Klon  Dr. M

(Dr. M’s Boys  -  In  the  name  of  their  father)

(Artikel asal ada di  freeMalaysia.com)

Mukhriz, Mokhzani dan  Mirzan  tidaklah  boleh digolongkan  dengan  Tommy, Bambang, dan  Sigit -  memang  belum  layak  lagi diberikan  taraf  itu.   Marina  dan  Melinda  pula  memang  jauh lagi sebelum boleh disebariskan dengan Tutut dan Titiek.

Kalau  kita ketepikan  Marina  dan  Melinda  dulu,  anak-anak lelaki  Mahathir itu  memang boleh  dianggap  semacam ada satu  pertalian  persaudaraan  dengan anak-anak  Suharto  yang  sungguh  pelahap. Sememangnya,  kalau  tidak  kerana merudumnya  keadaan  ekonomi  Asian  yang  mencetuskan krisis  kewangan, keluarga  Perdana  Menteri  Mahathir  memang  hampir mengembang   (laksana bunga  taik  ayam - penterjemah)  dalam dunia korporat mereka. Itulah  juga pengalaman  Keluarga  Suharto  satu  dekad terdahulu daripada  itu. “Klon ini” seperti mana  mereka dikenali  di kalangan   masyarakat  korporat  di  KL memang sudah  mempunyai  jangkauan yang  luas  di beberapa  sektor  penting dalam  dunia ekonomi  Malaysia  dan hampir  menguasai  tahap  dominasi dalam beberapa sektor yang amat  diminati   oleh bapa  mereka.

Sememangnya, klon-klon Mahathir  diakui lebih  cerdik  dan  lebih   tinggi tahap  pelajaran  mereka berbanding anak-anak Suharto,   walaupun  dari  segi naungan  politik  mereka  bolehlah  dikatakan  setara.   Dari  segi  ketuanan korporat  itu mereka  memang jauh  terkebelakang   daripada  tahap   pencapaian anak-anak  Suharto,  bukan  disebabkan  ayah  mereka  menghalang  pembabitan  secara  gelojoh dalam  arena perniagaan  suku-sakat, para  juak  dan  kroni. (Sebenarnya  banyak  dalil  yang boleh  dikemukakan  untuk  menolak  beberapa alasan  yang dikemukakan  oleh  kumpulan  aplojis  Mahathir dan pakar propaganda  yang diupah  untuk  kerja-kerja  itu).  Para  klon itu  nampak seolah-olah  tidak  gelojoh kerana  terdapatnya  banyak  hambatan  institusi dan kekangan  politik  yang  berbeza dengan keadaan di  Indonesia. Hambatan inilah  yang  telah  menyekat  kemaraan  nafsu-nafsi   para  klon itu  untuk naik   memuncak  ke tahap  pelahap  dan gelojoh   yang amat  memualkan

Yang pertama,  terdapat perbezaan di antara budaya, iklim politik, suasana perkauman dan  evolusi  ekonomi di  Indonesia  dengan  ciri-ciri  yang  sama  di Malaysia. Oleh  kerana terdapatnya  sebab-sebab yang saling kait- mengait  yang  berbelit dan kompleks, makanya negara  yang nombor  empat terbesar  jumlah penduduknya  di  dunia  ini   mempunyai  sedikit sahaja  kesamaannya  dengan Malaysia,  walaupun kesamaan dengan bahasa kebangsaannya  dan  agama Islamnya memang  wujud  seiringan. Itulah  juga  sebab-sebabnya  kenapa Indonesia yang begitu menarik kepelbagaiannya   selama  ini   kekal di bawah  naungan  politik hanya dua  orang  tokoh  sahaja -  Sukarno dan Suharto. Dominasi yang  menonjol ini akhirnya  membuka  ruang kepada   anak-anak  Suharto  yang  direstui  oleh seorang bapa  yang dianggap laksana  seorang Raja Jawa   untuk bergelumang dengan  kekayaan  hasil  bumi negaranya dan kemewahan  korporat   yang  tersedia ada.

