Tumbangnya Malek Munip di Muar

AKHIRNYA Malek Munip, Ketua Umno Bahagian Muar tewas di tangan pencabar Datuk Abdullah Omar dalam pertandingan satu lawan satu, 28 April 2001 yang lalu.

Selama menjadi Ketua Umno Bahagian Muar, cukup banyak Malek lakukan untuk memalukan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya untuk menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Dia jemput Datuk Aziz Shamsuddin ke Muar hanya bertujuan menghina Datuk Seri Anwar dan mendakwa dialah (Aziz Shamsuddin) dan Maleklah orang yang bertanggungjawab terhadap system pendidikan negara ini.

Aziz juga mendakwa dia berkawan baik dengan Malek sejak sekian lama dan banyak rahsia-rahsia Anwar disampaikan oleh Malek kepadanya hinggalah Datuk Seri Anwar dapat dijatuhkan dalam tahun 1998 yang lalu.

Aziz juga tewas dalam usahanya bertapak semula ke dalam Umno Bahagian Gopeng walaupun ketika dia tewas dalam tahun 1996 dahulu, dia membuat dakwaan Datuk Seri Anwar yang menjatuhkannya.

Kini, selepas tiga tahun Datuk Seri Anwar tidak berada di luar Umno, Aziz yang sudah mendapat habuan menjadi Timbalan Menteri Pendidikan dan Senator masih gagal untuk duduk sebagai Ketua Umno Bahagian Gopeng.

Maknanya, memang orang sudah tahu siapa Aziz sebenarnya dan tauke-tauke mana yang mengelilinginya sepanjang masa. Hubungan Aziz dengan tauke-tauke Cina dan menggunakan pengaruhnya berniaga dan menyokong kawan-kawannya berniaga, memang diketahui.

Tetapi tiada siapa boleh menahan kemahuan dan kekuasaan Aziz Shamsuddin kerana dia cukup berkuasa dan cukup rapat dengan Perdana Menteri. Itulah sebabnya, buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh jadi PM diedarkan dari pejabatnya selain dari pejabat Tengku Adnan Mansor.

Dalam tahun 1999, Malek digugurkan dari menjadi calon pilihan raya dan kini, 2001 dia dihalau oleh ahli-ahli Umno bahagian itu dari memimpin Umno bahagian itu. Apakah Malek ada diberikan tugas lagi untuk memaki hamun Datuk Seri Anwar lagi sekarang? Masih adakah lagi ahli-ahli Umno yang hendak mendengar ceramahnya dan syarahan-syarahan mengenai Datuk Seri Anwar?

Perkuatkan perpaduan para penyokong BA di Muar dan dalam pilihan raya akan dating, sama-sama kita rampas kerusi-kerusi Dewan Undangan dan Parlimen di sini. Tidak mustahil BA akan mula bertapak di Johor selepas ini kerana Johor bukanlah terlalu kebal sebagaimana yang diperkatakan selama ini.

Sudah ada kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang diwakili pembangkang di Johor sejak dahulu lagi dan ia bukan perkara mustahil. Jangan lupa Dun Bekak, Jementah, Maharani, Gunung Lambak, Parit Bakar dan Pontian pernah dipunyai pembangkang selain Parlimen Johor Bahru dan Kluang.

Insya-Allah, kalau kita semua berazam kuat, tiada yang mustahil untuk melihat calon-calon BA bertapak di Johor.

 

Ramlan Jantan