Mahathir   Sudah  Membuatnya  Dulu  Lagi
(Mahathir  did  it, too,  in  the  70s -   brief  foreigners)

Oleh:  Fan  Yew  Teng  MP


Perdana  Menteri   Dr.  Mahathir Mohammed  membuat kerenah  lagi. Dia  masih  beranggapan  bahawa  orang  asing  masih    berminat  untuk   campur tangan  hal  ehwal Malaysia  dengan  tujuan  untuk  mengambilalih  kuasa  pemerintahan  negara.  Dia tidak  sedar, sikap  menakut-nakutkan  ini  sebenarnya menyerlahkan  perwatakannya,  parti  politik  dan  kerajaan  yang  dipimpinnya.

Beberapa  hari  yang lalu  Mahathir  ada  mengungkit  perihal  beberapa orang diplomat    asing   menghadiri satu  perjumpaan  tertutup yang dianjurkan  oleh  presiden  Keadilan,  DS  Wan  Azizah  Ismail. Pertemuan tertutup  itu  adalah bertujuan  memberi penerangan  mengenai  tahap  keadaan  penyakit  suami  beliau  Awnar  Ibrahim. Wan  Azizah  ialah  seorang  ahli  parlimen.

Ada  sebuah  akhbar  harian  berbahasa Inggeris  yang  melaporkan  kenyataan  Mahathir   betapa  adalah  tidak  perlu  menjemput  orang    asing   untuk  memberitahu  perihal   yang dianggap  sebagai  cerita  dalaman. Mengikut  Mahathir, gelagat  menjemput  mereka  dan  menjelaskan perkara     ini boleh  satu  hari   nanti    menjurus kepada  mereka  mengambil-alih  negara ini.

“Kita tidak  mahu  orang  asing  campur tangan  dalam hal ehwal negara. Kalau   perkara  ini  berterusan,  janganlah  terkejut  kalau  satu  hari  nanti    mereka menjajah  negara kita,”  demikian  kata-kata Mahathir  yang  dilaporkan  itu.

Ada  sebuah  akhbar  harian  berbahasa  Inggeris  lain  yang  menyatakan   betapa  perwakilan  kedutaan  daripada  Peranchis,  New Zealand, Australia,  Indonesia, Amerika Syarikat  dan  Singapura merupakan antara mereka yang  menghadirkan  diri  di  majlis  penerangan Wan  Azizah  itu.

Menakutkan

Sebenarnya,  ini bukanlah  kali  pertama Mahathir  menggunakan modal   menakut-nakutkan  terhadap  seorang  asing  ataupun   orang  luar  yang  akan  menjajah  negara. Hakikatnya  Mahathir adalah  orang yang paling  tidak  layak menyentuh  hal ini dan perkara yang berkaitan  dengan  campur tangan   hal ehwal dalaman  negara   kita.

Walaupun  Mahathir  amat  yakin  bahawa  rakyat Malaysia mempunyai  ingatan  yang singkat, ramai  rakyat   negara  ini  yang  masih  ingat dengan  mudahnya  gelagat  politik Mahathir  sendiri  mengenai  perkara  ini  sejak lebih  32  tahun  yang  lalu.

Sebagai contoh  cuba fikirkan  bagaimana  Mahathir,  melalui penulisannya  yang sungguh kuat  mengkritik  Perdana  Menteri  Tunku  Abdul  Rahman   Putra  dan  kerajaan  pimpinan   beliau,  seperti  yang  disiarkan  dalam  ‘Solidarity’   sebuah  terbitan  Filipina  di  awal  1970-an dulu.

Bukankah  itu  caranya  beliau  memberi  penerangan  kepada  orang  asing  mengenai hal-hal  yang bersangkutan  dengan  masalah  negara?   Tentu  sekali  kita percaya  beberapa  salinan   ‘Solidarity’  tersebar  di pejabat-pejabat dan  khutub khanah  di merata  penjuru  dunia.

Di waktu  yang  sama,  Mahathir   orangnya,  yang  melalak-melolong  kepada  orang asing di  Singapura dan Australia  dalam  mencemuh di hadapan mereka segala   masalah  negara?

Mahathir  sedar  betapa    pentingnya  beliau  bersikap  demikian  di waktu  itu  ketika  dia terpinggir laksana  kelkatu  dalam dunia  politik negara. Dia  baru  sahaja kalah  dalam  pemilu  1969  dan  gagal  mempertahankan  kerusi  parlimennya dan baru  pula dinyahkan  oleh  UMNO. Itulah  masanya  dia sibuk  laksana  beruk memberikan penjelasan  mengenai  hal ehwal  dalaman  negara.