Sebaliknya  di Malaysia, era  pra-Mahathir dan  tahap  awal  permulaan kepimpinan  Mahathir  sudah pasti  tidak boleh  menerima  kemunculan satu dinasti  keluarga seperti yang berlaku  kepada keluarga Suharto di Indonesia.  Kewujudan  UMNO, sebagai   sebuah  institusi -  dan bukannya  orang  perseorangan yang  diberikan  status  pendewaan  oleh masyarakat sekelilingnya – yang ditonjolkan  semasa pasca kemerdekaan  Malaysia  sebagai  satu  keluarga politik Melayu  yang  amat  besar.  Inilah  keluarganya  yang  mendapatkan  kemerdekaan daripada British.  Itulah  parti politik, seperti yang  dipantakkan  ke telinga majority  Melayu secara  berulang selama ini, yang berwibawa  memelihara dominasi  politik, menjana  kegiatan  ekonomi  dan  menjamin  stability   social negara.

Inilah  ikrar  orang  Melayu  yang  membolehkan  UMNO  membesar  menjadi  satu kompak social  dengan beberapa lagi  parti  yang berasaskan  perkauman  untuk mewujudkan  kerajaan koalisi  (dua  sahaja) Malaysia  sejak   1957, Perikatan dan  Barisan nasional.   Parti minoriti bukan-Melayu  secara amnya  telah menerima  sokongan UMNO secara bertahap   untuk  mewarisi  keistimewaan etnik, keagamaan dan  perniagaan sebagai  satu  ganjaran  kestabilan  dan sokongan terhadap  status  quo  politik  mereka.  Dengan  lain  perkataan,  Malaysia muncul  dengan satu  bentuk  demokrasi yang tersendiri, di  mana wujud  satu system  pengimbangtara  dalam  aktiviti  perkauman  di tahap bawahan  tetapi yang merupakan  sesuatu  yang  amat  terpencil dan  berkurangan dalam  urusan kerajaannya.

Tetapi di Indonesia,  model kesultanan  Jawa  dan  budaya Keraton  telah dipindahkan  kepada   kerajaan  dan ditumpukan  kepada orang kuat  yang menerajui kerajaan  itu. Kehendak kumpulan  yang  memerintah adalah  satu tugas untuk  rakyat  jelata. Apa  yang diimpikan   adalah  merupakan tugas  mereka sendirian  untuk  memuaskannya,  mengikut  ruang  lingkup   perbatasan tertentu, semestinya.  Namun, tradisi awalan  UMNO  dulu  menumpukan kerja-kerja  terhadap  memperkayakan dan  meneguhkan  parti  sebagai tanggungjawab  utama  dan  misi  kepimpinan, dan bukannya  ke  arah membesarkan tembolok    perdana  menteri,  keluarganya  dan  para juak  dan kroni.

Tidak seorang  pun di kalangan tiga perdana menteri  terawal   Malaysia yang pernah  hidup  mewah-mewahan laksana  maharajah, walaupun  mereka lahir daripada  kalangan  golongan ningrat  dan  istana. Tunku  Abdul  Rahman,  selalu dikagumi oleh  peminatnya dan diberikan layanan  yang  menyeronokannya.  Tetapi, dia  telah  menyumbang dan  mengorbankan  sebahagian  besar   hartanya  untuk menyokong  perjuangan UMNO ketika  parti itu  sedang merangkak  ketiadaan  dana untuk  bernafas lega.  Tidak juga  dia  ambil  kira  sangat  kalau UMNO menerima bantuan  dan  derma daripada  peniaga  Cina  yang  kaya  raya yang kebanyakannya  merupakan  ahli   Malaysian Chinese Association  (MCA).

Penggantinya  Tun  Abdul Razak, menghembuskan nafas terakhir ketika masih memegang  kuasa, sebelum anak-anaknya  membesar  untuk  menjadi satu  kuasa politik  dan  korporat.  Kerana  itu  tidak ada seorang pun yang  layak menggantikan bapa  mereka  ataupun  mampu  mempengaruhi  siapa  yang sepatutnya menggantikan  bapa mereka. Begitu juga  dengan  Tun Hussein Onn. Keadaan kesihatan  yang  tergugat  menyebabkan  beliau  bersara  dan sekali  lagi anak-anaknya  belum  cukup  berpengaruh untuk  menuntut  jawatannya.

Keadaan ini tidak sama apabila  tiba  giliran Dr. MAHATHIR   YANG  KINI MERUPAKAN  PERDANA MENTERI YANG  PALING  LAMA  DI  Asia.  Dia  sudah  berada di puncak kuasa  terlalu  lama (20 tahun  lamanya). Anak-anaknya (Klon-klon) sudah pun  membesar;  berakal baligh  dan  layak  menikmati  syurga kroni ciptaan bapanya. Sepanjang kekuasaannya Mahathir telah  mencengkam   kuasa  menyeluruhi masyarakat  niaga, media dan penghakiman negara,  sehinggakan tidak mudah menafikan  kemasukan Klon-klon Mahathir  itu  untuk  turut  mempertahankan kota  politik  yang  disaluti  keangkuhan korporat ciptaan bapa mereka. Akhirnya, tidak ada sesuatu pun yang boleh dinafikan   kepada  apa  sahaja yang mereka impikan.

