Bolehkah UMNO Bertahan - Bahagian Ketiga (Akhir)

Bahagian Ketiga(Akhir)

Jurang Kredibilti :

Sehingga kini masalah paling serius yang dihadapi oleh parti adalah jurang kredibilti di dalam barisan kepimpinannya. Tiada seorang pun di antara mereka yang bakal menduduki kerusi presiden parti boleh menyamai ketrampilan Dr. Mahathir ataupun ketokohan Anwar Ibrahim. Lebih dahsyat lagi, Mahathir sendiri pernah mengumumkan secara terbuka, sebagai satu cara untuk menghukum Anwar Ibrahim seberat-beratnya, bahawa kepimpinan yang dicontohi mesti bersih dari sebarang perlakuan tidak bermoral kerana pihak lawan mengambil perhatian yangs serius tentang hal ini. Jika perlakuan tidak bermoral ini boleh digunakan, ia akan digunakan habis-habisan sebagai satu senjata di dalam pembunuhan karektor seseorang. Tidak salah lagi, itulah yang berlaku sebenarnya!

Ternyata, penyingkiran Anwar Ibrahim telah menyedarkan rakyat Malaysia yang ketandusan pemimpin yang bersih, bermoral tinggi, bijak, berani bersuara, amanah – pemimpin yang selari dengan tuntutan sebuah masyarakat yang terbuka dan berkebolehan untuk menguruskan suara-suara ramai di dalam masyarakat yang berbilang budaya; seorang pemimpin yang tidak gentar untuk menghadapi ideologi-ideologi yang baru dan mencabar tanpa perlu bergantung kepada alat-alat yang menekan; seorang pemimpin yang akan terus berpegang kuat kepada lunas-lunas undang-undang. Anwar Ibrahim telah menghampiri sebahagian dari ciri-ciri pemimpin yang disebutkan itu. Bagi yang lain, sikap mereka yang menyanjung tinggi Mahathir biarpun telah bertindak tanpa peri kemanusiaan dan tanpa berfikir panjang itu telah menjejaskan kelayakan mereka untuk menjadi penggantinya (ataupun klonnya).

Tiada harapan lagi di dalam keadaan yang sedemikian, dengan setiap nama (dari Najib Razak sehingga Tangku Razaleigh) tidak terlepas dari gossip yang hanya menajdi bahan ketawa sinis buat mereka yang berangan-angan untuk menjejaki kedudukan tersebut. Jika mereka bermoral tinggi, mereka mungkin berfikiran rendah; jika mereka tidak berfikiran rendah, mereka mungkin mempunyai moral yang tercemar; jika mereka tidak menyimpan jerangkung di dalam almari mereka, mereka mungkin tidak cukup cemerlang untuktugas tersebut; dan begitulah seterusnya. Sebuah majalah berita luar negeri baru-baru iniada menulis tentang prospek Razaleigh sebagai penggan yang mendedahkan beberapa aspek yang ganjil tentang beliau. Pejabatnya dikatakan menyerupai Pejabat Bujur (Oval Office) di Rumah Putih Amerika Syarikat, dan beliau sedang menanti masa yang sesuai untuk menerajui negara.

Sekurang-kurangnya Musa Hitam bertindak waras meninggalkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986 dan kemudiannya bersara dari arena politik dengan perasaan rendah diri. Menoleh ke belakang, beliau boleh dikagumi kerana meninggalkan segala kepincangan didalan pentadbiran Wawasan 2020 kepada mereka dengan beberapa keraguan yang timbul.

Di dalam satu temuramah dengan Mingguan Malaysia (1hb.Nov, 1998), Musa Hitam memberitahu “Saya merasakan selagi kita boleh memberikan ruang dan kebebasan kepada individu-individu untuk memberikan pendapat kedua dan kemudiannya pendapat-pendapat yang seterusnya, iaitu untuk satu tempoh di mana kredibiliti kita sabagai pemimpin akan terjamin…..Saya berpendapat sikap yang tidak bertolak ansur dan tidak dapat menerima kritikan-kritikan telah menimbulkan banyak krisis-krisis politik yang telah kita hadapi sehingga membawa kepada apa yang kita sedang saksikan akhir-akhir ini”.

Satu pemilihan perkataan-perkataan yang bertepatan dengan keadaan pada masa kini, tetapi adakah beliau dapat meninggalkan kesan ke atas parti bertahannya itu, yang beliau mengakui masih sayang dan tidak mahu melihat “….sebarang masalah dihadapi di dalam pilihan raya yang akan datang ini”?

