BERHIAS DIRI

From: insan muda <*****@yahoo.com>
To: ALI MUDA <alimuda@hotmail.com>
Subject: menghias diri
Date: Sat, 24 Mar 2001 07:04:27 -0800 (PST)


Assalamualaikum wrt. wbt.

ke hadapan ustaz semoga dikurniakan kesihatan yang berpanjangan hendaknya......

ustaz....
di sini ana ada sedikit kemusykilan berhubung dengan perhiasan diri oleh seseorang Islam... apakah maksudnya mengubah kejadian Allah oleh seseorang yang menghiaskan diri?

apakah hukum seseorang wanita mencabut bulu keningnya  sama dengan seorang lelaki yang mencabut bahagian tertentu pada misai atau janggut dengan tujuan menghiaskan diri atau supaya kelihatan lebih menarik?

apakah hukumnya seseorang itu menyamakan susunan gigi yang tidak sama? adakah itu juga termasuk dalam mengubah kejadian Allah?? apakah boleh kita kiaskan dengan "mengikir gigi" seperti yang terdapat dalam hadis Rasulullah saw?

apakah hukum kita mengubah warna rambut?

apakah hukumnya kita mengubah warna kulit (memutihkan kulit)??

ana harap ustaz dapat memberi penjelasan berkenaan persoalan ana ini. berikutnya, ustaz memberi penjelasan secara umum.

sekian, terlebih dahulu JAZAKALLAHU KHIRAN KATHIRA atas penjelasan ustaz nanti.

wassalam..


JAWAPAN:

Wa`laikumussalam warahmatuLlah.

Maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah s.w.t. yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.

Dalil haramnya hukum mengubah ciptaan Allah s.w.t. atas sebab yang tersebut di atas ialah ayat 118 dan 119 daripada surah al-Nisa' yang bermaksud:

"Allah telah melaknatinya (syaitan), dan berkatalah (bersumpah) syaitan, "Akan ku ambil sebahagian yang tertentu (tipu daya) ke atas hamba-Mu.(118) Dan akan ku sesatkan mereka, ku panjangkan angan-angan mereka dan akan ku perdaya mereka sehingga mereka memotong telinga-telinga binatang ternakan mereka (amalan ini dilakukan oleh Arab jahiliyyah sebagai tanda ibadat kepada berhala), dan akan ku perdaya mereka sehingga mereka mengubah ciptaan Allah, dan sesiapa yang mengambil syaitan sebagai teman setia selain Allah maka dia telah rugi dengan kerugian yang nyata"(119).

Jadi, sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah yang sempurna adalah sikap yang terhasil daripada tunjuk ajar syaitan. Sesiapa yang mengikuti ajaran syaitan, maka dia berada dalam kesesatan yang nyata, walaupun dia tidak merasai kesesatan itu.

Demikianlah secara kesimpulannya, maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. Berkenaan soalan sdr, di bawah dinyatakan jawapannya, semoga Allah s.w.t. memberi taufik:

Hukum mengubah ciptaan Allah s.w.t. pada bulu kening, gigi, warna rambut dan warna kulit:

Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah s.w.t. yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu, agar menepati cita rasa seseorang wanita itu supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya (seperti yang dipamerkan oleh kebanyakan artis dan personaliti-personaliti wanita hari ini); adalah satu perbuatan yang terlaknat kerana si pelaku itu terpedaya dengan tunjuk ajar syaitan. Hukumnya adalah HARAM berdasarkan ayat di atas.

Jangan kita tertipu dengan perangai orang yang suka menuruti hawa nafsunya, bila dibacakan ayat al-Quran, dia cuba membuat takwilan yang jauh, umpamanya mempersoalkan "Di mana perkataan 'haram' atau larangan dalam ayat itu?" Sedangkan hukum syariat bukan hanya berdasarkan perintah suruhan atau larangan sahaja. Ada hukum yang terhasil dengan 'perkhabaran' seperti dalam ayat tadi, di mana Allah s.w.t.  mengkhabarkan bahawa perbuatan mengubah ciptaan-Nya adalah kerana termakan dengan tipu daya syaitan dan perbuatan mengikut ajaran syaitan akan menjerumuskan seseorang ke dalam kesesatan yang nyata. Seseorang Islam yang telah diberi hidayat oleh Allah s.w.t. adalah diHARAMkan menjerumuskan diri ke dalam kesesatan. Maka segala perbuatan yang telah termaklum hasil tipu daya syaitan adalah haram hukumnya. Apatah lagi di sana terdapat banyak hadis yang melarang perbuatan seumpama itu, seperti yang akan disebutkan di bawah.

Ada pun jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka pada pandangan saya, tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah s.w.t. jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening, serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri, bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah s.w.t. Ia samalah juga dengan lelaki yang mengemaskan janggut dan misainya, tidak jatuh haram perbuatan itu, kerana Allah s.w.t. itu cantik dan sukakan kecantikan. WaLlahu a`lam bis sowaab.