Dr Wan Azizah  adalah  seorang  pemimpin  sebuah  parti  politik yang berdaftar.  Dia   juga  merupakan  isteri  kepada  Anwar  Ibrahim.  Apakah  salah perbuatan  beliau  itu  sebagai  seorang wakil rakyat, dan  tidak kurang dari itu, memberikan  penjelasan  mengenai  hal-hal  yang  begitu  bermakna kepada  hati  nuraninya kepada  mereka  yang  sudi   mendengarnya?

Kalau  Mahathir dikatakan  tidak  mempunyai  apa-apa  untuk dirahsiakannya   pada  1970-an dulu,  kenapakah  dia  begitu  gelabah dan  begitu  tertekan  untuk  menyorokkan,  menutup dan menapis  semua  benda pada  tahun  2001?

Kalau   perbuatan Mahathir  pada1970-an dulu  tidak berkesudahan  dengan  apa  yang berlaku  di Filipina  ataupun  menyebabkan   orang  luar  menjajah  negara  kita  ini,  apakah  bukti   sahih  yang boleh dikemukakannya  sebagai dalil  bahawa  ada pihak  orang luar   yang  boleh menjajah  negara  ini satu  hari  nanti?

Kanak-kanak  Yang Terkorban

Sememangnya, sebagai  seorang  perdana  menteri Mahathir  tidak selalu bersikap marah-marah  terhadap  orang asing.  Cuba  fikirkan lawatannya  ke Washington  DC pada 1984  dulu -  tiga tahun  selepas  menjawat  jawatan  perdana  menteri. Beliau  telah  menandatangani  satu  perjanjian  sulit  dengan  Casper  Weinburger, setiausaha  (menteri  Amerika)  pertahanan  AS  dalam  kabinet  pentadbiran  Reagan.  Inilah  satu  perjanjian  yang  sungguh  dirahsiakan  sehinggalah  ia didedahkan  beberapa  tahun  kemudiannya oleh  Asia Wall  Street  Journal.

Tentu  kita  masih ingat bagaimana  Mahathir  telah  mengarahkan  menteri luar ketika itu, Abu  Hassaan Omar menghadiri  satu   majlis keselamatan  PBB  untuk  mengundi   memberi sokongan  kepada  Resolusi  678,  yang  diilhamkan oleh   Presiden  George  Bush  (bapa presiden Amerika masa kini)  untuk  mengambil sebarang  tindakan  yang difikirkan  wajar  mengnyahkan Iraq  daripada  Kuwait.

Perutusan  khas negara  ketika   itu, Musa  Hitam, dan  ketua  misi kita di PBB,  Razali  Ismail menjadi sungguh   tidak  relevan  ketika  itu, walaupun  mereka  membuat cadangan  terhadap  pengundian  yang  berbeza. Mahathir  telah  membuat  pendirian  untuk  menyokong George  Bush  dan  tidak ada sesiapa  yang  boleh  mengubah fikirannya

Dengan  sokongan  manusia  seperti Mahathir,   George  Bush  bertindak  pada  pertengahan  Januari 1981, untuk  menggugurkan  serangan  udara  selama  43 hari  lamanya terhadap  Iraq.  Akibatnya,  ribuan  nyawa  manusia  yang tidak berdosa terkorban termasuklah  lelaki  dan  perempuan,  yang tua dan  tidak berupaya,  kanak-kanak  dan bayi,  rumah  yang  hancur  musnah, hospital,    pusat  rawatan  air, jana kuasa letrik,  sekolah, masjid, surau  dan gereja,  jalan raya,  jambatan dan segala bentuk infrastruktur. Apabila diambil  kira segala kesengsaraan yang ditanggung  oleh  penduduk  Iraq  ketika  itu, kesan pengeboman itu  memang  sungguh dahsyat   sekali.

Pengeboman  daripada udara  dan  tindakan sekatan  ekonomi selama 10 tahun  lamanya, telah meragut  nyawa  lebih 1.5  juta   manusia  di Iraq,  kebanyakannya  kanak-kanak.

Sebenarnya Mahathir    dan kerajaan pimpinannya  mempunyai  dosa besar  yang berkaitan dengan  pembunuhan itu, walaupun dia berlakon  menyanggah kuasa besar dan imperialisme.

