Politik 'Kait-Mengait' UMNO/BN 2001

Ketakutan UMNO/BN dan juga seluruh kepimpinan mereka, terutama ketua mereka Dr Mahathir akan kehilangan kuasa politik pada 2003/4 nanti. Benar-benar semakin menjadi kenyataan, apa lagi dalam keadaan rakyat Malaysia sudah mula menerima budaya politik baru bawaan gabungan pembangkang dalam BA tidak menampakkan semangat rakyat menurun dari memberikan sokongan kepada BA. Bahkan rakyat semakin mara dan bersemangat menyokong dengan membanjiri kebanyakan program yang diadakan oleh parti-parti BA di sana-sini. Walaupun, ada saja sekatan, larangan, ugutan dan sebagainya daripada 'kuda' tunggangan parti UMNO/BN bagi menghalang rakyat atau ahli-ahli parti dari menghadiri majlis atau program yang diadakan oleh BA di seluruh negara.

Ilmu 'kait-mengait' lazimnya hanya diguna oleh tukang jahit yang menjahit 'menyulam' atau kerja-kerja jahitan secara tangan. Tapi dalam kerja politik hari ini khususnya cara berpolitik UMNO/BN pimpinan Dr Mahathir, mereka terpaksa belajar ilmu politik 'kait-mengait' ini. Mereka hilang akal dan upaya untuk mencari teori politik sebenar 'paling ampuh dan berbisa' bagi melawan badai arus kuat pengaruh parti-parti BA sekarang yang melanda politik wajah baru di bumi Malaysia. Bermula dengan 'mengaitkan' parti pembangkang dalam gabungan BA, PAS, DAP, KeADILan dan PRM, para pendokong, penyokong serta NGO's yang cenderung kepada BA sebagai agen asing, pemecahbelah umat, pemecahbelah orang Melayu dan hendak mengguling kerajaan.

Dikaitkan lagi pembangkang atau BA menghasut pelajar universiti, menghasut rakyat, pelajar dan golongan muda supaya membenci kerajaan berkebetulan parti kerajaan itu ialah UMNO/BN yang dipimpin oleh Dr Mahathir. Parti yang menang tapi hati kecil rakyat mempersoalkan kemenangan mereka yang bersalut dengan kontroversi. Dalam keadaan sokongan rakyat terhadap UMNO/BN semakin mengecut atau mengecil itu. UMNO/BN dan para pemimpinnya sejak dulu, kini dan selamanya mengamalkan politik 'kait-mengait' ini. Malah semakin ghairah, semakin rancak dan semakin bercelaru mereka 'kait-mengait'kan lawan politik mereka dalam BA dengan berbagai-bagai isu yang sengaja direka-reka, dibuat-buat dan dilakon-lakonkan dengan satu harapan agar rakyat kembali menyokong UMNO/BN dan kepimpinan mereka yang dilanda resah gelisah itu.

Berbuih mulut menyebut satu demi satu isu-isu yang direka-reka itu yang mereka (para pemimpin UMNO/BN) cuba 'kait-mengait'kan dengan BA. Jenuh tulis dan rakyat sendiri boleh menyenaraikan satu persatu isu yang diada-adakan atau di'kait-kait'kan dengan para penyokong, pendokong dan para pemimpin BA, sejak dari pemecatan DS Anwar Ibrahim hingga tahun 2001 ini. Tanpa ada angin dan ribut tiba-tiba muncul satu isu baru yang dibuat-buat. Cuma satu matlamat mereka bagi membolak-balikkan hati rakyat supaya tidak meneruskan sokongan kepada parti-parti BA itu sahaja. Dan senang untuk UMNO/BN dan para pemimpinnya berkuasa dan merompak harta rakyat Malaysia bagi diagihkan sesama mereka dan kroni-kroni atas pelbagai nama-nama indah dan memukau hati jiwa rakyat. Oh! betapa bagusnya parti UMNO/BN membela nasib rakyat dan perihatin terhadap kesusahan rakyat jelata.

Ahli UMNO/BN yang sudah lama terbius otak dan hati mereka bolehlah ditipu hidup-hidup oleh para pemimpin UMNO/BN. Namun, rakyat yang sudah celik mata, terbuka mata hati dan akal fikiran mereka. UMNO/BN jangan cuba nak sumbat budaya jumud dan beku mereka selama menguasai politik Malaysia khususnya di zaman 20 tahun Mahathir mengepalai UMNO/BN dan sebagai parti kerajaan yang ditunjangi UMNO itu.

