Bahagian Kedua

BOLEHKAH UMNO BERTAHAN?

Keahlian dan Opportunisme :

Satu lagi petunjuk tentang kuasa yang cuba dipertahankan oleh UMNO ialah profail keahliannya. Sejak pertengahan tahun 1980an dan berikutnya, sumber kewangan UMNO yang tidak pernah putus itu seolah-olah menjadi satu faktor yang lebih berjaya menarik kemasukan pengikut-pengikutnya dari ideologi asal parti yang sungguh murni untuk meningkatkan martabat bangsa Melayu.  Para pengkritik menyamakan imej UMNO ini sebagai juara bertahan keagungan Melayu dengan parti yang berupaya untuk meraih urusniaga-urusniaga yang amat menguntungkan. Dari satu segi perkara ini memang di sengajakan. Dasar Ekonomi Baru juga dirangka khas bagi menghasilkan ramai golongan peniaga di kalangan orang-orang Melayu.

Kebanyakan dari mereka yang mempunyai kedudukan yang penting di dalam UMNO tidak akan ragu-ragu untuk mempergunakan parti sebagai batu loncatan kepada cita-cita mereka, terutamanya yang bertaraf korporat. Mereka yang terdiri dari ahli-ahli profesional, ahli-ahli akademik dan kakitangan awam pula menyertai UMNO kerana kemuncak kepada pengiktirafan diri mereka itu diperlukan di dalam sesetengah pejabat–pejabat politik yang bertaraf tinggi. UMNO adalah satu-satunya parti politik Melayu yang boleh menjadi landasan kepada peningkatan seperti itu..

Dalam pada itu bilangan mereka yang menaruh harapan di dalam politik ini telah meningkat dengan pesatnya sehingga padang permainan itu menjadi penuh sesak. Disebabkan oleh bilangan jawatan yang terhad di dalam bahagian, cawangan, negeri , majlis tertinggi dan akhirnya barisan kabinet, persaingan menjadi semakin sengit, membawa kepada permainan tanpa pengecualian, dengan  padang permainan yang tidak lagi sekata dan sebarang undang-undang atau etika yang wujud dilontar menjadi habuan anjing-anjing.

Gossip dalaman menyatakan bahawa perkara-perkara yang akan hanya diambil kira di dalam permainan ini (untuk merebut kedudukan di dalam parti) adalah wang yang banyak, surat-surat layang yang menggerunkan, plot-plot pembunuhan karektor, bantuan kuasa ghaib di dalam sesetengah kes (mengakibatkan kematian-kematian yang dahsyat), dan penggunaan (ataupun penyalahgunaan) saluran-saluran dan agensi-agensi kerajaan. Kemuncak kepada permainan ini yang menutup peluang pihak lawan adalah penghasilan buku 50 dalil yang tiada tolok bandingnya, diedarkan dan dijunjung seperti kitab suci al- Quran. Tercetusnya krisis terkini di dalam negara melalui penulisan tidak bernilai yang dahsyat itu sesungguhnya amat menyedihkan!

Beberapa dekad yang lalu, golongan muda Turki (mengambil kira Mahathir di antara mereka) memberontak terhadap pengawal-pengawal tua dan UMNO mendesak  agar perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru disegerakan. Dengan dibantu oleh keadaan ekonomi yang tidak diduga, penyebaran semula strategi telah secara amnya diterima oleh semua bangsa seperti mana yang diperlukan untuk mencapai keseimbangan kaum. Pada tahun 1990an, seorang pencinta pembangunan yang keluar dari fasa ‘perkembangan yang menakjubkan’ telah diberi kuasa untuk bebas melaksanakan dasar-dasar ekonomi dan pendidikan sehingga beberapa peringkat, dan telah menggembirakan kebanyakan dari golongan elit di dalam semua komuniti. Dalam pada itu, ISA pula telah digunakan pada tahun 1987 di dalam Operasi Lalang yang bertujuan untuk menyemarakkan ketegangan kaum.

Dengan kehadiran DEB, kerajaan di bawah Mahathir telah memulakan satu agenda yang  keterlaluan untuk melahirkan golongan elit-niaga di kalangan orang Melayu secepat mungkin. Jentera UMNO digunakan secara menyeluruh untuk melahirkan tokoh-tokoh perniagaan yang terkemuka dengan segera. Sekalipun jika hanya beberapa kerat yang berjaya muncul sebagai gergasi perniagaan dan kapten industri, yang lainnya masih boleh berpuas hati untuk direndahkan taraf sebagai orang-orang suruhan yang mendokong permainan itu.

‘Tahun-tahun persetujuan bersama’ telah membantu membina kualiti moral dan peti-peti khazanah UMNO dari sebuah parti yang mempertahankan orang-orang Melayu kepada sebuah parti yang dipertahankan oleh orang-orang Melayu yang kaya-raya. Lantaran dibangunkan sendiri sebagai parti dengan sumber kewangan yang sukar ditandingi, dimanjakan pula dengan ekonomi yang memuncak dan urusniaga-urusniaga dari projek penswastaan kerajaan, UMNO menjadi semakin terlalu bergantung kepada penyelamat dan sogokan dari golongan korporat Melayu yang kaya. Mungkin di situlah satu-satunya peranan  sebuah parti yang mendokong identiti Melayu terhenti dan peranan sebagai pembela kepada golongan dari kelas yang tertentu bermula. Daya ketahanan UMNO kini kelihatan berkait rapat dengan daya ketahanan kumpulan-kumpulan korporat yang besar. Langkah menyelamat sesetengah syarikat yang terkenal itu boleh dilihat sebagai satu percubaan yang amat terdesak bagi memastikan UMNO tetap teguh.

