Ini majlis perkahwinanmu! Faham tak? Phoolan! Kamu mesti duduk diam-diam sehingga selesai upacara itu!"

Aku dipaksa duduk diam di situ laksana satu patung dewi, tanpa mengetahui apa yang berlaku, dan tanpa melihat apa yang berlaku.

Ibu memberi satu amaran yang jelas. "Tengok sini, jangan kumu cuba
mengaibkan kami!"

Selain merasakan henyakan perut yang kelaparan, aku tidak merasakan sesuatu yang luarbiasa pada pagi itu. Aku mengharapkan adikku Choti dapat duduk di sisiku, tetapi dia ditegah berbuat begitu. Terpaksalah aku duduk bersendirian di bawah Pandal itu dan menunggu akan sesuatu. Aku dapt mendengarkan suara di sekeliling, tetapi tidak dapat mengenal suara mereka. Setiap kali aku menarik nafas, kain yang menutup muka turut tersedut menutup lubang hidungku, membuatkan aku berfikir mungkin tersedak. Belakangku terasa peritnya kerana tidak boleh mengerakkan badan ketika duduk. Ada kalanya aku goncangkan gelang untuk mendengar bunyi geserannya. Itulah pertama kali aku mengenakan banyak gelang di badan. Namun, aku naik marah kerana mereka tidakpun menunjukkan rupa rantai yang mereka gantung dileherku.

Lama-kelamaan, aku tidak tahan sabar. Aku pun menyingkap tudung muka kerana terasa tersangat dahaga.

"Choti! Mana choti? Suruh dia datang sekejap!"

Aku ditenangkan oleh Nayan isteri tukang gunting kampung, yang ditugaskan agar aku diam membisu. Dia tidak membenarkan permintaanku. Choti terpaksa menunggu di tempat lain. Dia bertegas denganku agar menurunkan semula penudung muka dan duduk diam tanpa berkata apa-apa. Aku merupakan penyeri majlis ketika itu, sebaliknya aku lebih rela menjadi salah seorang tetamu supaya dapat menyaksikan apa yang berlaku. Lagipun aku boleh makan dan minum.

Akhirnya, aku dibantu untuk berdiri. Aku dapat menghidu wangian 'sandalwood' (gaharu) yang dibakar ketika aku dipimpin oleh seorang lelaki yang tidakku kenali. Aku dpat rasakan kehadiran seorang lelaki di sisiku. Aku dimpimpin berjalan tujuh kali mengelilingi api, sambil seorang sami membaca mantranya. Kemudian, kain penudung muka dialihkan dan satu tanda bulat dicalitkan pada bahagian mulanya belahan rambut di dahiku. Ayah dan ibuku telah mengangkat tanganku dan meletakkan atas tangan lelaki yang tidak aku kenali. Namun, rupanya itu seolah-olah pernah aku lihat satu ketika dulu, cuma tidak pasti di mana. Satu tangan yang gempal dan berpeluh-peluh telah menutup tangan kecilku itu.

Aku cuma mahu mengangkat tudungku untuk melihat keadaan sekeliling. Aku fikir semua orang merasa seronok pada hari itu kecuali aku. Mahkota dedaun mangga yang dipasang di atas kepala sentiasa berguguran terlucut daripada kain sari yang licin yang menutupi kepalaku. Aku dapat merasakan mahkota itu akan habis teburai sedangkan tengkukku semakin kejang kerana terpaksa menahan kepala agar tidak bergoyang. "Jangan buat kecoh, Phoolan!" demikian amaran ibuku. Aku terpaksa berdiri di situ tanpa bergoyang walau sedetikpun sehingga merasakan perbuatan itu sudah memakan masa berjam-jam lamanya. Aku sudah merasa lapar dan dahaga.
Apabila petang menjelma, waktu aku terkencing sudah tiba.