Namun, bagi seseorang yang warak, dia amat berhati-hati terhadap hal seumpama itu, terutama bila ada nas yang sahih melarang perbuatan mencabut bulu kening. Walaupun niatnya hanyalah untuk menjaga kekemasan diri, tetapi dia amat berhati-hati kerana khuatir termasuk dalam perkara haram seperti perbuatan menghaluskan bulu kening yang agak lebar (bukan yang tumbuh berselerak di dahi).

Di sini saya ingin menyebutkan beberapa buah hadis sahih pada darjatnya yang tertinggi (riwayat al-Bukhari dan Muslim) yang melarang perbuatan mengubah ciptaan Allah s.w.t.:

i. Daripada `Aisyah r.a. bahawa seorang wanita bertanya Nabi s.a.w.: Wahai Rasulullah, anak perempuanku yang baru berkahwin terkena penyakit kulit sehingga rambutnya keguguran dan terputus-putus. Apakah boleh ku sambungkan rambutnya? (memakaikan rambut lain yang palsu). Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah s.w.t. melaknat al-Waasilah (orang yang memakaikan rambut palsu kepada orang lain) dan al-Mawsuulah / al-Mustawsilah (orang dipakaikan rambut palsu).

ii. Daripada Humayd bin `Abdir-Rahman bahawa beliau mendengar Mu`awiyah bin Abi Sufyan berkata dari atas mimbar pada satu musim haji tentang rambut palsu yang dibawa oleh seorang pengawal: "Wahai penduduk  Madinah, di manakah ulama kamu? Sesungguhnya aku mendengar Nabi s.a.w. melarang perbuatan seperti ini (memakai rambut palsu) dan baginda bersabda: "Sesungguhnya Bani Israel rosak binasa apabila wanita-wanita mereka mengamalkan pemakaian benda ini (rambut palsu)"

iii. Daripada `Abdullah bin `Umar bin Al-Khattab bahawa Rasulullah s.a.w. melaknat al-Waasilah, al-Mustawsilah, al-Waasyimah (pembuat tatu) dan al-Mustawsyimah (orang yang meminta supaya dibuat tatu).

iv. Daripada `Abdullah bin Mas`ud r.a. bahawa beliau berkata: Allah s.w.t. telah melaknat al-Waasyimah, al-Mustawsyimah, al-Naamisah (orang yang memberi khidmat mencabut bulu kening supaya kelihatan lebih cantik ), al-Mutanammisah (orang yang meminta khidmat itu), al-Mutafallijah (orang yang mengasah/mengikir giginya supaya tersusun rapi) dan semua orang yang mengubah ciptaan Allah s.w.t. Seorang wanita bangun lalu menyanggah beliau (Ibn Mas`ud). Beliau menjawab: Kenapa aku tak boleh melaknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dan demikian juga dalam Kitab-Nya,? Sedangkan Allah s.w.t. berfirman (maksudnya): "Dan segala apa yang dibawa kepada kamu oleh Rasul maka hendaklah kamu terima dan segala apa yang dilarangnya hendaklah kamu meninggalkannya" (Surah al-Hasyr: 7)

Semua hadis di atas adalah hadis muttafaq `alayhi (disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim) dan berada pada darjat kesahihan yang tertinggi tanpa sebarang keraguan. Semua hadis ini dapat dirujuk dalam kitab Riyadhus Salihin (himpunan Imam al-Nawawi) dalam bab 'Pengharaman Pemalsuan Rambut, Bertatu dan Mengasah Gigi'. Orang yang meragukan atau menafikannya tidak bergantung selain kepada hawa nafsunya sendiri yang lebih diutamakan ke atas hukum Allah s.w.t. Dalam pada itu, hadis-hadis sahih ini adalah sebagai huraian dan penjelasan terhadap maksud 'mengubah ciptaan Allah' dalam ayat di atas (al-Nisa':119)

Setelah jelas maksud ayat dan hadis-hadis tersebut, maka antara bukti keimanan ialah kita menyahut seruan hukum itu dan mematuhinya seperti ayat yang dibaca oleh Ibn Mas`ud  di atas tadi dan juga ayat 36 surah al-Ahzab yang bermaksud:

"Tiadalah lagi pilihan lain bagi orang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu perkara/hukum (melainkan mereka hendaklah mematuhinya)" (al-Ahzab: 36)

Berdasarkan hukum di atas, maka jelaslah hukum mengubah ciptaan Allah s.w.t. pada gigi, warna rambut, warna kulit (seperti yang sdr sebutkan) juga adalah haram. Maksud mengubah di sini ialah mengasah/mengikir gigi, menghitamkan rambut yang uban atau memerangkan rambut yang hitam dan seumpamanya, dan juga menukar warna kulit asal yang dicipta Allah s.w.t. supaya lebih putih umpamanya.

