MAMPUKAH ISA MENYELAMATKAN MAHATHIR LAGI?

(Will  ISA  Save Mahathir  Again?)
Oleh: Kim  Quek

4.48 pm   Jumaat:   Menteri  hal ehwal Dalam  Negeri  dan Timbalan Perdana  Menteri ternyata  lembap bertindak dan seolah-olah kurang  persediaan  untuk menandingi kelincahan  pihak polis yang bergerak  laksana kilat  menggunakan  ISA terhadap  beberapa  pemimpin  parti  pembangkang. Reaksi Abdullah Ahmad Badawi  itu menjentik satu  imaginasi siapakah  sebenarnya   yang  mengarahkan  penggunaan Akta  ISA  itu  dalam  penangkapan  tersebut  sedangkan  polis  adalah  di bawah  kuasa  Menteri  Dalam negeri.

Sudah  tentulah  kerja itu  dibuat sendiri  oleh  Perdana  Menteri  Dr. Mahathir  Mohamad.

Serangan  ISA  itu  adalah  satu  tindakan  yang  melanggar  perlembagaan negara   kalau  diambil  kira  segala  kelentongan  yang  dikemukakan oleh  Ketua  Polis Negara  (KPN/IGP) Norian Mai  yang cuba menonjolkan kuasa di  bawah  Seksyen  73(1) dan Seksyen 8  Akta Keselamatan  Dalam negeri  1960 itu.

Kelentongan  secara selamba oleh  penjaga  keluhuran  Perlembagaan  dalam menghenyak   pihak  pembangkang  yang  sah  adalah satu  pencabulan terhadap  Perlembagaan  (Seksyen 10) dan boleh  diambil kira sebagai satu  tindakan derhaka  terhadap  Perlembagaan itu. Para  pesalah  ini telah mengingkari  amanah rakyat  dan sepatutnya dicop sebagai petualang negara yang boleh  didakwa kerana  durhaka.

Dalam satu sidang akhbar  untuk  menjelaskan penggunaan  ISA itu, Norian  telah  mencuba meyakinkan rakyat jelata  dan juga  dunia sejagat  betapa wujudnya  satu rencana  untuk  menjatuhkan  kerajaan  secara  menyalahi  perlembagaan.  Tetapi, semua  kenyataan  yang dibuat  oleh  Norian  itu  adalah palsu, menyindir  dan  semata-mata bersifat  spekulasi  sahaja.  Tidak ada  satu  pun  kenyataan itu  yang dapat  bertahan  kalau dilaksanakan penelitian awalan.

Norian  mengatakan   tujuh pemimpin yang  ditangkap  di bawah ISA  itu  adalah antara  20 ahli satu  kumpulan militan  yang merancang untuk  melancarkan  satu  demonstrasi militan  rakyat  secara  besar-besaran yang paling  penting  di antara  himpunan   mega itu  ialah  Gelita 14 (April 14)  yang bertepatan dengan  ulang tahun kedua Anwar dijatuhkan hukuman kerana  apa  yang  disebut  sebagai  salah guna kuasa.

Apabila  disoal  untuk  memberikan penjelasan apakah cara-caranya  para reformis  melakukan  operasi ‘militan’ mereka, Norian bertanya  balik: “Apakah ertinya  perkataan militan?”  Dia  kemudiannya  merujuk kepada  demonstrasi  1998  dulu (sebaik sahaja Anwar   ditangkap) dan berkata:  “bom Molotov” telah digunakan  terhadap  polis, dan  bertanya: “Bukankah  itu  militan?”

Apabila  didesak bertalu-talu apakah ada sebarang senjata  yang dirampas  ketika dilancarkan  penangkapan para aktivis itu, dia hanya  mampu mengemukakan jawapan  yang haprak:  “Lidah itu lebih  tajam daripada  senjata”, yang bererti  tidak  ada sebarang  senjata yang dijumpai ataupun adanya  sebarang  petunjuk menunjukkan  adanya senjata.

Daripada  perbualan itu  jelaslah  Norian  tidak  mempunyai  sebarang  dalil untuk  melabelkan para domonstran sebagai  “militan”.  Betapa  dia terpaksa  merujuk kepada   1998  untuk  menyungkil sesuatu (beberapa bom molotov)  yang tidak pun boleh dianggap sebagai senjata  untuk  menyokong  kes  beliau   adalah satu perakuan kepada  kenyataan  itu.