Di sebalik tudung itu, aku terus mengomel mahu pergi ke tandas, tetapi
kelilingku terlalu bising untuk sesiapa mendengarnya. Akhirnya aku telah
dipimpin lagi, bukan untuk dibawa keluar supaya aku boleh kencing. Sebaliknya untuk duduk di pandal itu semula. Daripada sebalik kain sari yang menutup muka aku sudah dapat meneka wajah lelaki yang duduk di hadapanku. Kemudian kain penudung itu dibuka dan aku dapat perhatikan mata hitam orang yang memandangku.

Aku diunjukkan satu dulang tembaga yang berisi beras dan kelopak bebunga dan diberitahu untuk menaburkan isi itu kepada bahagian atas kepalanya. Ketika itu barulah aku teringat di mana pertama kali aku melihatnya. Itulah lelaki yang pernah datang dulu, dan yang pernah berkata kepada ibubapanya: "Aku setuju dengan perempuan itu."

Akupun menjadi isteri Putti Lal.

Aku taburkan segenggam beras di atas kepalanya. Ketika itu aku ternampak rambutnya yang sudah mula beruban. Dia memakai sehelai dhotti (kain putih yang tidak berjait di bahagian hujugnnya - penterjemah). Kurta yang dikenakannya itu mempunyai butang yang kelihatan mudah putus disebabkan perutnya yang buncit.

Aku terpaksa memberitahu Choti! Aku memusingkan muka dan melihat Choti
Berada di bahagian belakang. "Dialah orangnya, yang datang rumah kita dulu!"

Choti menutup muka dengan tangannya untuk ketawa. "Rupanya cukup tua layak menjadi ayah kita! Ejek Choti. "Kamu ada dua ayah sekarang!"
Dia mempunyai kumis yang tebal berwarna hitam, seperti warna kulitnya dan seperti juga warna kulit badanku. Badannya memang terlalu besar berbanding badanku! Aku terpaksa mendongak melihatnya apabila dia bangkit dari duduk sambil membiarkan beras dan kelopak bunga berguguran ke bumi. Dia tidakpun kacak seperti Ramphal abang iparku. Dia berbau tembakau dan daripada bawah ketika duduk itu, aku dapat melihatnya berdiri dan nampak semua bulu hidungnya.

Dengan merangkul dua tapak tangannya, dia membongkok di hadapan ayah,
kemudian di hadapan ibu pula, paman-pamanku dan ahli keluarga yang lain.
Kemudian dia melangkah pergi.

Tamatlah upacara itu. Akupun merasa bebas semula.

Aku tanggalkan sari dan menyarung semula 'skirt' dan blaus. Memang lega
rasanya dapat melihat tapak kaki semula. Akupun berlari ke kawasan ladang untuk melepaskan apa juga yang patut aku lepaskan di sana. Keadaan bertukar seperti biasa semula. Kali itu bukan sahaja Choti yang mengikuti aku, ada juga beberapa wanita yang mengekori kami kerana takutkan aku tercicir barang kemas yang masih melekap di badanku. Pada waktu yang sama, Putti Lal dan ahli keluarganya menghadapai makan malam di satu khemah yang dipasang di bahagian luar kampung kami.

Setiba kembali di rumahku, aku diberi makan dan minum. Ada orang memberitahu aku, adalah merupakan adat kaum kami agar aku berpuasa sehinggalah selesai upacara perkahwinan tadi. Oleh kerana ramai yang datang itu masih mahu membelek-belek perhiasan barang kemas yang dipakai oleh Phoolan, akupun menjadi bahan belekan. Itulah pengalaman baru di mana aku dilayan dengan baiknya. Belum ada pengalaman begitu sebelum itu. Ramai kaum perempuan yang bertanya apakah aku gembira. Mana aku tahu. "Kamu akan lihat," kata salah seorang mereka. "Hidup kamu akan berubah dengan perkahwinan ini." Aku tidakpun faham maksudnya, walaupun sedap juga bunyinya. Apakah aku boleh dibiarkan memakai terus gelang-gelang ini?

Hari sudah larut malam. Kaum ibu kampungku masih lagi menunggu dan berborak kosong di rumahku. "Choti, kenapa mereka buat semua ini?" demikian bisikku kepada adikku. "Semua makanan yang lazat-lazat? Semua senyuman mereka? Semua gelagat perempuan yang mahu bercakap denganku dan menyentuh perhiasanku?"