Di dalam proses itu, keretakan di dalam parti semakin terserlah. Perpecahan di antara yang ada dan yang tiada, di antara kumpulan elit yang lama dan yang baru, di antara waris-waris dari keluarga-keluarga yang ternama dan golongan dari kelas yang lebih rendah, di antara pencinta sekular dan pencinta agama, dan di antara pengawal-pengawal lama dan golongan muda Turki semuanya telah keluar secara terbuka. Adakah ia hanya satu kebetulan apabila Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokong rapatnya termasuk di dalam satu kumpulan yang terbahagi itu dan Mahathir serta orang-orangnya di dalam kumpulan yang lain?

Ketuanan Melayu :

Landasan untuk keagungan Melayu, Ketuanan Melayu, kini berbunyi semakin perlahan. Tidak dapat dinafikan, UMNO masih boleh memalu gendang mengatakan bahawa penjaga bangsa Melayu inilah yang mempertahankan hak-hak istimewa kaum bumiputera. Jika sekiranya ini diungkit-ungkit dengan lantang dan berulang-ulang kali, kemungkinan ia akan dapat memenangi semula hati orang-orang Melayu.

Sungguhpun benar bahawa pertarungan untuk “Ketuanan Melayu” masih belum berakhir, sebutan tersebut perlu didalami semula maknanya jika “Ketuanan Melayu” itu hendak dijulang terus sebagai teras perjuangan UMNO, ia mesti dipertahankan dengan cara yang rasional dan meyakinkan. Terdapat banyak jalan keluar untuk melaksanakan tanggung jawab, menyelamatkan atau memberikan perlindungan tanpa semangat “Ketuanan Melayu” kepada rakyat Melayu biasa pada masa ini.

Sebagai contoh, PAS sebagai sebuah parti politik juga berhak untuk mendakwa yang perjuangannya juga untuk kepentingan Melayu. Berdasarkan kepada iklim politik masa kini, ramai Melayu yang merasakan PAS adalah pilihan yang lebih baik berbanding dengan UMNO. Pada mereka, prinsip perjuangan yang berteraskan Islam, disertai dengan pendirian yang tegas terhadap keadilan dan penghayatan agama, ternyata lebih menarik.

Disebabkan ruang yang sempit untuk majlis-majlis ilmu dan perdebatan tentang lain-lain pilihan politik, Islam dilihat sebagai satu-satunya wadah atau ideologi untuk masyarakat Melayu yang dapat menyediakan sesuatu yang berlawanan dan juga penawar kepada suasana politik yang tidak sihat yang mungkin ditimbulkan oleh UMNO. Satu-satunya halangan buat PAS adalah UMNO mungkin berupaya untuk terus memegang mandatnya, kerana majoriti rakyat yang bukan beragama Islam tidak akan menerima kemungkinan pembentukan sebuah negara Islam. Di dalam konteks ini, UMNO mungkin boleh bertahan hanya kerana kita tidak mempunyai pilihan lain untuk mengundi bagi menentukan kerajaan.

Kelompok “Melayu Yang Lain” :

Keadaan UMNO yang parah itu mungkin dipercepatkan lagi oleh sikap tidak mengambil hirau tentang kesusahan yang dialami oleh kelompok Melayu yang lain. Sikap tidak mengambil hirau itu setanding dengan kecenderungannya bagi mendapatkan urusan-urusan perniagaan. Sejumlah belia-belia Melayu yang terlibat dengan masalah-masalah sosial seperti penagihan dadah telah mencapai tahap yang membimbangkan. Belia-belia Melayu yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah ini, walau bagaimanapun, tidak diberikan keutamaan di dalam agenda Pemuda UMNO.

Dalam pada itu, terdapat sebilangan wanita-wanita Islam yang tidak mendapat keadilan yang secukupnya dari Mahkamah Syariah, juga  tidak langsung mendapat perhatian dari sayap Wanita UMNO. Sekurang-kurangnya tidak cukup buat parti untuk berbuat sesuatu tentang isu-isu yang timbul.

Bagi isu-isu kemiskinan pula, UMNO masih terperangkap di dalam dua pemikiran yang memisahkan kehidupan di bandar dan luar bandar. Ia lebih tertumpu kepada pembangunan ekonomi di dalam kawasan bandar tanpa menghiraukan pembangunan orang-orang Melayu miskin di luar bandar. Kawasan kemiskinan Melayu sedang mengalami perubahan demografi kepada pusat-pusat bandar, dan UMNO tidak langsung menjenguk ke sana.

Selain dari keadaan ekonomi dan sosial yang menyedihkan, terdapat pula satu ruang kosong di dalam pembangunan kebudayaan Melayu, kerana tiada sesiapa pun, sebagai contoh, yang dapat mengambil tempat P. Ramlee sejak 25 tahun yang lalu. Mungkin ini satu perkara yang kecil sahaja, tetapi ia menunjukkan bahawa tiada sebarang usaha memperbaharui kebudayaan yang diambil, yang berkait rapat dengan kewujudan satu ruang yang kosong di dalam sektor idealisme.

******Bersambung*******

Bazooka