Bolehkah UMNO Bertahan?

Peristiwa-peristiwa yang berlaku kebelakangan ini mungkin telah membawa kepada timbulnya persoalan-persoalan yang hangat tentang selama mana Dr. Mahathir dapat mempertahankan kuasanya. Mungkin lebih dalam dari itu adalah persoalan tentang keupayaan parti di bawahnya untuk terus hidup. Bolehkah UMNO, yang ternyata tidak dapat dibezakan dengan kerajaan  dan telah memegang tampuk pemerintahan negara sejak merdeka itu, dapat terus membentuk kerajaan sampai bila-bila?

Oleh Dr Maznah Mohamad

Apabila UMNO diisytiharkan haram pada tahun 1998, ramai yang meramalkan itu sebagai satu petanda yang pasti akan membawa kepada kemusnahannya. Namun itu tidak pula berlaku. UMNO tidak pupus terus kerana campur tangan badan kehakiman. Ia telah dilahirkan semula sebagai UMNO baru tetapi di dalam sarung lamanya. Ia telah dikembalikan kepada status quo ante. Pada hari ini, perkataan ‘politik wang’ yang sering dilaung-laungkan sebagai masalah UMNO semakin kuat kedengaran. Malah Ummi Hafilda, saksi utama di dalam kes perbicaraan Anwar Ibrahim, pergi lebih jauh lagi sehingga sanggup mengaib dan memecahbelahkan keluarganya sendiri, semuanya demi ‘menyelamatkan’ parti UMNO. Presiden parti itu pernah menyebut separuh serius tentang tiada siapapun yang layak menduduki tempatnya melainkan ‘kembarnya’. Semua ini jelas menunjukkan bahawa parti UMNO kini dilanda masalah yang besar sekali lagi.

Walau bagaimanapun, kebimbangan ramai tentang kemungkinan UMNO akan berpecah dikurangkan dengan kepercayaan mereka terhadap Mahathir. Tiada masalah yang  beliau tidak dapat selesaikan. Bahkan tidak mustahil beliau dan partinya itu akan menjadi lebih berjaya lagi selepas krisis tersebut. Maka timbullah satu pertanyaan. Apakah perkara yang sama akan berlaku pada kali ini? Untuk mendapat gambarannya, mari kita lihat kepada beberapa aspek UMNO yang tidak memberangsangkan. Sebagai permulaan, parti UMNO sebenarnya ketandusan idealisme-idealisme yang baru. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri dari mereka yang sering mencari kesempatan dan bercita-cita menjejaki alam korporat dari mereka yang benar-benar mempunyai komitmen terhadap perjuangan parti. Sesetengah orang melihat bahawa di dalam UMNO, mereka sanggup bermati-matian (atau menipu) hanya kerana wang.

Sementara masalah politik wang ini berleluasa di dalam parti, perjuangan asal yang berteraskan ‘Ketuanan Melayu’ itu semakin dilupakan. Pemimpin-pemimpin UMNO tidak langsung bersedia untuk memperkembangkan perjuangan yang ‘satu lagi’. Parti itu memaksimumkan pembentukan banyak kumpulan orang-orang Melayu yang dinafikan hak untuk mengundi, yang menjadi mangsa penyelewengan pembangunan. Tindakan para pemimpin UMNO menggunakan taktik kotor dan ke-Machieavellian untuk
kesinambungan politik itu meninggalkan warisan moral yang penuh dengan lubang. Ia juga menjarakkan lagi garis pemisah sebuah kepimpinan yang berkaliber.

Krisis Identiti :

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa UMNO sedang dilanda satu krisis identiti. Umno yang sebelum ini begitu sebati dengan orang-orang Melayu, tidak pernah menghadapi sebarang masalah di dalam mencapai kedudukan ekonomi yang samarata, penguasaan politik dan pengiktirafan agama. Demokrasi, hak asasi manusia, dan undang-undang telah diketepikan sebagai perkara-perkara yang boleh membantutkan  kemajuan bangsa Melayu.

Kini, tanpa ragu-ragu lagi, apa yang dikatakan telah sebati dengan bangsa Melayu itu sedang bergoncang dengan kuatnya. Di satu segi, kesamarataan ekonomi sahaja tidak boleh terus dibanggakan di dalam keadaan yang semakin meruncing itu. Di satu segi yang lain, pengiktirafan agama itu terpaksa mengambil langkah yang lebih pragmatik. Ketidakadilan yang amat ketara di dalam pengendalian isu Anwar Ibrahim telah menjadi sesuatu yang tidak boleh diabaikan sewenang-wenangnya. Lantaran itu, perkara-perkara yang berkaitan dengan kebebasan badan kehakiman, perjalanan proses undang-undang dan hak asasi manusia telah bergema dengan sekelip mata di dalam sebahagian besar masyarakat Melayu.

Apabila Anwar Ibrahim disingkirkan di atas kesalahan moral, presiden parti (yang terlalu kemodenan itu) telah bertindak melampaui batas adab orang-orang Melayu : Pemerintah sepatutnya tidak sekali-kali bertindak mengaibkan seseorang kerana ditakuti kemurkaan Tuhan yang akan menghancurkan semuanya. Tidak pernah berlaku di dalam sejarah UMNO seorang tokoh yang tidak sealiran diberi penghinaan yang sebegitu dahsyat secara terbuka (Anwar Ibrahimlah satu-satunya) dan dipecat atas sebab-sebab moral. Malah di dalam kes Rahim Tamby Chik, tiada sebarang pertuduhan rasmi yang menyebut sama ada beliau telah melakukan sebarang kesalahan moral atau jenayah!