Aku semakin rimas dengan itu semua. Perhiasan, muzik, manisan, dan semua mata yang merenung padaku. Rambutku masih lagi terikat di bahagian belakang dengan ketatnya, memeritkan kepalaku. Tanganku masih diselaputi haldi dan aku sudah semakin muak mendengar bunyi geselan gelang di tangan dan kaki setiap kali aku bergerak. Aku semakin muak dangan temasya itu. Keseluruhan upacara itu aku anggap laksana satu permainan sahaja. Ia menyeronokkan kepada semua tetapi tidak kepadaku. Aku sudah keletihan, tetapi aku teringin melihat perhiasan yang mewarnai 'Jawasha' - khemah besar yang dipasang oleh Sarpanch untuk kegunaan Putti Lal dan para jemputannya.

Sambil berkaki ayam dalam malam yang gelap dan ditemani oleh Choti akupun memanjat bahagian teres rumahku, tempat kami menjemur periuk belanga kegunaan dapur. Kami dapat melihat khemah besar yang dipasang di kawasan ladang di luar kampung. Satu pembesar suara di pasang di batang pokok tidak jauh daripada khemah itu untuk membolehkan orang kampung mendengar irama yang dimainkan. Memang lebih ramai tetamu di situ berbanding yang datang ke rumahku. Ramai yang berbaring di atas tikar, ada pula yang cuma berborak dan ada yang bermain terup. "Tengok Choti!" Aku menjerit kepada adikku. "Ada pula orang yang sedang menulis!"

Kami semakin terpesona. Laksana burung malam yang tertenggek di atas bumbung kami berbisik dengan keseronokan. Seluruh keluarga kami ada bersama ketika itu. Choti bertindak mahu mengikuti mereka. Tetapi aku terlalu kepenatan untuk mengikutinya. Oleh kerana orang lain tidak meminatiku lagi, aku pun turun untuk mencari tempat melelapkan mata.

Di bawah pandal, tempatku menjalani upacara siang itu masih ada lagi hamparan daun pisang. Aku berbaring di situ dan tertidur dalam masa yang singkat. Aku keletihan kerana tugas seharian, namun semakin terpesona dengan irama lagu dan hilai ketawa yang terdengar sayup-sayup itu.

Aku terdengarkan satu suara meneriak namaku ....

Hari sudah pagi, dan ada orang mencariku. Siap yang mencari itu tentu tidak teringat mencari aku di bawah Pandal. Kemudian, barulah dua tangan kecil menyingkap sungukupan itu.

"Siapa yang menyorok di bawah tu?" Tanya adikku.

Aku menggosok mata dengan tanganku dan baru sedar ia masih berwarna kuning. Itu warna haldi! Baru aku tersedar bahawa sehari sebelum itu ada upacara istimewa membabitkan aku.

"Ini dia! Pengantin kita!"

Aku menganggapkan semuanya sudah selesai. Rupanya tidak. Aku dimandikan lagi dan dipakaikan sari berwarna ungu yang berkilau dipancar mentari. Choti tersengeh-sengeh sahaja sambil bertandak laksana ungka. Dia beritahu betapa dia sudah hitung jumlah hadiah: ada sari, ada gelang dan banyak alatan dapur. Dia juga sudah mula menyibuk. Dia dapat tahu Putti Lal mempunyai sebuah rumah dua tingkat dan ladang di satu kampung lain. Dia telah dibayar lima ribu rupee sebagai bayaran dauri, bersama seekor lembu dan seekor kambing. "Jumlah rupeenya tidak sama banyaknya dengan harga dauri Rukmini!" kata Choti.

Sambil berpakaian dhotti dan kurta yang baru, Putti Lal telah datang semula bertemankan bapanya ke rumahku. Pada pagi itu, dia memang kelihatan setua manusia yang aku lihat sehari sebelumnya. Rambutnya sudahpun beruban di bahagian tepi, badannya gemuk dan dia mempunyai bibir yang tebal dan kening hitam yang tebal juga. Dia tidak lagi kelihatan setenang yang ditunjukkan pada petang semalam.