Perjanjian  sulit ketenteraan  yang  ditandatanganinya   pada  1984   di  Amerika  Syarikat  itu masih  kekal dihormati  sehingga  kini. Itulah  sebabnya  semakin  meningkatnya lawatan  kapal-kapal  perang  Amerika  dan  para  panglima ketenteraan  AS  ke negara  ini.

Semakin  ramai manusia  termasuk    mereka yang   menghuni  rantau  Barat, yang  sudah  dapat  menelah  lakonan anti-imperialis  Mahathir.  Inilah  yang  meyakinkan  ‘The  Economist  of  London’  sebagai salah  satu  majalah  mingguan  paling  berjaya di  dunia,  mencatatkan  berita  ini pada isu  keluaran Mac 31 2001 mengenai  Mahathir:

“Dia   telah  mendabik  dada mengenai  kehebatan  Malaysia  dalam  usaha  menarik pelabur, walaupun dia telah mempersendakan  para  speculator  dan imperialisme ekonomi  barat.  Dia  beranggapan  bahawa  dia boleh  mengutuk  barat sesuka hatinya terhadap  konsep globalisasi  mereka,  sedangkan  di  waktu  yang sama  dia  mengenyit  mata  kepada  para perutusan  mereka  dan  membantu  mereka  mengasaskan ruang  niaga.

Inilah  yang  memberikan kelencongan  di  negaranya  sendiri, tanpa  merencatkan  pertumbuhan  kehendak   (nafsu-nafsi)   Dr. Mahathir   dalam  taktiknya menjana  jentera  naungan  kerajaannya. Inilah  cara    negara  itu  bernafas   sebenarnya.  Kini, kebanyakan  pelaburan  terus  orang  asing  sudah pun beralih  ke China kerana  Malaysia sudah  diakui  sebagai  mencontohi  beberapa  negara jirannya  yang korup Inilah  yang  menghenyak Malaysia  -  tetapi  apakah  Dr.  Mahathir  sedar  perkara  ini?”

Sokongan  Pengabdian

Apabila  membincangkan  orang  asing dan  campur tangan   mereka,  bukankah  Mahahtir juga turut  sibuk  dengan hal-ehwal  campur tangan  ini   sejak dua  puluh  tahun dia  menjadi  perdana  menteri?  Dalam  hal   ini  eloklah  kita sebut  tiga  sahaja  contoh. Pertama ialah  Timor-Timor.

Timor-Timor telah dijajah  pada Disember 1975 oleh  tentera Indonesia  di  bawah   arahan  Presiden Suharto  dan kemudiannya dijadikan sebagai  satu  provinsi  Indonesia,  walaupun  ada  beberapa  resolusi PBB   yang   menyanggahnya.

Sekitar  1981, ketika  Mahathir  menjadi  Perdana   Menteri Malaysia,  dan  1999, rakyat  Timur Timor  telah   memilih kemerdekaan  dengan  sebulat  suara  melalui satu  referendum   tajaan  PBB.  Dasar  politik Mahathir terhadap Timur Timor adalah terlalu  mengaibkan  kerana  sanggup  menunjukkan  pengabdiannya  terhadap penjajahan  haram  Suharto   terhadap wilayah  itu  tanpa  mahu  mempertikaikannya.

Tentu  kita  masih  ingat  pada  awal  1990-an, ketika RTM secara tidak sengaja  menayangkan  beberapa  klip  gambaran jenayah  dan  kekejaman di  Timur-Timor  yang dilakukan  oleh  Indonesia sehingga mengundang   protes kerajaan Suharto?

Mahathir  telah  mengarahkan  menteri  penerangannya  bergegas  ke Jakarta untuk  memohon  maaf.  Pada  November 1996,  Kuala  Lumpur  menjadi  tuan-rumah  kepada  2nd  Asia-Pacific Conference on East  Timor (Persidangan  Kedua  Asia-Pasifik  Mengenai  Timor Timor).  Di waktu  itu  ada  satu  pertunjukan  demo jalanan  yang  ditaja  oleh  Pemuda  UMNO yang  menyerlahkan   sikap  dan  dasar  Mahathir yang sebenarnya mengenai Timur Timor.

Setelah  penduduk  Timur-Timor  memilih kemerdekaan, Mahathir  masih  lagi  merepet   terhadap  usaha  membiarkan penduduk  memilih  jalan selamat  daripada cengkaman penjajahan Indonesia, sambil  terus  mencemuh  referendum  yang  ditaja  oleh  PBB itu.

