ISA DIGUNAKAN UNTUK MENANG PILIHANRAYA SARAWAK

Ummu Natasya

BARISAN Nasional (BN) terketar-ketar kerana uzur. Disebabkan keuzuran itu, maka BN meminta pihak polis menahan beberapa pemimpin parti pembangkang, seperti Mohamad Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Lokman Nor Adam dan lain-lain lagi supaya ditahan di bawah ISA.

BN tahu, pilihan raya Negeri Sarawak akan diadakan bila-bila masa sekarang. Jika kesemua sembilan panglima pembangkang ini tidak ditahan, Sarawak juga akan menerima akibat seperti Lunas, Terengganu dan Kelantan.

Pengaruh mereka, khususnya Mohamad Ezam dan Dr. Badrul Amin tidak boleh diperlekehkan. Mereka semakin hebat dan semakin ramai penyokong. BN yang sudah semakin tua, uzur dan terketar-ketar tidak mampu untuk berceramah seperti Mohamad Ezam berceramah, maka adalah lebih baik, polis digunakan untuk menangkap kesemua mereka ini.

Alasan boleh dicari, kesemua mereka adalah penghasut rakyat untuk menganjurkan demonstrasi jalanan hingga mahu menggulingkan kerajaan. Kenyataan Timbalan Presiden keADILan, Dr. Chandra Muzaffar diputabelitkan, seolah-olah ada “pendapat tidak sekata” antara kepimpinan pembangkang.

Sebaik sahaja selesai pilihan raya Sarawak, atau sehari dua sebelum pilihan raya, kesemua mereka akan dilepaskan. Rakyat akan diberitahu, kerajaan tidak zalim dan mereka tidak ditahan untuk tempoh yang panjang. Sebenarnya, kesemua yang ditahan tidak berkesempatan untuk berkempen di dalam pilihan raya.

Hakikat terpaksa diterima, BN sudah semakin tua, semakin uzur dan terketar-ketar. Yang ada Cuma Tengku Adnan Mansor. Tapi, bolehkah Tengku Adnan bercakap soal-soal agama, soal-soal penyatuan Melayu dan akhlak mulia kerana dia sendiri terlibat dengan syarikat-syarikat judi terkemuka tanahair?

Bawa Khalil Yaakob berceramah, bolehkah dia bercakap soal pembalakan dan rasuah kerana dia sendiri kena tuduh dengan Datuk Fauzi Abd Rahman mengatakan di zaman Khalil menjadi MB Pahang, dia buat penyelewengan.

Dakwaan Fauzi itu bukan dibuat oleh pembangkang tetapi oleh Ketua Umno Bahagian Kuantan, yang juga Adun dari Barisan Nasional bagi kawasan Beserah. Usah salahkan pembangkang, kerana yang buat kerja buka pekong pemimpin Umno ini ialah Umno sendiri.

Semakin hari, semakin banyak masalah yang timbul. Dr. Mahathir boleh sahaja menangkap sesiapa sahaja yang dia suka termasuk Tun Daim Zainuddin dan Abdullah Ahmad Badawi tetapi, Umno dan BN sudah semakin tenat, semakin tua dan semakin terketar-ketar.

Tan Sri Osman Arof yang disokong oleh Dr. Mahathir Mohamad ketika mahu mempertahankan kerusi Timbalan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu pun nyaris-nyaris tewas di tangan Datuk Saad Man.Dr. Mahathir terpaksa menyebut bahawa orang yang terlalu kaya tidak boleh bertanding dalam Umno. Kata-kata itu ditujukan kepada Saad walaupun Saad berhak untuk bertanding kerana tiada siapa mengukur antara Dr. Mahathir dengan Saad, siapa yang lebih kaya. Antara Osman Arof dengan Saad, siapa yang lebih kaya!