PERUTUSAN KHAS WEBMASTER

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan yang sedikit ini untuk mengucapkan simpati ke atas DSAI di atas keputusan yang telah dijatuhkan oleh Hakim Ariffin Jaka sehingga menyebabkan 14 April menjadi hari yang begitu penting dan tercatat dalam sejarah politik negara. Ia dikenali sebagai titik hitam yang menodai perundangan dan sistem kehakiman bila mana satu pertuduhan yang tiada bukti-bukti boleh melemparkan seseorang ke jurang kebinasaan akibat satu konspirasi peringkat tertinggi negara diketuai oleh seorang Perdana Menteri iaitu Dr. Mahathir Mohamad. Semua rakyat telah tahu perkara ini. Ia bukan satu pembohongan atau fitnah.

Akibatnya 14 April menjadi hari hitam atau dikenali 'Black 14'. Igauan ini akan terus menerus sepanjang hayat kita dan kita semaikan ia kepada generasi muda agar mereka mengingati satu kezaliman telah berlaku secara melampau, apa lagi dalam peradaban moden yang kununnya menolak segala taktik kotor dan keji dalam hubungan kemanusiaan. Nampaknya dalam pemodenan ini masih ada manusia yang akal dan fikirannya masih kuno dan terbelenggu.

Kita sebagai rakyat sudah menyatakan komitmen kita menentang kezaliman. Kita juga sudah melafazkan sumpah pendekar. Walau pun dihari ini kita berhimpun bukan untuk bertarung, tetapi hanya untuk menyatakan apa yang tersirat dalam dada kita. Kita berhimpun bukan untukm menggulingkan kerajaan. Jauh sekali untuk melontar bom api, atau molotov. Kita tidak berbekalkan apa-apa senjata melainkan beberapa keping kertas berupa memorandum yang akan disampaikan kepada Suhakam, yakni sebagai protes kita kepad apihak yang berwajib, setelah polis dan apa jua Jabatan kerajaan dalam negara ini sudah tidak mahu menerima aduan kita akibat dikongkongi oleh seorang diktator yang menggunakan apa saja untuk menguasai mereka.

Turunlah kita bermai-ramai di jalanan hari ini. Pimpinan PAS, PRM, KeADILan, DAP sudah komited bersama. Juga KAMI serta lain-lain NGO's juga turut sedia.

Maka kita rakyat Malaysia berarak menyerahkan memorandum ini tidak lain sebagai menunjukkan rasa sayang dan cinta kita kepada negara kita Malaysia. Kita tidak ingin menyanggah sesiapa melainkan kezaliman dan penyelewengan. Apakah menyanggak perkara demikian menjadi satu kesalahan?

Rakyat Malaysia sekeliannya,
saya berseru marilah kita turuti perhimpunan hari ini. Kita dalam kedudukan majoriti, bukan minoriti. Bersamalah kita memastikan Malaysia bebas dari penyelewengan sehingga ekonomi negara turut terjejas oleh satu alaf pemerintahan yang korupsi dan  menyeleweng.

BERJIHAD DEMI MENEGAKKAN AGAMA ALLAH

Polong Cyber