Ke Arah Mana Pembaharuan? :

Pengaruh UMNO berhubung rapat dengan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru(DEB). Merujuk kepada pencapaian DEB, kita dapat melihat banyak percanggahan. Sementara beberapa orang personaliti mendapat faedah darinya dengan mengumpul harta kekayaan, ramai lagi yang hanya hidup dari serpihan-serpihan mereka yang bergelar orang kaya baru itu. Namun satu perkara yang pasti : DEB (untuk lebih baik atau lebih buruk) telah memaksa satu perubahan yang mendadak terhadap carahidup sebahagian besar masyarakat melayu. Satu darinya adalah ramai yang berhijrah ke bandar-bandar telah menerapkan gaya hidup bandar; mereka ini mempunyai kecenderungan untuk mempunyai pemikiran yang berlawanan dengan asal usul mereka.

Kumpulan kelas pertengahan yang baru ini yang menikmati segala kemudahan pelajaran, mungkin membayangkan untuk menukar peribadi dan identiti diri mereka sendiri yang ternyata menyimpang jauh dari objektif DEB. Bertentangan dengan semangat kepatuhan dan kesetiaan yang sepatutnya dilihat pada sikap politik Melayu, sikap tidak bersimpati dan tidak ambil peduli secara perlahan-lahan timbul. Sama ada ini dilaung-laungkan melalui Islam, bantahan dari golongan belia, atau semata-mata satu perasaan tidak puas hati terhadap ketidakadilan, mereka ini hanya berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan politik.

Dengan perkembangan semasa krisis politik tanahair, UMNO yang satu ketika dahulu pernah membangkitkan kesedaran di kalangan orang-orang Melayu untuk terus bangun, sedang kehilangan peranannya sebagai satu-satunya penyelamat. Adakah parti ini memberikan tindak balas terhadap suara-suara keras yang semakin bertambah dari bawah sana? Apakah UMNO Baru bersedia memberikan laluan kepada UMNO Baru  yang baru (seperti tanggapan sesetengah pihak yang merasakan UMNO memerlukan reformasi dari dalam)?

Tanpa sokongan yang menyeluruh, UMNO hanya boleh mengekalkan kuasanya jika ia mengambil langkah yang sama iaitu menggunakan muslihat-muslihatnya yang biasa sebelum ini : terus dengan amalan poltik wang secara berleluasa untuk memancing undi, memutarbelitkan pandangan-pandangan para pengundi melalui kawalan media, mempertahankan perniagaan-perniagaan besar yang berunsur rasuah, menyokong imej pelbagai kaum dengan menjaga hati lain-lain parti komponen di dalam Barisan Nasional dan menyerang parti lawan dengan sengaja mencetuskan suasana politik yang tidak stabil, kucar-kacir dan melampau, di samping menafikan hak-hak asasi rakyat seperti kebebasan untuk bersuara dan berhimpun bagi pihak lawan yang berpotensi. Ianya bagai satu formula yang sangat mudah untuk terus digunakan, itupun sekiranya para pengundi masih berminat kepada perkara yang sama.

Walau bagaimanapun, suasana tenang yang nampak ketara semasa Perhimpunan Agong Luar Biasa UMNO pada 13 Disember 1998 tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa “Ada sesuatu yang buruk di dalam negeri Denmark”.

Ucapan dari presiden parti tidak mengkagumkan, sekurang-kurangnya tidak pada mereka yang berfikir. Tetapi, buat presiden sebuah parti yang kebal, menimbulkan spektra tentang penjajahan asing sering dapat membantu parti untuk terus hidup. Inilah yang dilakukannya, tanpa perasaan malu, sehingga kepada sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal.

Perhimpunan Agong Luar Biasa UMNO itu seperti telah dapat dijangkakan oleh pemerhati biasa.  Tidak berlaku sebarang kekecohan, para perwakilan hanya akur dan memberikan persetujuan secara sebulat suara seperti biasa. Semua cadangan untuk membuat pindaan perlembagaan disokong, kecuali dua cadangan yang tidak memudaratkan. Parti itu sendiri kelihatan seperti seekor dinasor yang kalah – kuat hanya kerana ia besar. Pemimpinnya berjalan sekeliling bagaikan sang maharaja yang berkeadaan bogel, sepanjang masa menyangka badannya disaluti pakaian yang terindah sekali.

Tiada siapapun di sekeliling yang tidak patuh kepada sang maharaja, yang sanggup dan berani untuk menyatakan kebenaran dari pemerhatian tersebut. Nampaknya parti itu seperti akan terus wujud, bahkan mungkin membentuk kerajaan yang seterusnya, dan kita juga akan terus menanggung bebanan perbelanjaannya yang tinggi.

******Tamat******

Bazooka

 __________________________________________________