FreeMalaysia  memang tidak  menafikan  bahawa di tahap  awalan kuasanya,  Dr. M telah  mencuba  berkongsi  cita-cita  partinya  untuk  mendapatkan kebebasan kewangan  yang  bebas  daripada   pengaruh  luar  yang   mungkin  menggugat dominasi  politik.   Sebagai  contoh,  gelagat  para Sultan  dan  ahli keluarga terdekat  hidup  bermewah dan penuh  dengan  segala pembaziran  telah  menjentik perasaan  Mahathir  yang  beberapa tahun  kemudiannya,  menjadikan  satu  misi khasnya  sebagai seorang perdana  menteri  untuk  membogelkan masyarakat raja-raja itu  daripada   kemewahan  kekayaan, kuasa  dan   kemuliaan.

Dr. M  mungkin  juga  merasa  tertekan  betapa  dia terpaksa bergantung  kepada tauke-tauke Cina  untuk  menyumbang kepada tabung  perjuangan  UMNO, seperti yang  mereka lakukan  di  zaman pra-Mahathir. Harus  diingatkan  juga  di sini, tabung perjuangan  UMNO itu pada  satu  ketika dulu merupakan satu tabung kecilan  sahaja sebelum  terciptanya   budaya  politik wang  yang  menyerlah ketika  Dr. M mula berkuasa.

Apakan daya?  Peniaga Melayu belum lagi  menonjol  untuk menyediakan kewangan yang  diperlukan  oleh UMNO  yang mempunyai satu jentera  politik yang  semakin laju  gerakannya   kerana  mahu keluar  daripada   pergantungan  parti  terhadap jasa baik  tauke-tauke  dan  hartawan  kaum  lain.  Maklumlah  setiap  kali  ada sogokan bantuan  yang masuk,  panjang  pula  tali  penambat  yang  mahukan sesuatu  darinya.

Usaha  memperbaiki keadaan  telah diasaskan oleh Tun Razak dalam Dasar  Ekonomi Baru  dan  dasar  pemerintahan  itu  diteruskan  oleh pemerintahan Hussein Onn. Tetapi, perjalanan dasar meningkatkan ekonomi  Melayu  itu didapati  terlalu lembap untuk  menceriakan   Dr. M  yang  semakin  tidak  sabar  yang selama  ini memang  pun  memendam  perasaan  mahukan  satu dasar  ekonomi yang  lebih agresif  lagi. Tidak kiralah  kalau  dasar yang baru itu  akan menumpukan kekayaan  ke  tempat tertentu sahaja.   Apabila  dia  menjadi  Perdana  Menteri pada  1981,  itulah  yang  dilaksanakannya.  Dia merombak DEB itu dengan  satu rencana  suntikan pembaharuan  seolah  menggunakan enjin turbo  kepada  kereta lama. Ketika  itu  dia  menjemput  Tun  Daim Zainuddin,  seorang  ‘kawan-lamo’ yang pintar merencana  dan memutar-belit apa sahaja   yang masih belum berpintal. Dilancarkannya beberapa projek mega  yang  diagih-agihkan  kepada para sahabat,  kroni  dan  juaknya  sekali.

FreeMalaysia  telah  pun  menerbitkan  satu  penilaian  prestasi  program industri  berat  ciptaan Dr. M  dan  masa depannya  yang  malap. Masa depan semua  industri  itu memang  tidak  menggiurkan. Memang tidak dapat dinafikan betapa  Dr. M  dan Daim telah  memberi  ruang  yang  menonjol  kepada  kemunculan beberapa  taikun (hartawan)  melayu  korporat  untuk  menyerlah  di  bahagian teratas  masyarakat niaga  Malaysia -  untuk  segala  kebaikannya  ataupun sebaliknya,  selalunya  untuk  yang buruk-buruk belaka.  Akhirnya  UMNO di bawah naungan Dr. M  telah  berupaya membebaskan  diri daripada  pengaruh tukang bayar  dan tukang sogok,  semua  itu  dengan  ihsan  tanpa  sedar para pembayar  cukai  kerana   wang   mereka itu  semuanya  yang dibalun  untuk membiayai  projek yang  dianjurkan  oleh  kerajaan.