Pemecatan Anwar Ibrahim adalah satu-satunya peristiwa politik yang bertanggung jawab kepada penolakan ramai golongan Melayu terhadap kepimpinan UMNO. Namun begitu, proses kehancuran UMNO sebenarnya telahpun bermula sejak lama dahulu. Percantuman dari ketidakpuasan masyarakat Melayu secara beramai-ramai ini dan struktur parti yang semakin lemah menjadi kunci kepada bagaimana peristiwa-peristiwa masa hadapan akan dibentuk.

Kehilangan Idealisme:

Ketiadaan agenda yang kuat di dalam UMNO berkait rapat dengan keangkuhannya untuk menerima pandangan golongan muda. Semenjak awal tahun 1970an, UMNO tidak berupaya untuk membangkitkan semangat golongan muda. Ini adalah akibat buruk dari dasar yang diguna pakai untuk menyekat keresahan di kalangan pelajar dan golongan muda yang tidak puas hati. Pelajar-pelajar telah dipaksa untuk tidak melibatkan diri di dalam politik selepas penglibatan mereka di dalam tunjuk perasaan pada tahun 1974. Tunjuk perasaan tersebut , yang sebahagiannya diterajui oleh golongan pelajar , telah menggugat teruk regim kerajaan pada masa itu. Oleh kerana itu, bagi menghalang berlakunya peristiwa yang sama yang memperlihatkan kuasa pelajar, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) diperkenalkan. Ia telah dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Pelajaran pada masa itu, Dr. Mahathir Mohamad.

Penguatkuasaan Akta tersebut telah berjaya membantutkan kreativiti, pandangan-pandangan yang kritikal dan ‘penentangan’ yang sihat di kalangan pelajar universiti pada masa sekarang. Selain dari tenaga, masa, semangat dan keperluan sosial untuk terlibat di dalam politik, pelajar universiti telah disogokkan dengan kehidupan yang pasif dan hanya bergelumang dengan buku-buku.

Akibat dari ini lalu timbulnya rasa kurang minat atau simpati serta tidak peka terhadap isu-isu sosial. Mereka yang mempunyai pandangan tentang politik pula menyuarakannya secara senyap-senyap dan mengamalkan penapisan sendiri di dalam rangka yang dikira selamat. Semasa hari-hari yang teruk dilanda masalah ekonomi, pelajar universiti menjadi semakin tidak peduli tentang tanggung jawab sivik mereka, apatah lagi memainkan peranan yang penting di dalam politik.

Secara semula jadi, sebahagian besar pelajar-pelajar Melayu memilih bidang keagamaan kerana itulah satu-satunya cabang yang diperakui sah di segi undang-undang untuk mengeluarkan kenyataan (melalui berbagai-bagai persatuan yang bernaung di bawah Islam). Bahkan ini juga telah dibataskan melalui pengharaman pengaruh Al-Arqam di dalam kampus. Kita tentu masih ingat zaman sebelum AUKU diwujudkan di mana satu kehidupan yang sihat dipamerkan oleh masyarakat kampus yang sentiasa bersaing untuk mengenengahkan ideologi-ideologi mereka.

Pada hari ini, dengan usia 21 tahun di universiti – cukup matang untuk memilih kerajaan mereka – disekat dari bercakap dan berfikir tentang politik. Namun tidak menjadi halangan pula untuk mereka memakai petanda warna politik di lengan mereka. Tiada siapa dapat membayangkan bagaimana sucinya persekitaran kampus pada masa sekarang.

Sebahagian kecil pula berpendapat bahawa kebanyakan parti-parti politik masa kini seperti ketandusan daya imaginasi dan idealisme yang kuat dan meyakinkan. Tanpa penyertaan golongan muda yang bersemangat tinggi, telus dan bertenaga, adalah sukar untuk pergerakan-pergerakan politik itu memperbaharui diri mereka ataupun sesebuah parti politik itu untuk dicipta semula agar tidak dikatakan ketinggalan zaman.

Sejak akhir-akhir ini, apabila menyedari bahawa golongan muda sudah tidak lagi memberikan sokongan mereka (mungkin mereka kini yang memenuhi setiap perhimpunan Reformasi), UMNO secara tergesa-gesa dan tanpa berfikir panjang telah mengusulkan agar tahap umur minima untuk menyertai parti politik diturunkan kepada 16 tahun. Langkah ini sebenarnya tidak memberi sebarang kesan kerana kita sedia maklum bahawa anak-anak kelahiran Malaysia menjalani tempoh persekolahan yang lebih lama pada masa sekarang. Mereka yang tercicir dari persekolahan pada usia 16 tahun pula mungkin terdiri dari keluarga miskin atau benar-benar tidak berminat untuk meneruskan persekolahan. Kedua-dua kumpulan itu lebih memerlukan bantuan yang asas daripada dilatih berkecimpung dengan alam politik. Seperti yang dijangkakan, langkah yang terburu-buru demi untuk meningkatkan bilangan keahlian untuk parti tidak mendatangkan kebaikan. Maka usulan itupun dibatalkan.

*****Bersambung*******

Bazooka