Sebenarnya,  di  sebalik segala gembar-gembur Norian mengenai  sikap militan dan pelbagai senjata, yang dikatakan muncul  sejak  peristiwa 1998 dulu,  kalau  ada  pun  barang bukti  himpunan  militan  itu  hanya  muncul daripada  pihak  polis.  Kalau  ada  pun  senjata  yang  dijumpai  adalah satu pistol  mainan  yang  disimpan  oleh  seorang pelajar berumur 18 tahun ketika polis  membuat   penggeledahan  yang  serupa  ketika  ulang tahun Gelita14 tahun lalu. Waktu  itu ISA  tidak  pun  digunakan  kerana memadai dengan  menggunakan  Penal Code (Kanun Jenayah)  sahaja.

Ketika  itu polis dan pasukan Gerak Am  telah  mempertontonkan gelagat ketenteraan  dalam satu  operasi yang belum pernah disaksikan di negara  ini sebelum  itu. Semua  itu  dilakonkan untuk  menghambat  usaha  rakyat marhaen  menyambut  ulang tahun  keaiban terhadap Anwar  di serata negara.

Bandar raya Kuala Lumpur  telah diserbu  oleh  polis  dan  pasukan keselamatan  yang lengkap  bersenjata. Pemeriksaan polis dipasang di setiap persimpangan dan  orang  yang  berkemungkinan turut serta himpunan  aman  telah diperiksa, didera, diraba dan diarahkan  pulang dan ditangkap.

Sepanjang  operasi  mega  polis  itu, hanya  satu  alat menyerupai  senjata  yang berjaya  dijumpai.  Itulah dia pistol mainan. Kalau ada  pun  rusuhan yang  dilaporkan  ia adalah berkaitan dengan tindakan  polis mengejar  dan memukul  para peserta  himpunan aman rakyat itu.

Episod  itu  adalah  satu  gambaran  nyata  betapa  tidak ada  sebarang  senjata  dan tidak  ada  sebarang  keganasan yang dianjurkan oleh Barisan Alternatif  setiap  kali  mereka menganjurkan  himpunan  aman.  Malahan  sehingga  hari ini, rekod tanpa keganasan  BA  itu  masih  kekal   hingga  kini menepati  ikrar  dan prinsip perjuangan  berperlembagaan.

Apabila  tidak  ada sebarang senjata  yang  dijumpai  apakah barang bukti  yang  diperolehi  oleh Norian untuk  menyokong  tohmahannya  bahawa penyerahan  MEMO kepada Suhakam  mengenai Gelita14 itu  akan menggugat  keselamatan negara?  Tidak  ada  apa  pun!!!!!  Kalaupun  kenyataan Norian  itu  berasas ia cuma:  “Perhimpunan ini  dan  perbarisannya  mempunyai potensi menjadi ganas.”

Apabila  ketua  polis sebuah  negara  melaksanakan  penangkapan  beramai-ramai  para  pemimpin parti pembangkang  dengan  menggunakan undang-undang yang paling zalim dan mengasaskannya kepada  tanggapan   persendirian yang tidak berasas dan  bersifat spekulatif (yang tidak  disokong oleh  pengalaman  lama) Norian  bolehlah mengambil ingatan betapa dia telah  melakukan  satu kerja tindakan kepolisan   yang sungguh menakjubkan dalam  sebuah  negara  yang  berdemokrasi. Tentulah  tindakannya  itu  memberi  kebanggaan  kepada Mahathir sambil menyangkutkan sehelai  lagi  bulu  keangkuhan kepada topi  ‘Malaysia Boleh’ beliau.

Memang tidak  sukar  untuk  memahami  kenapa Mahathir  terpaksa  bertindak secara seorang desperado dalam  menyalah-gunakankan  ISA  untuk   membenteras  pembangkang. Inilah tindakan  bajingannya  sejak  1987l agi. Ini mungkin tindakan terakhirnya  untuk terus  mencungap, setelah menanggung kesiksaan  bertalu-talu yang  mencemari kewibawaannya disebabkan  tindakan penyelamatan  mega  ke atas  syarikat  para kroni dengan  menggunakan wang rakyat marhaen. Sedangkan  negara  masih  terus  dihenyak ekonomi  yang merudum.

