Mokhzani lambing krisis PM-Daim

Pengunduran Datuk Mokhzani Mahathir dari jawatan CEO Pantai Holdings Bhd dan Tongkah Holdings Berhad adalah kemuncak kepada krisis antara Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Daim didakwa hanya “membantu” kroninya tetapi tidak akan membantu perniagaan yang dikuasai kroni Perdana Menteri. Antara tokoh-tokoh korporat yang menjadi mangsa Daim ialah Tan Sri Rashid Hussein dan Tan Sri Azman Hashim.

Perdana Menteri dijangka akan “melakukan suatu kejutan” sebaik sahaja balik dari Dubai terhadap Daim dan satu sumber lain pula memberitahu, Daim juga akan melakukan sesuatu kepada Dr. Mahathir dalam masa terdekat.

Ramai yang percaya, Tun Daim akan ditangkap dan didakwa dalam isu Time.dot.com dan saham MAS tetapi ada juga dakwaan mengatakan Dr. Mahathir akan ditangkap dan didakwa dalam masa terdekat.

Krisis yang tidak dapat dielakkan lagi ini dikatakan turut membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Tun Daim dikatakan mahukan kerjasama dari Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri, kementerian yang bertanggungjawab kepada pasukan polis.

Usaha juga sedang dibuat untuk membawa Najib Tun Razak turut serta dengan Daim bagi memastikan tentera turut bersama-sama Daim dan Abdullah menjatuhkan Dr. Mahathir dari kerusi Perdana Menteri.

Abdullah dikatakan amat terhutang budi kepada Daim yang membiayai kempennya untuk menang kerusi Naib Presiden Umno dalam tahun 1996, hingga membawanya ke kerusi Timbalan Perdana Menteri dalam tahun 1998.

Orang-orang Abdullah sedang sibuk menafikan hubungan Abdullah dengan Daim sekarang bagi mengelakkan nasib Abdullah sama dengan nasib tiga Timbalan Perdana Menteri terdahulu.

Penulis upahan terkenal, S.H. Alatas sedang memberi percuma buku terbarunya bertajuk “Diam-diam Daim” yang ditaja seseorang bertujuan mengulangi peristiwa kejatuhan Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.

Buku 50 Dalil dahulu ditaja Tengku Adnan Tengku Mansor dan pengedarannya diuruskan Aziz Shamsuddin dari Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri. Kali ini, buku ini tidak dapat diedarkan dari Pejabat Aziz Shamsuddin kerana Aziz sedang terlantar di hospital selepas pembedahan jantungnya.

S.H. Alatas tidak pernah menulis buku tanpa penaja dan dalam masa terdekat, orang ramai boleh tahu siapakah yang membiayai semua kos penerbitan tersebut. Sama-sama kita tunggu, siapa yang akan dipenjarakan…PM atau Tun Daim/Abdullah Ahmad Badawi.

 

Kiriman Ramlan Jantan