Siapa pula  yang campur tangan  dengan  kisah  hidup  dan  mati  rakyat TimurTimor itu?  Sekitar 250,0000 penduduk  telah terkorban  disebabkan pencerobohan Indonesia  yang  berakhir  dengan  penjajahannya. Ini  adalah  bersamaan  dengan satu   pertiga   jumlah  penduduk  yang   ada.

Begitu juga  halnya  dengan   Burma,  yang   kini  digelar   Myanmar oleh  para bajingan  tentera   yang   menggelar diri  mereka   sebagai  SPDC;  yang sebenarnya  merupakan  nama  terbaru  kepada    kumpulan  junta  tentera  dulu  yang dikenali  sebagai  SLORC.   Mahathir  tidak pun  mengutuk  pembunuhan  ratusan  rakyat  Burma  yang  menunjuk perasaan  pada  Ogos  8,1998.  Bukankah kegagalannya   mengecam  tindakan  tentera  itu  satu bentuk  campur tangan  melanggari  kepentingan  sah  rakyat Burma  dan satu  tamparan hebat  terhadap  demokrasi? Apa  yang  disebut  pembabitan  membina  itu  adalah dianggap  satu   keaiban kepada rakyat Burma.  Jadi, siapa  pula yang  mengambil  sikap  campur tangan?

Ketika   berada  di Jepun  pada Mei  1999,   Mahathir   pernah  membuat  kenyataan  terbuka agar  penduduk    Asia melupakan  segala  kisah  kekejaman   perang  orang  Jepun.  Hebat bukan?

Siapakah  yang  memfaraidkan  tauliah   kepada  Mahathir  untuk  campur  tangan  dalam  perkara  ini  semua  yang   memahatkan  parut  luka  terhadap  ratusan  ribu  mangsa  perang dan  kekejaman   Perang  Dunia  II  dulu, termasuk  juga  orang-orang  yang mereka  kasihi?  Pernahkah dia  berunding  dulu  dengan  orang China, Korean dan  mangsa perang lain  yang  dimangsakan  oleh  imperialisme Jepun  sebelum  dia   menghamburkan  cakap-cakap  celupar   mengenai  hal  ini?

Rumusan

Kita  boleh  memahami, di sebalik  segala kejijikan  yang  ada,  kenapa  Mahathir  mengambil sikap tertentu  terhadap  Anwar  Ibrahim. Walaupun  berada di sebalik  kamar berjejari besi, Anwar  masih  menghantuinya. Dia  memang  tidak  mampu  berdaya  saing menentang Anwar  sebelum dan  selepas  pemilu  1999,  kerana  dia sedar dia  bukannya orang yang dapat  menandingi kepintaran Anwar berpidato dan  ketokohan  dinamik Anwar.

Yang lebih  menyenakkannya,  walaupun  Anwar  berada  di   penjara  dia menikmati  aura  seorang  wirawan. Mahathir  menjadi  begitu   takut terhadap Anwar  sehinggakan  dia  dapat  merasa selamat hanya  apabila Anwar  dipenjarakannya.

Di satu  peringkat  pula, kebodohan  Mahathir   mencemuh  orang asing  sebagai  berperanan  menjajah  negara   ini  semula  adalah  bertujuan  sebagai satu  lencongan minda rakyat  Malaysia  daripada  menjadi  peka  terhadap pelbagai masalah   sosio-ekonomi  yang  menghantui  mereka. Apatah lagi  dengan semakin  membuaknya   perasaan  tidak  puas hati  di  kalangan UMNO  terhadap   kepimpinan  haprak  beliau.

Jika tidak  kerana  semua  itu,  kenapakah dia  begitu  tertekan  mengenai  apa  yang  disebut sebagai perundingan  ‘Perpaduan  Melayu’ dengan  PAS?  Inilah satu  ukuran  betapa  berkecamuknya  negara  ini  di  mana  orang  yang telah  menghancurkan  secara  berurutan  perpaduan  Melayu  itu  sejak tiga dekad  yang  lalu kini  berlagak  sebagai  penganjur  ikhlas  perpaduan  itu.


-Fan Yew  Teng-

FYT   ialah   bekas  ahli  Parlimen  Malaysia  dan  bekas  perunding  kepada  PBB.  Sebagai  seorang  pengarang  dan  pensyarah,  dia  kini sudah  pun bersara  daripada  dunia  politik  dan  sedang  menyudahkan  sebuah  penulisan  buku.

Terjemahan MT