Dan UMNO/BN dan para pemimpinnya tidak akan berhenti menyalak dan terjerit-jerit ke sana ke mari membawa modal politik 'kait-mengait' itu. Banyak sudah isu yang di'kait-kait'kan dengan parti-parti BA, bukan setakat mengadu-dombakan parti-parti BA seperti PAS dengan DAP dalam isu 'negara Islam'. Semua lapisan rakyat yang cenderung kepada BA akan diheret untuk sama-sama mereka bagi mengkambinghitamkan para pemimpin, penyokong, ahli dan parti-parti BA. Yang terbaru ialah isu KMM dan lagi baru kumpulan 'bawah tanah' yang akan menggulingkan kerajaan UMNO/BN. Siapa yang menamakan kumpulan 'bawah tanah' ini kalau bukan para pemimpin UMNO/BN sendiri. Ini dikaitkan dengan pelajar-pelajar universiti dan pensyarah. Di mana logiknya para pemimpin UMNO/BN membesarkan isu ini dengan hanya beberapa maklumat pinggiran yang tidak tentu kesahihannya. Dan mendapatkan 'surat akuan sumpah' entah kali ke berapa surat seperti dirancang dan ditaja oleh para pemimpin UMNO/BN dan para konspirator mereka untuk di'kait-kait'kan pula dengan BA serta pendokong BA yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi di negara ini. Dulu ketika mereka (Mahathir dan UMNO) hendak singkirkan DS Anwar Ibrahim, mereka buat 'surat akuan sumpah' Azizan dan Umi Hafilda, adik angkat Anwar Ibrahim dan sebagainya. Arah tujunya semata-mata hendak mengkambinghitamkan manusia yang mereka takuti, geruni atau lawan politik mereka.

Adakah benar pelajar universiti di Malaysia hari ini hendak gulingkan kerajaan? Ini sebenarnya lebih merupakan tuduhan melulu dan jahat para pemimpin UMNO/BN yang dikepalai Dr Mahathir terhadap golongan pelajar dan pensyarah. Mujur dia bukan seorang ahli politik sebenar tapi hanya seorang doktor, sebagaimana dia kata dia beruntung bukan seorang ahli ekonomi tapi cuma seorang doktor dan tidak terikat dengan teori ekonomi. Sekiranya dia seorang ahli politik sebenar bukan seorang doktor, pasti keadaan politik Malaysia akan lebih telus dan baik. Kerana dia seorang doktor yang berpolitiklah menjadikan jangkaan politiknya banyak yang meleset dan dipenuhi dengan amalan serta tindakan dendam politik terhadap musuh politiknya secara buta-tuli ikut kemahuan nafsu dan akal jahatnya sebagai seorang bukan ahli politik yang pakar politik.

Disebabkan Dr Mahathir bukan seorang pakar politiklah membuatkan UMNO/BN semakin ditolak rakyat. Dia membelakangi teori telus dalam politik itu sendiri. Justeru kaburnya dia memahami pengertian politik dari sumber ilmu politik inilah kenapa UMNO/BN, Dr Mahathir dan kroni-kroninya terus beramal dengan politik 'kait-mengait'kan lawan politiknya dengan isu-isu bikinan yang direka-reka dengan harapan musuhnya akan jadi kambing hitam.

Akan dalam kesedaran politik di kalangan rakyat majmuk Malaysia hari ini begitu tinggi dan memuncak yang berada di luar kawalan. Percayalah, dan bawalah segala macam isu-isu yang direka-reka itu di hadapan rakyat yang pasti rakyat akan menilai setiap kebenaran dan kepalsuan UMNO/BN. Rakyat tidak akan selama-lamanya mahu ditipu hidup-hidup oleh Mahathir dan kroni-kroninya dalam UMNO/BN itu.

Akhirnya, isu-isu yang mereka reka-reka dan buat-buat akan menimbus diri-diri mereka dan UMNO/BN akan mati dalam timbusan pelbagai isu yang mereka ada-adakan. Dan yang pasti rakyat tidak akan tertipu lagi.

Rakyat majmuk Malaysia akan tetap menolak UMNO/BN dan kepimpinan Mahathir yang telah banyak melukai hati kecil rakyat Malaysia. Dari pelajar universiti, pensyarah, guru-guru, ustaz-ustazah, rakyat biasapun UMNO/BN dan para pemimpinnya musuhi. Apa lagi para pemimpin, ahli dan penyokong BA, jangan tanya. Bagaimana UMNO/BN dan para pemimpinnya menghentam, menuduh, mengkambinghitamkan dan sebagainya.

Yang jelasnya, UMNO/BN dan pemimpin-pemimpinnya berpolitik di luar 'kewarasan' dan amalan politik yang normal dalam sistem demokrasi di Malaysia.

Ibn Sabah,
4.9.2001M

Kunjungan: