Ekonomi Amerika Merosot, Terpaksalah   Kita  Berbelanja
(An American  Recession,  So Let’s Spend)


Artikel  asal ada  di malaysiakini  29 Mac, 01.

Perdana  Menteri  Dr. Mahathir Mohamed,  berkata  rencananya  menyuntik RM 7.7 bilion  adalah  usahanya  menampan kesan ekonomi  AS  yang  merudum. Menteri  kewangan, Daim  Zainuddin  telah  mencadangkan  cara  lain, dan  gabenor Bank  Negara, Zeti  Aziz  pula  memperakukan  bahawa   semuanya berjalan  dengan baik.  Namun  semuanya  itu  boleh  dipertikaikan kerana  terlalu  banyak  yang boleh  disangsikan.  Dr. Mahathir memilih membuat pengumuman itu  bukannya  di  Parlimen. Cuma  di  satu  persidangan  akhbar  di bangunan  parlimen. Kalau dia tidak memberikan  keyakinan kepada  parlimen  bagaimanakah  rakyat  Malaysia boleh  mempercayainya?


Cara   semua  tindakan   yang  dicadangkan  itu  diputuskan, tanpa sebarang  perundingan dan  perdebatan  adalah laksana putar belit  yang dilakonkan oleh  seorang silap mata dengan  topi ajaibnya. Memperlekehkan parlimen  sudah  tentu  bertujuan untuk  menyorokkan  sesuatu.  Pada 1997, ketika Asia  bergelora kerana  keadaan  kewangan  yang menjerutnya, Dr.  Mahathir  dan  Daim Zainuddin  melakukan  tindakan  yang serupa  seperti  yang baru dilaksanakannya. Mereka  telah  membelakangkan  parlimen  dan membuat  pengumuman kepada  seluruh  dunia seolah-olah  mereka  sudah  menemui ubat mujarab kepada  peranan Amerika Syarikat  dalam ekonomi  Malaysia.

Kenapakah  Mahathir dan pentadbirannya  beranggapan  hanya  mereka sahaja  yang mengetahui semua  jawapannya?  Kenapakah sebabnya  rencana  terbaru ini disangsikan  dan  dianggap tidak  ada  kena mengena  dengan keadaan  ekonomi  AS.  Apa  perlunya  rakyat  marhaen   berbelanja sakan di  pasaran saham   ataupun di  kompleks membeli belah  sedangkan   tidak  ada  satu  usaha  untuk  menyanggah  bahawa  alasan  Perdana  Menteri  dan  juga  menteri  kewangan  itu  adalah  alasan  yang boleh  dicabar  sebagai  sesuatu yang tidak benar.

Beberapa  cadangan  projek ekonomi  dan kewangan yang diumumkan  termasuklah  subsidi  penanaman semula kelapa  sawit  berjumlah  RM600 juta,  pembinaan  sekolah  satu sessi  berjumlah  200 unit  semuanya, 193  buah  maktab, empat  universiti dan 6,600  unit rumah  untuk anggota  angkatan tentera,  pinjaman  kereta  kepada kakitangan  kerajaan  bagi  setiap lima tahun  dan  tidak  lagi  tujuh  seperti  dulu.  Rakyat marhaen  digalakkan  untuk berhutang dengan  menggunakan  kad kredit  sambil  menjadikan   Kuala  Lumpur  sebagai  pusat pelancongan.


Keadaan  Yang  Menyulitkan


Kalau  semua  itu  memang  yang dimaksudkan, sudah tentu  semua  itu   sudah  diambil kira  dalam  cadangan  perbelanjaan  negara  tahun  ini. Ini juga  membuktikan  bahawa  perdana  menteri  dan  menteri  kewangan benar-benar  memikirkan kesan kemerosotan ekonomi  Amerika  itu. Cuma,  keadaan ekonomi  Amerika  itu  digunakan sebagai dalil untuk  membuat pengumuman itu  sebagai helah  yang tidak ada  kena  mengena dengan  keadaan sebenar negara. Mungkin  juga  ada alasan  lain. Tetapi, apakah penting  semua  itu  kalau pasaran dan negara   mentafsirkannya  begitu?


Pada  persidangan  akhbar  itu  Mahathir telah menokok  Rm3  bilion  lagi  kepada  jumlah  RM28.8  bilion  yang  telah  diluluskan  untuk   perbelanjaan  negara.  Dia  tidak  pun  mengumumkan   berita  ini  kepada  Parlimen, sedangkan sessi parlimen sedang berjalan  sekarang ini.  Tidak pula  bagaimana Malaysia  dapat  menampan  kemerosotan  ekonomi  Amerika itu  dengan cara rakyat  berbelanja  sakan  pula?  Sepatutnya  apabila keadaan  menjadi  sukar, kadar  penabungan  sepatutnya  menjadi  sasaran untuk   dipergiatkan   lagi. Tetapi  sebaliknya,  kita digalakkan  berbelanja sakan seolah-olah  esok  sudah tiada lagi.

Apakah   ini  satu  usaha  agar  rakyat  Malaysia menjadi  tertarik  semula  melabur  di   pasaran  saham  supaya  mereka   yang  mahu melepaskan pegangan saham  mereka  (yakni  para  juak, anak-anak, para kroni dan sebagainya) mampu  melakukannya  kepada  pelabur  runcit  yang  tidak menyedarinya? Inilah  yang berlaku  pada 1997.  Tetapi, takkan  pisang berbuah dua  kali,  terutama  sekali  apabila  ada usaha  untuk  melambakkan  saham-saham kepunyaan syarikat para  kroni  di pasaran sejak  kebelakangan   ini dapat dihidu  sehingga kegagalan  menyauk  keuntungan besar sudah  pun  berlaku.


Kini  muncul  pula  soalan  cepu kencana:  Daripada  mana pula  wang  akan dicari   untuk  semua  rencana  ini? Segala projek yang  diumumkan  oleh  menteri kabinet   secara rakusnya itu  sudah  pasti  akan   menjerumuskan  Malaysia  ke  lembah  kesulitan  seperti  yang dialami  sekarang. Kerja-kerja  ‘bailout’ (penyelamatan) terhadap  syarikat kepunyaan  para  kroni,  anak-anak dan para juak  sudah  pasti  menghimpunkan  bebanan hutang yang  tidak terbayar.   Semua  projek  yang  berharga berbilion ringgit  diumumkan  tanpa mengambil kira  bagaimana semua itu  akan dilunaskan. Bebanan hutang  yang semakin bertapuk  disebabkan  gelagat para  kroni  yang rakus semakin mengancam  sistem   perbankan negara  untuk  tenggelam  sama.


Senarai Harapan


Memang tidak salah  menanggung hutang  bertimbun  kalau  ada  satu  system  pengurusan yang efisyen  dan  arif dengan cara  menguruskannya.  Tetapi inilah  yang disangsikan. Kebanggaan Malaysia   terhadap  kepintaran  mengurus  adalah  berasaskan  kepada suasana  ketika ramai  yang muncul  memberikan bantuan  modal yang mencurah-curah  yang  tidak  pun  menghasilkan  apa-apa selain  hutang bertapuk   dan  kemuflisan bertokok. Kini, Malaysia sedang didera  kerana  terlalu taksub  mempercayai  satu anggapan bahawa apa  yang  naik melonjak tidakkan turun  mencanak.


Cadangan  Dr. Mahathir itu  hanyalah  satu  ilusi  sahaja, kerana  dia tidak akan dapat  melaksanakannya.  Dia  mengharapkan  rakyat marhaen  akan  merasa lega  betapa masa berseronok itu  masih  ada lagi untuk dinikmati.  Keadaan pasaran saham  terus  jatuh merempat  di sebalik segala  usaha  memutarbelit pergerakannya  di saat akhir waktu  niaga akan  tamat.  Telekom,  Tenaga dan  Malayan  Banking  sebenarnya  mempunyai  kudrat bebanan sekitar  35 persen di antara  sejumlah  100 saham yang  mempengaruhi Indeks. Putar belit  menyanggah  indeks   memanglah  satu  kesalahan  tetapi Suruhanjaya  Sekuriti  dan juga  BSKL sentiasa  bersedia  menutup  sebelah  matanya  dalam tipu muslihat itu.

Jadi, kita kini  berhadapan dengan  kenyataan.  Apakah  benar  kerajaan  mempunyai  daya  kekuatan  menguruskan ekonomi   dan  menyelamatkan  negara daripada  tekanan  yang menjerut  kesejahteraannya.  Cuma  kerajaan  sahaja  yang  yakin  bahawa  ekonomi  boleh  melonjak  naik  apabila rakyat yang  ada pekerjaan   diberhentikan  sedangkan  dunia  perniagaan merengek dan   merangkak  ke bibir  gaung  kemuflisan. Negara  ini sedang  diasak  oleh  kecelaruan ekonomi  yang sungguh  dahsyat  tetapi  yang lebih  dahsyat  lagi  ialah  wujudnya  sebuah kerajaan  yang  tidak  sedar apakah ia  masih  wujud  secara berkesan.


UMNO  yang  menunjangi  kerajaan Barisan  Nasional  sedang  dihayun  masalah  dalaman yang akan melenyapkannya. Sebagai  presiden parti, Dr. Mahathir  masih berdegil melawan arus untuk    merangkul kuasa terus sedangkan  orang Melayu sudah naik malas   menyokongnya  lagi  dan  sanggup membiarkan  parti  terhegeh-hegeh  ke  jalan  mati. Pemilihan  di peringkat cawangan dan bahagian  menunjukkan  parti itu tidak berminat untuk melaksanakan  perubahan. Sikap melaksanakan  reformasi dalam parti memang tidak ada sehinggakan sanggup  membiarkan kaedah lama terus bernafas  begitu  sahaja. Inilah  alamat   parti itu menghampiri zaman kemusnahannya.


Lagak   Berani


Kepincangan  UMNO  menegakkan kewibawaan  menguruskan negara  disebabkan kerakusan berpolitik yang  mementingkan nafsu-nafsi, menjadikan  kereputan  parti itu tidak boleh dielakkan lagi. Keadaan  yang  menghanyutkan itu begitu  menonjol seperti yang tersembur  daripada mulut Mahathir sendiri.   Dia mengeluarkan kata-kata seolah-olah   dia masih menguasai keadaan.  Kuasa yang  dia fikir  masih  ada  di tangannya  itu  sudah lama  terhakis sedikit  demi sedikit  sejak direncanakannya  proses  pengaiban  terhadap  mantan timbalannya  Anwar  Ibrahim.


Pertelingkahan di  antara  David  dan  gergasi Goliatah  yang  dilakonkan oleh  Anwar  dan  Dr. Mahathir itulah  yang  menyebabkan  kerajaan Barisan Nasional  menjadi  lalai  terhadap  peranannya  yang  sebenar. Keadaan  sudah  menjadi begitu serius  sehingga  mencetuskan suasana yang  sama  peritnya  kalau mahu diusahakan agar  keadaan  berpatah  balik.  Apa  yang  cuba  dinyatakan oleh  Mahathir  dan  juga  Daim  bukannya  satu  kenyataan yang  hakiki sebenarnya.  Ia cuma  satu  sikap  berani  yang bermuka-muka  yang mereka harapkan dapat  menjadi  perisai  untuk  mereka terus  berkuasa.  Sebenarnya  kewujudan  mereka  itu sudah laksana  diberi pilihan  untuk  dibakar oleh  api ataupun   terjun masuk  mulut  buaya.


Dr. Mahathir  sudah ketandusan pilihan untuk  terus  berkuasa. Tidak  ada perubahan yang boleh dilakar yang  mampu  menyelamatkannya.  Apa  cara yang diusahakannya  dia  sudah  pun  dijerut  oleh keaiban. Yang  lebih  menyukarkannya  ialah  cara  dia  dipinggirkan oleh  negara, kerajaan  dan  juga  partinya. Dia  mengharapkan semua dasarnya dulu dapat  meraih sokongan  akar  umbi  yang telah  melarikan diri sejak September 1998 lagi. Dia  terlalu mengimpikan  satu pentadbiran  yang rancak  yang pernah  dibanggakannya.  Masa  itu  semua  sudah  lama  berlalu. Dia  telah  dihimpit  keresahan  oleh segala tekanan  itu. Apa  juga  yang  ditonjolkannya,   baik dalam bentuk   ucapan  mahupun  dasar   pentadbiran -  sudah tidak  laku  lagi.  Segala  rencana  ekonomi dan  kewangan yang  terbaru diusahakannya  itu  adalah  contoh   himpitan yang  akan  menyesakkan  pernafasannya lagi.


-MGG Pillai-

Terjemahan MT