Di Bawah Lindungan Bayang-bayang
(In his  shadow, he opens IIU)

MGG   Pillai

Artikel B.Inggeris  ada  di  Malaysiakini

Apabila  perdana menteri Dr.. Mahathir Mohamad, mengisytiharkan pembukaan  Universiti Islam antarabangsa  (UIA), dia akan  memulakan  perpecahan  di  kampus  itu dan  umat  Islam  negara  ini,  sekali lagi. Inilah  dia  kemuncaknya  setelah berlakunya  tiga  tahun  yang panjang  dalam  perbalahan politik yang akan berakhir  dengan  kematian  di  antara  beliau dengan  musuh  ketatnya yang  kini  terpenjara,  timbalan  perdana menteri, Anwar  Ibrahim.

UIA   membuat  perakuan  bahawa Anwar   yang telah   menyumbang  15 tahun  daripada  jumlah 18  tahun perkhidmatan seorang  presiden hanyalah dianggap  sebagai angka dalam  pertumbuhan  universiti   itu  kerana semua  puji-pujian adalah  hak mutlak Mahathir.  Apa  juga  yang  dilaksanakan  oleh  Anwar  adalah berdasarkan  arahan  Mahathir  seperti  yang  ditegaskan  oleh seorang  jurucakap  UIA,  dengan itu  Anwar  tidak layak  diberi sebarang  kepujian  kepada  apa  yang  terlaksana  dan tersergam  indah  di  UIA masa kini. Mahathir  yang  berhak  menerima segala sanjungannya.  Dia  (Anwar) mengikut  istilah  UMNO  hanya  merupakan seorang  ‘Gurkha’  sahaja.

Pertumbuhan  UIA  kini dibayangi  oleh  konflik  yang tidak dapat  diputuskan dengan  muktamad ini  betapa relevannya  isu  itu.  Satu  kumpulan  manusia  yang  dipimpin  oleh  seorang  pemimpin  yang  bijaksana memang mampu  mencorakkan apa  juga institusi  yang mereka  usahakan,  bukannya  orang yang  mengeluarkan  arahan kepada  penubuhannya.  Memang tidak dapat dinafikan  betapa  dalam pembangunan UIA  itu,  Anwar  merupakan  manusia  yang  melakar asas-asas konkrit yang  jitu. Penggantinya  Sanusi  Junid    dikatakan  meletakkan  asas kewangannya   institusi itu pula. Tanpa  kepimpinan  Anwar  yang  sungguh  mendorongkan  itu,  Mahathir mungkin  tidak  mampu  mengisytiharkan  pembukaan  universiti  itu  hari  ini.

Oleh  kerana  Mahathir orangnya  yang  meletakkan  batu  asas  pembikinan  Kampus Gombak pada1983 dulu,  sepatutnya  Yang  di Pertuan  Agong  yang  layak diberikan  kehormatan  untuk  mengisytiharkan  pembukaannya. Inilah  caranya  Mahathir cuba  menaikkan  wibawanya  di  kalangan pemimpin  Islam yang lain. Sayangnya  harapannya  itu  tidak  kesampaian  juga.  Sejak  dia  mengaibkan  Anwar, dia tidak mampu  menjejakkan kakinya  di  kampus itu tanpa kawalan  peribadi  yang ketat.

Kawalan  Ketat

Majlis hari  ini  dilaksanakan  di sebalik  kawalan  yang ketat. Satu  senarai  jemputan  antarabangsa  dikatakan  mampu mewarnai majlis itu. Malangnya  ramai yang  sengaja  tidak  mahu  dating,  termasuklah  para   penderma  yang  istimewa yang  a  menghantar  wakil ataupun  pegawai  bawahan  sebagai proksinya.  Media  perdana  telah  memuji-muja  wawasan keIslaman   Mahathir  sambil  memperlekehkan  peranan Anwar  sebagai  orang tidak  bernama sahaja. Kedua-dua pendapat  itu  sedang tercabar.

Apakah  ini yang  menjadi  isunya?  Sebuah  institusi  keIslaman  yang  membangun  dengan  nama yang  semakin  harum  menjadi  tercemar  disebabkan majlis   pembukaannya  itu  dibayangi  perbalahan yang  semakin  membesar. Ia  menjadi  lebih  tertekan  lagi  apabila  seorang  Perdana Menteri  lebih  berminat  untuk  membetulkan  namanya yang  sudah  hilang wibawa  daripada  menaikkan  lagi  keharuman nama institusi  yang mahu  diisytiharkan pembukaannya. Mungkin tidak  salah   dalam  perkara  ini. Tetapi  apabila  ia dilakukan  dengan  tujuan  untuk  merobah  catatan  sejarah, tentu  sekali  ada  sesuatu  yang tidak  kena.

