Buat ahli-ahli Umno…renungkanlah!

PUNYALAH lemah Umno sekarang, bila terdapat 300 aduan ketika berlaku pemilihan di peringkat bahagian, hanya empat sahaja yang selesai disiasat. Maknanya, ada segi pentadbiran, organisasi ini cukup lemah, tidak berprestij dan hanya sanggup berjanji, semua aduan akan disiasat dan jika terbukti, tindakan akan diambil.

Timbalan Presiden Umno yang tidak pernah diuji kekuatannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri mengakui bahawa hanya empat dari 300 aduan yang sudah selesai disiasat.

Janji Umno dahulu, sebulan akan diadakan dua kali mesyuarat MT nyata dilakukan tetapi sekali di PWTC dan sekali diadakan di luar KL ternyata, janji hanya tinggal janji. Tetapi disebabkan hanya ada orang bebal sahaja dalam parti itu, tiada siapa memperdulikan “pembohongan” demi pembohongan yang dibuat oleh pucuk pimpinan.

Setakat ini hanya dua kali MT Umno mengadakan mesyuarat di luar KL, pertama di Ipoh selepas peristiwa Sauk dan kali kedua di Melaka.

Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah juga pernah berjanji bahawa usia untuk menganggotai Puteri Umno ialah di bawah 35 tahun, tetapi selepas sebulan dua, setelah mereka yakin ahli-ahli Umno lupa, dia pun mengsyorkan dan tentunya dipersetujui ahli-ahli MT yang tidak pernah membantah, pemimpin Puteri Umno boleh dari mereka yang berusia di bawah 40 tahun.

Seperti biasa, tiada bantahan dan tidak ada seorang pun yang sanggup membantah termasuk si mulut celupar yang pernah didakwa memberi saham berjuta-juta kepada menantunya, Fazrin Anwar, iaitu Rafidah Aziz.

Namun, masih ada orang-orang Melayu yang mahu menunggu dalam Umno, kononnya mereka yakin “hanya Umno sahaja” yang boleh memerintah Malaysia, tetapi parti-parti lain tidak ada kemampuan.

Apakah mereka tidak nampak, Pas, keADILan, PRM dan DAP kini menjalankan aktiviti berceramah dan lain-lain secara bersama? Secara tidak sedar, BN selepas mesyuaratnya bulan lalu turut meniru langkah BA, mengatasi satu-satu masalah secara bersama, tidak lagi secara berasingan.

Walaupun tidak berkuasa, BN kagum dengan jalinan BA yang cukup rapuh. Dr. Mahathir tahu, pemimpin BA ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang tokoh hebat yang terpaksa dipenjarakan bagi menyelamatkan dirinya.

Strategi merampas royalty dan menggantikannya dengan wang ihsan dan dibayar melalui agensi persekutuan jelas memakan diri dan merugikan BN. Umno Terengganu sendiri sedar, wang royalty tidak menguntungkan Umno dari segi jangka panjang dan jangka pendek.

Dr. Mahathir dan Abdullah cukup sibuk sekarang menjawab pelbagai serangan pembangkang. Media massa yang menjadi alat propaganda BN tidak berkesan. Dr. Mahathir terpaksa melantik Zam (Zainuddin Maidin) yang bukan ahli Umno menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, bagi memainkan peranan menyerang pembangkang.

Ahli-ahli Umno yang tidak bermaruah terus menyokong Dr. Mahathir walaupun Dr. Mahathir sudah tidak menghormati dan menghargai lagi sumbangan ahli-ahli Umno kepada kedudukannya sekarang. Dia tahu, dia tidak akan ditentang sebagai Presiden Umno kerana ahli-ahli Umno tidak ada keberanian untuk menentangnya yang sudah mencapai tahap diktator.

Ramlan Jantan

Notawebmaster: Saya tertarik dengan analisis penulis bahawa ahli UMNO hanya percaya bahawa UMNO sahaja yang layak memerintah Malaysia. Mengikut unjuran beragama ini disifatkan satu 'khurafat' dan boleh membawa kepada salah satu sifat 'syirik'. Syirik itu bererti mempersekutukan Allah atau menduakan Allah. Manusia atau ahli UMNO mungkin faham jika mereka 'menduakan' isteri lantas dengan pintarnya mereka berbohong kepada isteri dan masyarakat umum akan perbuatan mereka. Dalam hal ini mampukah ahli UMNO yang mendakwa masih Islam itu berbohong kepada Allah s.w.t. setelah menduakan-Nya?~webmaster