USAH BENARKAN MEREKA BERMAHARAJALELA 

Oleh Ummu Natasya

NAMPAKNYA Setiausaha Agung Umno yang juga Menteri Penerangan, Tan Sri Khalil Yaakob betul-betul tidak ada maruah bila dia terus mahu kekal sebagai SUA dan MenPen walaupun sudah ada aduan mengenai penyelewengan yang dilakukan ketika menjadi MB Pahang.

Kalau Umno ada maruah, kalau Khalil betul-betul mahu menjaga maruah Umno, dia seharusnya tidak menyeret Umno bersama-sama masalah yang sedang dihadapinya. Bukan sedikit jumlah penyelewengan yang didakwa terhadapnya.

Ahli-ahli Umno tidak mempunyai keberanian untuk mendesak Dr. Mahathir Mohamad supaya memberhentikan Khalil dari jawatan-jawatannya.

Atau, Dr. Mahathir sengaja mahu melihat Khalil berada di situ kerana dia sendiri sebagai Perdana Menteri juga punya masalah penyelewengan, korupsi, nepotisme dan kronisme? Bila Khalil masih di situ, perhatian rakyat lebih tertumpu kepada Khalil dan melupakan sementara isu yang melekat pada diri Dr. Mahathir.

Khabarnya Datuk Fauzi Abd Rahman mempunyai 13 kes di tangannya untuk diadukan. Apakah Fauzi tidak berani untuk meneruskan hasratnya membuat pendedahan? Atau mulut Fauzi sudah disumbat oleh pihak-pihak tertentu di Pahang, supaya memberhentikan cadangannya untuk mendedahkan pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh Khalil sepanjang menjadi MB Pahang.

Selepas ini, kita sama-sama boleh menyaksikan pula pendedahan yang akan dilakukan oleh MB Johor, Dato’ Abd Ghani Othman. Banyak juga cerita mengenai Ghani yang dikatakan cukup ligat membuat duit sepanjang tempoh menjadi MB Johor tetapi semua duit itu tidak dapat disimpannya kerana habis dibelanjakan ketika bertanding Naib Presiden Umno dahulu.

Itulah sebabnya apabila Persatuan Badminton Malaysia bercadang menganjurkan pertandingan di Johor, dia tidak dapat membantu disebabkan duit sudah kehabisan dibelanjakan ketika dia bertanding Naib Presiden dahulu.

Rakyat juga perlu membuka mata, bagaimana Ali Rustam membelanjakan duit Yayasan Melaka hingga terpaksa didedahkan oleh wakil-wakil rakyat DAP. Malangnya, di Melaka, biasanya KM cukup berkuasa menyebabkan BPR tidak mampu dan tidak berani menyiasat setiap aduan. Aduan demi aduan akan hanyut begitu sahaja, sama-sama hanyut dengan sampah sarap di Sungai Melaka.

Kini, rakyatlah hakim negara. Mahkamah sudah tidak berkesan. BPR sudah tidak bermakna. Polis hanya garang dan bertindak ke atas pembangkang, maka gunakan undi kita semua untuk merubah kerajaan yang ada.

Sematkan tekad ini di dada dan jangan biarkan mereka semua terus bermaharajalela!