Di  Malaysia, pemimpin  masa kini memperlekehkan  para  pemimpin  yang sebelumnya  dan sesiapa  sahaja  yang mahu dimusnahkannya..  Cuba  perhatikan  apa  yang  ada  di  Tugu  Peringatan  Negara di  Kuala  Lumpur. Tidak  ada disebut  pun  nama orang yang  mengilhamkan  pembikinan tugu  itu.  Sedangkan  itulah  hasil  ilham  yang diusahakan oleh bapa kemerdekaan  negara, Tunku  Abdul  Rahman Putra  Al-Haj.  Kepingan  logam  yang  menjadi tanda peringatan  di situ  telah diletakkan  di bawah  penyeliaan  Mahathir, yang  ketika  itu  tidak  mahu  bertolak  ansur  dengan orang tua  itu  kerana  mencabar  penubuhan  UMNO Baru(a).  Tun  Abdul Razak  Hussein  pernah  satu  ketika dulu  meminggirkan  Tunku  sebagai  seorang  yang  tidak penting baginya  sebaik  sahaja beliau menggantikan beliau.  Adakah  sesiapa  yang masih  ingat akan  Tun Hussein Onn, bekas  perdana menteri yang   terbaru?

Sejarah Ditulis Semula

Apa  yang berlaku  kepada  Anwar bukanlah satu  perkara yang baru.  Penulisan semula lakaran sejarah merupakan  satu  kerja harian  di  Malaysia. Tanggapan feudal membuatkan perkara itu  sesuatu  yang tidak  dapat dielakkan. Tidak ada orang  yang lebih tinggi pangkatnya daripada manusia  yang sedang mencengkam kuasa, dan tidak ada sesiapa  yang begitu  rendah  martabatnya  yang  mampu  keluar daripada  cengkamannya. Inilah  sebabnya  manusia  berpaut kepada cebisan  kuasa selagi terdaya  olehnya,  sanggup  bermati-matian  mempertahankan kuasa  itu  selagi  belum nazak  untuk  dikuburkan pula.   Apa  yang  berlaku  kepada  UMNO, MCA, MIC, Gerakan  adalah ketakutan munculnya   bayang-bayang  kegelapan itu yang  akan  menelan para  pemimpinnya.

Ketika Anwar berkuasa dulu  dia  menghancurkan  pencabarnya seperti mana Mahathir  menghancurkan  sesiapa  yang sanggup  mencabarnya kini.  Tetapi, patutkah  Mahathir  menunjukkan fikiran sempitnya  ketika membuka  UIA itu  hari  ini?  Kenapakah  dia  tidak lebih  berwatak bijaksana pada hari  ini? Kenapakah  UIA  sanggup  memadamkan peranan unggul  Anwar  dalam  sejarah kemajuannya  dan  sanggup  merendahkan harga diri dengan bertegas apa  yang  Anwar  lakukan dulu  adalah  mengikut  arahan  Mahathir  dan kerana  itu  Anwar  tidak  perlu  dikenang  dan khidmatnya tidak  perlu diambil  kira?

Tanggapan UIA  itu  berbaur   kebusukan ‘megalomania’. (Inilah dia penyakit  gila  di mana  si pesakit  menganggap kebesaran dirinya  sangat  penting  semata-mata. Contohnya  apabila seorang menteri yang sudah tidak lagi  menjadi   menteri  sanggup menyepak  seorang pekerja  di lapangan  terbang - penterjemah)  Kalau  Mahathir  sanggup  merangkul  segala kepujian  untuk  UIA, tentu sekali dia  harus sanggup  menerima segala kesilapan  yang  berlaku. Dia mesti  sanggup  menerima  cemuhan ataupun  kepujian  terhadap  apa  yang berlaku  ke atas  Anwar.  Hanya  dia  dan  dia  juga  yang  menerima pujian  dan  kejian  akan apa  yang  berlaku  semuanya  sebagai  seorang  perdana menteri.

Inilah  yang  selalu bertentangan dengan keadaan sebenarnya.  Perlunya  mencari orang lain  untuk  menyerap  kesalahan sudah  menjadi satu  budaya  hidup  di Malaysia, sehinggakan ia  dianggap  seperti satu  perkara  biasa. Menteri kabinet  kerajaan  Mahathir  mudah  menolak kesalahan  kepada  orang lain  dan sebegitu  mudah  pula  mengaku  merekalah  yang  membuat  kerja-kerja  yang mahu diberikan  kepujian. ITULAH  AMALAN  HIDUP  Perdana  Menteri.  Sebagai  contohnya  dia  memang suka dipuji-puja  kerana   melantik  timbalan perdana  menteri.  Tetapi bukan  apabila  dia menghancurkan mereka dengan  keji.