Di  sini  terwujudlah  satu  kejanggalannya.  Di bahagian teratas  ekonomi Malaysia, perniagaan dan  politik  menjadi  ‘satu’ sehingga  sukar  untuk membuat  perbezaannya. Tentunya  ia memberi  kesan yang  sungguh  menyenakkan. Tidak lama  kemudian  semakin terserlah  hakikat betapa  sukarnya  bersaing  di tahap  atasan  ini  tanpa  membayar  kos yang tinggi dalam  bentuk  menyokong orang  lain  yang  hidup  bernafas  dalam  jaringan  korporat-politik Mahathir. Kesannya  menjadikan  persaingan  niaga  itu  sesuatu  yang tidak  menguntungkan - melainkan  terus  bergantung  harap  kepada  kontrak besar-besar yang memerlukan  sogokan  besar-besar  kepada  para kroni  untuk menentukan kejayaan.

Apabila sudah tergari kepada  keistimewaan  korporat  dan kewangan  bentuk  ini yang telah  dianugerahkan itu,  adalah sukar untuk menyelinapkan  diri  kerana system sogokan  itu  sudah menjadi   satu budaya yang  menopang  amalan kerja untuk terus  berjaya.

Memang mudah  dicam jenis  manusia  yang  sanggup  bertahan.  Mereka  itu  mudah dilihat  berbondong-bondong untuk  dirakamkan gambarnya di  lapangan terbang, menghantar ataupun menyambut  Dr. M dalam  lawatan beliau  ke  luar negara  - tidak kiralah kalau  mereka  menganggotai  rombongan  lawatan  Dr. M  itu ataupun sengaja muncul  di  situ  sebagai  pak  pacak   sahaja.  Mereka berlumba-lumba  untuk  mendapatkan  peluang  menyumbang terhadap salah  satu majlis  social Dr. M  ataupun mencari  helah  agar  beliau  sanggup  menjadi penumpang dalam  jet  korporat mereka. Mereka  sanggup  menaja satu ataupun lebih lagi  projek  kesayangan Dr. M  ataupun Maharaninya, dan mereka sanggup melabur  secara  menggila dalam salah satu  projek  perindustrian  pilihan Mahathir.

Kebanyakan  manusia  pelahap  jenis  ini  mula-mula mendekati Dr. M  dengan cara  berjinak-jinak  dengan  klon-klon Mahathir  sehinggalah  mereka  pun diterima masuk  dalam  istilah  'klik' dan kroni. Bajingan  yang  lebih  pintar telah mula memancing  perhatian klon-klon Mahathir  itu ketika mereka masih  di zaman persekolahan  lagi dan sebelum  mereka  menjejakkan kaki  di ambang  dunia korporat. Inilah yang  diaksanakan oleh  ‘Uncle Ananda’.

Memang  jelas,  formula  DEB  terutama sekali   yang  diputarbelitkan oleh  Dr. M  tidak   pun berjaya  mencetuskan keberkesanan  perjalanan ekonomi  yang menyumbang  kepada  kekuatannya  secara berpanjangan. Bandingkanlah  ketahanan Singapura  ketika  dilanda krisis  yang  sama  dengan  Malaysia.  Secara keseluruhannya,  pertumbuhan  DEB yang disabotaj dengan tipu helah  Mahathir telah memperkayakan para  kroni beliau  dan  juga  sekongkolan  Daim.  Secara berdikit,  sasaran utama program  ekonomi  itu  menjadi  hanya  satu  tiang penyokong  kepada  satu  usaha menegakkan  dinasti  politik  Mahathir  & Co.

Lupakanlah  ciptaan  Mahathir yang  disebut  “Wawasan 2020” yang  diwarnai rancangan perindustrian  yang  menyeluruh.  Itulah  satu fatamorgana  yang mengikut  definisi awalannya  tidak pun  akan  tercapai kerana  berasaskan  satu rencana  ekonomi yang rapuh  yang diilhamkan oleh Dr.  M.   Tetapi, tidak ada sesiapa  yang berani memberitahu  beliau betapa  Cyberjaya’  adalah satu rancangan haprak yang orang  perlekehkan  dengan  jolokan ‘Cyberjello’. Ataupun Proton  adalah  satu  impian  kosong  seperti juga  Perwaja  dan Bakun  yang merupakan projek  orang  yang  bertaraf baghal  sahaja.

KTK10                  ………bersambung …..