BERAKHIRNYA ERA SANUSI JUNID DI KEDAH

Oleh Pena Suasa

TIADA siapa yang menyangka Datuk Hassan Bulat boleh tewas dalam usaha mempertahankan kerusi Timbalan Ketua Umno Bahagian Langkawi.

Sebelum kekalahannya, Hassan bercerita kononnya mahu membawa balik Tan Sri Sanusi Junid sebagai Ketua Umno Bahagian Langkawi.

Mendengar ceritanya, Hassan seolah-olah yakin siapa yang dia kehendaki menjadi Ketua Umno Bahagian Langkawi akan “menjadi” tetapi nasibnya sendiri, gelap.

Hassan dikenali sebagai penyokong kuat Sanusi Junid. Dia adalah Exco Kerajaan Negeri Kedah. Bila dia kalah, maka berakhirlah era dan regim Sanusi di Kedah.

Orang-orang Sanusi lain yang turut kalah di Kedah ialah Md Rozai Safian yang juga bekas Setiausaha Perhubungan Umno Kedah ketika Sanusi menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri itu.

Md Rozai juga adalah bekas SUSK Sanusi ketika Sanusi menjadi Menteri Pertanian dan bekas Setiausaha Politik Sanusi ketika Sanusi menjadi MB Kedah. Md Rozai yang cukup kaya dan masih disiasat kerana “isu duit pilihan raya RM10 juta” tewas di tangan Datuk Othman Abdul untuk menjadi Ketua Umno Bahagian Pendang.

Bekas Setiausaha Khas Sanusi, Md Akhir Safie juga kalah dalam usahanya menjadi Ketua Umno Bahagian Sungai Petani.

Seorang lagi penulis ucapan Sanusi, Prof. Mahadzir Mohd Khir juga tewas di Sungai Petani.

Cuma, Datuk Ghazali Ibrahim menang di Padang Terap tetapi Persidangan Umno Padang Terap digantung dan Ghazali yang berjaya mengalahkan Datuk Dr. Afiffudin Haji Omar tidak dibenarkan melantik Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan Bahagian itu sehingga suatu waktu yang akan diberitahu kelak.

Apakah Sanusi masih bercita-cita untuk kembali ke Kedah kerana Datuk Badruldin Amiruldin masih menjadi Ketua Umno Bahagian Yan dan Ahmad Lebai Sudin masih kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Pokok Sena?