Apakah peranan  sebenar dalam pembangunan UIA? Ketika Mahathir  menjadi perdana  menteri  pada  Julai 1981, dia   memujuk  Anwar  yang  ketika itu  seorang  intelek Islam  yang  menonjol ketokohannya  untuk  menyertai UMNO kerana  Mahathir  mahukan  satu penyangga yang berwibawa  untuk  berdepan  dengan  kuasa  teokrasi  PAS. Salah  satu tugas  utama Anwar ialah  untuk  menaikkan taraf  Kolej  Islam yang dibina  pada 1955 oleh  British, untuk mendapatkan  taraf  universiti.  Satu  tugas  lain  ialah  perbankan  Islam.

Perpecahan Institusi

Mahathir  sedar di waktu  itu, tanpa  Anwar   pembinaan  Universiti Islam Antarabangsa  akan menghadapi jalan  sukar.  Kewibawaan Anwar  di  kalangan  dunia  Islam memang tidak perlu dipertikaikan,  dia aktif dalam  World Assembly  of Muslim Youth (Perhimpunan  Pemuda  Islam Se Dunia), mengetuai ABIM, menguruskan  satu institusi tutorial   berdasarkan ajaran  Islam. Anwar menjadi  presiden UIA pada 1983 dan  memegang  jawatan itu sehinggalah   dipecat.  Selama  15  tahun, seluruh dunia sudah menerima hakikatnya bahawa  bayi  yang dilahirkan oleh Anwar dalam  bentuk UIA  itu telah menaikkan  ketokohan Anwar dan juga  Mahathir.

Apabila  Anwar  dijatuhkan  pada 1998, dia  masih mengekalkan sokongan  itu  semua di kalangan dunia  Islam. Inilah  yang  cuba  dimusnahkan oleh  Mahathir hingga ke hari  ini.  Dua orang duta  Malaysia  di Timur  Tengah diberikan tugas  khas untuk  melaksanakan  impian  yang  jijik  ini  sebagai  kerjaya  utama  mereka.  Tetapi, lagi kuat Anwar  mahu  dipinggirkan,  lagi besar ketokohannya.  Apabila kepujian  yang hak  itu  sengaja  dipinggirkan,  oleh  kuasa rasmi seperti yang berlaku  kini, yang tercemar dan  terhina  ialah  ketokohan Mahathir  itulah  sebenarnya, dan bukannya  ketokohan   Anwar.

Satu  ketika dulu  Malaysia  terkenal  sebagai satu masyarakat  yang  banyak institusinya. Keharuman institusi  itu  diberikan keutamaan dan bukannya sesiapa  yang bertugas  dengannya. Apabila  Mahathir bertakhta, semua  institusi itu  lebur secara bersistem, satu per satu dan  segala kepujian hanya  menjadi  hak  pemimpin agung itu.   Pemimpin itu adalah yang   mengatasi segalanya.  Amalan  semacam  itu mungkin dapat bertahan  selagi  belum muncul seorang bersifat Leon Trotsky ataupun  Marshall Lin  Piao  ataupun  Nelson  Mandella  ataupun  Anwar  Ibrahim  yang perlu  dihadapi.    Stalin dan  Mao Zedong  berjaya hidup  kerana    telah  memusnahkan sesiapa  yang  berani mencabar mereka. Mandela  berjaya  mencapai  kejayaannya.  Anwar  masih  belum  dikalahkan  lagi.

Perasmian  UIA  sebenarnya  tidak boleh  dianggap  sebagai  sesuatu yang  ada  banyak makna. Cuma  ia mempunyai dua  peranan sahaja -  untuk  melonjakkan  kewibawaan  Mahathir  di kalangan  dunia  Islam, dan  menghancurkan orang  yang  telah  membantu  dia  mencapai  hasratnya.  Di sinilah bermulanya  kesilapan  yang  besar.  Semasa pembukaan rasmi itu, penekanan diberikan  agar Anwar  dilupakan.  Malangnya  bayang-bayang Anwar  yang  tidak kelihatan  telah  menjadi  tetamu kehormat pada  majlis itu  hari  ini. Inilah  yang akan  terus  menghantui Mahathir  tanpa  ada sempadan yang  ketara lagi.

Sememangnya  tidak ada  perubahan  yang  ketara lagi.


-MGG  Pillai-
Selasa 17  April,2001.

Terjemahan MT