Aku dapat rasakan sesuatu yang tidak kena. Ibu bapaku duduk bersebelahan di atas khat di luar rumah, sambil menunjukkan rupa yang tidak menyenangkan. Mereka sedang bercakap dengan Putti Lal dan bapanya sedangkan aku menunggu di halaman dengan sari dan gelang. Aku mengagak bahawa tibalah masa perpisahan dan dengan upacara itu orang itu akan bertolak pulang ke rumahnya. Dia akan pulang laksana kepulangan suami Rukmini sambil menunggukan aku membesar sebelum membawa aku pergi. Aku mengagak umurku akan mencecah enambelas tahun sebelum dia datang untuk mengambil aku. Mereka telah memanggil aku keluar rumah.

Putti Lai mulakan dengan satu tangan menanggalkan satu simpulan yang dibuat pada sari aku pagi itu. Aku mula gugup, tetapi ibu berkata perkara itu adalah amalan biasa mengikut adat.

Ketika dia cuba membuka simpulan itu, dia berakta: “Saya mahu bawa dia bersama."

Ayah menundukkan kepalanya: "Kami setuju! Kata ayah terketar-ketar. Dia masih muda, dia belum sesuai menjadi isteri kamu."

"Tetapi saya memerlukannya. Ayah saya tinggal sendirian bersama saya di rumah. Kami memerlukan seseorang untuk memasak dan buat kerja rumah. Saya mahu membawanya pulang sekarang."

Ibu mula menangis.

Perkara itu tidaklah begitu menyulitkan kepadaku. Orang ini hanya mahukan aku mengikutinya pulang ke kampung untuk membuat kerja-kerja rumahnya. Aku pernah tinggal di rumah nenekku dan juga di rumah Rukmini, tetapi aku pulang semula ke rumahku. Aku beranggpan dia mempunyai lembu untuk diberi makan, pakaian untuk dicuci, dan segala tugas harian yang biasa dilaksanakan oleh gadis lain di kampungku. Kenapa ibu mengeluarkan airmata?

"Jangan menangis Amma," kataku. "Saya akan pulang juga."

Ayah pula mula bersedu-sedu. Dia letakkan kepala dalam sungkupan tangannya. Dia terus mengulangkan kata-kata betapa aku masih muda sangat untuk keluar meninggalkan keluarga. Aku tidak faham juga. Memanglah aku lebih suka tinggal di rumah dengan Choti dan kawan-kawan sekampung yang lain. Memang aku takutkan juga orang tua ini dan bapanya yang lebih tua lagi. Tetapi aku kurang takutkan mereka berbanding ketakutanku kepada Mayadin. Dia tidak menghadiri majlis perkahwinan aku, tetapi aku tahu dia memang tidak  membantahnya. Semua orang sudah ditanyakan pendapat kalau-kalau ada yang membantah. Tidak adapun yang membantahnya. Tentu Mayadin sudah memikirkan apabila aku sudah berkahwin aku tidak lagi mengacaunya.Tetapi dia akan tahu juga bagaiman dia tersilap congak.

"Jangan menangis Buppa! Jangan takut! Saya akan balik," kataku.

Ayah tahu adalah melanggari undang-undang untuk suamiku membawa aku pulang menetap di rumahnya. Mengambil seorang yang berusia sebelas tahun adalah serupa dengan mengambil seorang hamba abdi. Bezanya ialah kami yang membayarnya. Tetapi, aku tidak tahu semua itu. Aku juga tidak tahu apa yang patut dibuat oleh seorang lelaki dan seorang wanita apabila mereka sudah berkahwin. Tidak siapapun yang menceritakan padaku bagaimana seorang bayi itu boleh dilahirkan. Setiapkali aku melihat gadis yang lebih tua menyorokkan kain yang berdarah di kawasan kebun, aku fikir mereka tercedera. Aku juga tahu darah itu tidak suci dan mesti dibersihkan di luar rumah.