Ini sama sekali tidak di atas tujuan rawatan penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendiri. Ada pun penyakit yang menyebabkan kecacatan yang boleh sembuh dengan sendirinya,  TIDAK diharuskan membuat pengubahan dan pemalsuan padanya, seperti larangan Nabi s.a.w. terhadap seorang wanita yang meminta kebenaran untuk memakaikan rambut palsu ke atas anaknya yang baru berkahwin yang terkena penyakit kulit sehingga gugur dan putus rambutnya.  Ini kerana rambut yang gugur dan putus itu akan sembuh seperti sedia kala apabila pulihnya penyakit kulit itu. Maka rawatlah penyakit kulit itu dahulu dan tidak perlu memalsukan rambut.

Tetapi setakat manakah had rawatan yang diharuskan itu? Ini persoalannya. Kita telah katakan tadi bahawa hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan dibuat pembikinan semula (bukan mengubah ciptaan), seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang berserakah (tapi bukan mengasah/mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang daki dan jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau spray menurut warna yang diingini oleh tuannya), dan demikianlah seterusnya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah s.w.t. dan mengubah ciptaan-Nya. Merawat/menjaga HARUS dan mengubah HARAM.

Bagi rambut yang uban keputihan sebagai tanda usia yang semakin lanjut, selain larangan mewarnakannya menjadi hitam, mencabut helaian rambut yang uban juga adalah dilarang. Ini berdasarkan hadis `Amr bin Syu`aib daripada bapanya (Syu`aib bin Muhammad) daripada datuknya (Muhammad bin Abdillah bin `Amr bin al-`Aas r.a.) bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Jangan kamu mencabut uban, sesungguhnya ia menjadi cahaya bagi seseorang muslim di hari Kiamat" (Hadis Hasan, riwayat al-Turmudzi, Abu Dawud dan al-Nasai).

Memang uban di kepala akan mengingatkan seseorang kepada usia yang semakin meningkat dan hayat semakin singkat serta mati semakin dekat. Amalan mengingati mati akan meningkatkan iman seseorang dan memberi motivasi kepada diri untuk bertaubat atas dosa yang dilakukan sebagai persediaan menghadapi maut. Kerana itu baginda amat menggalakkan amalan mengingati mati seperti dalam hadisnya yang bermaksud:

"Perbanyakkanlah kamu mengingati penghancur segala kelazatan (maut)" (Riwayat al-Turmudzi dan katanya, Hadis Hasan).

Sekira uban boleh mengingatkan akan kematian, kenapa uban itu ditukar warna atau dicabut? Sepatutnya kita bersyukur dengan kedatangan uban sebagai peringatan daripada Allah s.w.t.

Berbalik kepada persoalan larangan mengubah ciptaan Allah s.w.t., apakah hikmah Islam mengharamkan perbuatan itu, sedangkan anggota kita adalah hak kita. Demikianlah sangkaan orang kafir dan orang yang ingkar kepada Allah s.w.t. sehingga mereka mendabik dada mendakwa diri mereka sebagai hak mutlak mereka. Sedangkan hakikatnya, diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah s.w.t., Dia yang berhak untuk mengenakan apa sahaja peraturan-Nya kepada makhluknya yang dijadikan bermula daripada tiada. Sedangkan manusia yang mencipta benda baharu (daripada bahan-bahan asas yang Allah s.w.t. jadikan) mempunyai status hak cipta yang tidak boleh ditiru atau dipinda oleh orang lain.

Tentang hal ini Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi menulis, "Islam datang untuk membuangkan tanggapan yang terdapat dalam sesetengah agama terdahulu kononnya sebarang bentuk perhiasan adalah melalaikan, lalu ia menyeru kepada bentuk perhiasan yang seimbang dan sederhana, sebagai bantahan kepada orang yang mengharamkan perhiasan yang Allah keluarkan untuk hamba-Nya. Kerana itu, Allah s.w.t. memerintahkan supaya kita mengambil perhiasan ketika hendak menunaikan solat di masjid (maksud al-A`raf: 31)."

"Islam mensyariatkan/mengharuskan perhiasan untuk lelaki dan perempuan, namun sebagai meraikan fitrah kewanitaan yang amat cenderung kepada perhiasan, maka diharuskan bagi wanita untuk memakai sutera dan emas, tidak bagi lelaki."

"Walau bagaimanapun Islam tetap mengharamkan beberapa bentuk perhiasan yang melampaui kesederhanaan, fitrah semula jadi dan perubahan ke atas ciptaan Allah s.w.t. yang merupakan jalan syaitan menyesatkan manusia."

"Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. menamakan perbuatan mengubah ciptaan-Nya untuk kelihatan cantik sebagai 'al-Zuur' iaitu penipuan atau pembohongan. Islam mengharamkan sebarang bentuk penipuan sama ada dalam hal muamalat atau tingkah laku. Baginda juga pernah bersabda maksudnya, " Sesiapa yang menipu kami, bukanlah di kalangan kami." (al-Qaradawi, Fatawa Mu`asirah, jilid 1, m.s: 426-428)

Sekian jawapan saya, waLlahu a`lam bis sowab, wabiLlahi al-tawfik.