Setelah  kehilangan kewibawannya itu   Mahathir  menonjolkan  rancangan ekonomi yang telah diperlekehkan   oleh  pasaran. Pakej ekonomi bernilai  RM 3 bilion untuk menampan kejatuhan ekonomi Amerika  telah disambut dengan penurunan  indeks  pasaran  saham.

Rencana  Rancangan Jangka Panjang Ketiga  (RRJP3) yang dibentangkannya telah  memberikan satu ilusi ekonomi   yang cantik untuk  10 tahun yang  mendatang  dan dianggapnya   sebagai satu  perangsang moral. Harapannya  berkecai  apabila  pasaran  saham  jatuh  merudum sebaik  sahaja dia selesai  membentangkan  kertas  cadangannya  itu.

Kemarahan  rakyat marhaen semakin membuak terhadap  cara  salah-urusan institusi  kewangan  dan  kezaliman  yang berterusan terhadap mantan  timbalan perdana  menteri Anwar Ibrahim,  Lagipun kejatuhan ekonomi negara yang terus  melanda dan kemunculan  mendung  yang mengawani gemerlapan kepimpinannya sudah  semakin ketara.  Sifat  untuk  terus  mencungap itu telah  mendorong Mahathir menjadi lebih  rakus  dan  mempertaruhkan masa depannya  dengan  menggunakan  ISA  sebagai hambatan  terhadap para pembangkang.

Sesungguhnya  ISA telah membantu  Mahathir  dengan  penuh  kegemilangan pada 1987 dulu.  Apakah  dia  mampu  mengulangi kejayaan   yang  sama?

Tidak  mungkin. Sebabnya  amat  mudah sekali. Pada1987 musuhnya adalah DAP  yang  merupakan parti bukan-Melayu dan  ketika itu  pengaruhnya  berakar-umbikan sokongan  orang  Melayu  yang  berpadu. Lagipun, ada semacam satu  keperluan  menggunakan  ISA  ketika  itu  kerana wujudnya riak-riak kegelisahan  kaum, yang  pada  satu bahagian  sengaja dicetuskan   untuk  memberi sokongan  kepada  pengembelingan  ISA.

Kali  ini orang  yang  menyanggah  Mahathir  adalah  masyarakat   Melayu  yang  merupakan  tonggak  asal  sokongannya  dulu;  dan  tidak  pula  ada  sebarang ketegangan  perkauman walaupun ada tanda-tanda usaha  pihak  yang berkuasa  cuba  mencetuskannya.

Sejarah tidak akan mengulang tayang arkibnya  untuk Mahathir. Salah guna ISA adalah satu pencabulan biadap terhadap  Perlembagaan  negara kita  dan  merupakan satu  perkosaan  terhadap kehidupan manusia.  Inilah  yang menaikkan  keberangan seluruh  negara dan  terus  menyatupadukan rakyat  menyokong barisan  pembangkang. Para  penyokong setia  Mahathir  pun tidak  lagi mampu  bersuara  lantang  untuk  memberikan  sokongan kepadanya.

Ada  sedikit nasihat  khas  untuk Ketua  Polis Negara:  Adalah  menjadi  satu  sumpah  taat  setia pihak  polis  untuk mempertahankan  undang-undang  dan  keselamatan  negara serta keluhuran  Perlembagaan. Bukannya  menjadi  seorang  pemain  yang berpihak-pihak dalam percaturan  politik negara.

Kewajiban polis dalam menangani  himpunan rakyat adalah  untuk menentukan himpunan  itu  lancar  secara aman, dengan  sebarang kelecehan   yang  minima kepada orang ramai.   Bukanlah  satu  tugas  polis  untuk  menyekat  himpunan  aman rakyat jelata, semata-mata berasaskan kenyataan bahawa  himpunan  itu  tidak disenangi  oleh parti  yang  memerintah.

Yang  lebih mengaibkan,   KPN telah bersekongkol  dengan  parti  pemerintah untuk  menghukum para  aktivis politik yang sah dengan  mencemar  keluhuran Perlembagaan.  Gelagat  KPN semacam  ini  menjadikan  dia penjenayah  yang   mencemar kedaulatan  Perlembagaan  itu  dan boleh  menjadi akauntabal  terhadap  jenayahnya untuk  dibawa  kepada  pengadilan   mahkamah, sebaik  sahaja keadilan  dikembalikan  semula  dalam negara  ini.


-Kim  Quek-
13.4.2001