Aku turut menangis pula. Tetapi tangisan itu bukannya kerana aku takutkan orang tua itu dan apa yang akan dilakukannya. Aku menangis itu disebabkan tidak tahan melihatkan ayah dan ibu menangis ketika itu.

Pagi itu masih awal lagi. Di luar rumah sudah tersedia satu kereta lembu yang mempunyai kereta yang dicat berwarna warni dengan indahnya. Sambil Putti Lal  berbincang dengan ibu dan ayah, salah seorang sepupu ibuku telah mengangkat aku dan meletakkan aku di kerusi besar di bahagian depan. Di bahagian atas tempat duduk itu ada satu keping kanvas yang terpasang bertiangkan dua batang buluh. Tujuannya untuk melindungkan muka daripada pancaran mentari. Aku sedar aku lapar semula, kerana tidak siapa yang memberikan aku sarapan pagi. Tetapi, semua itu sudah terlambat. Putti Lal naik kereta itu dan duduk di bahagian kerusi yang tinggi, sedangkan lima orang ahli keluarganya yang perempuan naik di bahagian belakang. Lembu jantan itu bergerak dan dua roda yang besar
itu pun bergerak sama untuk memulakan perjalanan kami. Aku rasa kecut serta merta. Ke manakah mereka membawa aku? Aku berpusing ke belakang mencari ayah dan ibuku. Ibu sedang berdiri tegak dengan dua tanganya mencekak pinggang, satu tanda yang dia sedang meradang, tetapi aku tidak dapat mengamati wajahnya sebenar disebabkan tudung mukaku. Ayah msih menangis lagi dengan kepalanya tunduk dan badannya terus membongkok.

Choti dan kanak-kanak yang lain masih lari terloncat-loncat mengiringi
perjalanan kereta lembu. Sejurus kemudian mereka berpatah balik membiarkan aku. Untuk satu ketika, Choti berdiri di tengah jalan, membiarkan dirinya di panas mentari mengangkat tangan ke atas sambil melambai-lambai mengucapkan aku selamat jalan. Kemudian dia berpusing dan berjalan menghala kampungku. Tinggallah aku dalam kereta lembu bersama manusia yang tidakpun aku kenali sebelum itu.

Apabila kami sampai di persimpangan jalan besar, Putti Lal turun bersama dua orang wanita yang mengikutinya. Mereka berkata mahu menaiki bas pulang ke rumah dan mahu terus mencari sesuatu untuk diminum. Kami berhenti di tepi sebuah kebun. Akupun turun sama dan mula terasa lapar. Aku cuba memasuki kawasan kebun mencari sesuatu untuk dikunyah. Tetapi perbuatanku itu diperhatikan oleh seorang wanita yang menegah dan memberikan amaran: "Kamu bukan seorang budak kecil lagi, kamu sudah menjadi seorang 'dulhan'! Kamu akan dapat makan apabila sampai nanti!"

Aku pernah terdengar si polan ank si polan adalah dulhan kepada si polan anak si polan. Ini bererti mereka adalah dulhan kepada lelaki itu. Mayadin ada  dua orang dulhan. Dua bini rupanya.

Aku mula mengeluarkan airmata. "Aku ini dulhan kepada siapa?" tanyaku sambil menggeletar. "Kerana ayah dan ibuku tidak ada di sini, kamu pandai-pandai sahaja buatkan aku ni seorang dulhan? Ini tidak betul!"

"Kamu adalah dulhan kepada Putti Lal! Bangang!"

Wanita itu mula ketawa terbahak-bahak, sedangkan aku terus menangis dengan sekuat hatiku.

Orang tua yang merupakan bapa Putti Lal datang menenangkanku.

"Jangan menangis. Ayah akan beri kamu susu lembu yang lazat bila kita sampai nanti.!"

...bersambung 6A
Phoolandevi88@hotmail.com

Terjemahan oleh SPAR-10

Jumlah pembaca:orang