SEKADAR RENUNGAN 2

Oleh Pena Suasa

DI Parit Buntar, Abd Rahman Sulaiman juga tewas sebagai Ketua Umno Bahagian di tangan Datuk Abdul Raman Suliman.

Abd Rahman dianggap sebagai “orang Anwar” manakala Datuk Abdul Raman pula dikenali sebagai “orang Abdullah Ahmad Badawi”.

Sebagai seorang bekas Ketua Pengarang Bernama, Abd Rahman tidak dipilih menjadi calon dalam pilihan raya umum ke 10 walaupun dia adalah Ketua Umno Bahagian tetapi Datuk Abd Raman diletakkan sebagai calon BN walaupun tidak berjawatan dalam Umno bahagian.

Bagaimana pun, Datuk Abdul Raman tewas di tangan Datuk Dr. Hassan Ali (Pas) dan sejak dari saat itu, dia bekerja keras untuk menjadi Ketua Umno Bahagian Parit Buntar semula.

Hari Ahad, 22 April 2001 sahlah Abd Rahman disingkirkan dari kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian Parit Buntar.

Selepas Datuk Ruhanie Ahmad, Datuk Abu Zahar Nika Ujang, Datuk Fauzi Abd Rahman, Datuk Dr. Ibrahim Saad, Datuk Dr. Afiffuddin Omar dan Abd Rahman Sulaiman, siapakah lagi yang masih berharap mereka boleh “hidup” dalam Umno?

Kalaulah mereka semua ini ada sedikit lagi keberanian, bukan berani seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Ezam Md Nor tetapi sedikit keberanian, meninggalkan Umno dan bersama-sama berjuang dalam keADILan, mungkin hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berada di luar penjara dan bukan Dr. Mahathir Mohamad Perdana Menteri Malaysia.

Nyata mereka menunggu sesuatu. Mereka percaya mereka masih ada tempat dalam Umno dan persetan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Persetan kezaliman dan persetan perjuangan. Akhirnya, kesemua mereka, yang naik kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim diletakkan di kaki lima Umno.

Pada tarikh yang sama, 22hb. April 2001 seorang lagi orang yang banyak dapat bantuan dari Datuk Seri Anwar dalam kerjaya politiknya, Datuk Seri Abu Zahar Isnin juga diketepikan oleh menantu Tun Ghafar Baba, Kapten (B) Ahmad Hamzah.

Abu Zahar boleh sahaja menafikan dia “budak Anwar Ibrahim” tetapi tiada siapa yang dapat menafikan.

Dr. Mahathir menghinanya dengan memberikannya jawatan Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri walaupun ketika itu dia adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Melaka. Dia masih menunggu di situ, kononnya dia boleh hidup dalam politik kalau dia meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikatnya tidak begitu. Dia akan menerima nasib malang berturut-turutan kerana Dr. Mahathir tidak akan percaya dengannya. Kini, selepas tiada apa-apa jawatan dalam Umno, dia hanya menunggu masa untuk disembelih oleh Dr. Mahathir.

Kalau mereka sedar, mereka juga hebat seperti YB Saifuddin Nasution dan YB datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail. Tetapi disebabkan mereka semua “penakut”, maka tempatnya ialah “kaki lima Umno”.