Ahmad Sebi : Si Lidah Beracun

Selama beberapa tahun FreeMalaysia (singkatan FM) telah mendengar berbagai cerita tentang Datuk Ahmad Sebi Abu Bakar. Kebanyakannya berkisar tentang kebolehannya menyebabkan kesengsaraan hidup mereka yang difikirkan telah belot terhadapnya. Sehinggakan teman-teman dan rakan-rakan sejawatnya mengakui bahawa mereka sendiri gerun memikirkan akan kesan buruk yang mungkin ditimbulkannya jika berlaku sesuatu yang tidak diingini pada hubungan dan urusan perniagaan sesama mereka.

Beliau tidaklah mengancam secara fizikal – tidak buat seorang yang bertubuh kecil dan sihat sepertinya. FM tidak pernah pula terdengar tentang sebarang bentuk penganiayaan fizikal yang berlaku ke atas mana-mana musuh Ahmad Sebi. Namun kaedah balas dendam dan serangan peribadinya adalah dengan menjejaskan nama baik seseorang itu secara tidak langsung, gossip, menyebarkan surat-surat layang dan membiayai penerbitan buku-buku dan artikel-artikel yang tertentu. Di sinilah gunanya jawatan Presiden Persatuan Penulis kebangsaan Malaysia yang disandangnya : sekumpulan penulis-penulis yang kelaparan untuk diupah.

Beliau juga tidak akan teragak-agak untuk bertindak kejam dengan mempengaruhi pihak-pihak tertentu bagi menjatuhkan mereka yang dianggap seterunya. Ternyata langkah sedemikian melemahkan sesiapa juga yang menjadi sasaran Ahmad Sebi. Namun yang lebih terancam lagi adalah golongan politikus Malaysia dan ahli-ahli korporat yang sudi mendengar apa sahaja yang diperkatakan olehnya. Lebih menakutkan lagi adalah apabila mereka turut bertindak mengikut rentaknya. FM, tentunya, merujuk ini kepada Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan untuk kali keduanya Tun Daim Zainuddin dan kroni-kroni terulung mereka.

Jadi siapakah di Malaysia ini yang tidak boleh diperbodohkan oleh Ahmad Sebi dan kebolehannya untuk mengunjurkan kemarahan Dr. M, Daim serta kroni-kroni mereka? Ada sesiapa yang berani menghadapi kemarahannya?

Tidak dinafikan kebolehan kejamnya itu sering dilanggani oleh Dr. M dan kelompok rapatnya. Ahmad Sebi adalah umpama Rasputin di dalam mahkamah Mahathir, lidah beracun untuk perancangan rahsia politik Dr. M. Dan untuk tugas ini, beliau telahpun berkali-kali dihadiahkan dengan urusniaga-urusniaga korporat yang amat manis sekali.

Kesemua ini telah berjaya mengangkat Ahmad Sebi dari seorang bekas wartawan upahan dan pakar propaganda kepada ahli korporat kroni, biarpun mempunyai peranan yang kecil sahaja. Regu korporatnya akan menyediakan kemudahan untuk membiayai kempen memerangi musuh-musuh politik Dr. M - bekas TPM Anwar Ibrahim antaranya – apabila beliau sendiri tidak mempunyai sebarang perancangan jahat terhadap lawannya sendiri.

Mungkin atas dasar inilah yang menyebabkan FM masih mempercayai bahawa penangkapan Ahmad Sebi serta penahananya selama 2 minggu di bawah ISA pada tahun 1987 sungguh mengelirukan ditambah pula dengan pandangan umum terhadapnya sebagai orang dalam yang amat berpengaruh dan tidak boleh disentuh. Mungkin itulah kenyataannya sekarang. Tetapi tidak pada masa itu.

Namun demikian, Ahmad Sebi yang berusia 40 tahun pada masa itu adalah Pengarah Urusan TV3 yang merupakan satu-satunya stesen TV bukan milik kerajaan dan satu-satunya pesaing kepada sumber pendapatan dari pengiklanan TV yang sebelum itu hanya dipelopori oleh RTM. UMNO milik Dr. M mengawal dan memiliki sebahagian besar saham TV3. Di sini, bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang peka politik percaya, sepatutnya dengan kedudukan itu sudah tentulah Ahmad Sebi tidak akan tergugat dengan gangguan polis Malaysia yang korup, keterlaluan dan kadangkala tidak terkawal itu. Ternyata Ahmad Sebi sendiri tersalah anggap dan terkecewa.

Ahmad Sebi telah ditahan oleh unit polis cawangan khas (SB). Setakat itu sahaja yang diketahui umum. Tetapi apa yang terjadi selepas itu masih kabur sehingga ke hari ini. Sudah tentu Ahmad Sebi lebih suka perkara itu dibiarkan berlalu begitu sahaja, demi untuk menyembunyikan imej kejam dan perkaitan rapatnya sebelum itu.

Namun perkhabaran pada masa itu menyebut bahawa Ahmad Sebi telah bergegas ke lapangan terbang sebaik sahaja mendapat maklumat yang dirinya adalah di antara 106 orang yang akan ditangkap oleh pihak SB di dalam Operasi Lalang. Dan beliau ternyata telah bersedia untuk tinggal lama di luar negara apabila bersama-sama beliau semasa ditahan adalah wang berjuta-juta di dalam nilai ringgit dan lain-lain matawang asing.

Adalah tidak jelas mengapa Ahmad Sebi pula yang menjadi sasaran. Ada sebahagian yang berkeyakinan bahawa Dr. M dan SB memerlukan seseorang yang berkait rapat dengan UMNO untuk dijatuhkan agar tindakan mereka tidak dituduh berat sebelah dengan penahanan pihak-pihak tertentu seperti anggota-anggota parti pembangkang, pengkritik sosial, aktivis-aktivis dan sukarelawan-sukarelawan NGO. Sudah tentulah penahanan beliau tidak dapat melenyapkan terus tanggapan ramai tentang kecenderungan penangkapan kumpulan-kumpulan tertentu di dalam Operasi Lalang itu. Apatah lagi untuk mempercayai bahawa tindakan kerajaan itu adalah untuk membenteras kegiatan pelampau agama dan rancangan menggulingkan kerajaan oleh golongan berfahaman MARXIST.

FM, walau bagaimanapun, merasakan terdapat sesuatu yang lebih dalam lagi. Para pembaca tentu masih ingat akan beberapa hari menjelangnya penangkapan beramai-ramai di dalam Operasi Lalang itu. Parti-parti komponen utama BN – UMNO dan MCA – telah bertungkus lumus menonjolkan sifat-sifat perkauman yang ketara dari segi politik, ekonomi dan sosial. Bagi MCA, Timbalan Presiden Lee Kim Sai sendiri yang telah menyemarakkan semangat perkauman orang-orang Cina. Di pihak UMNO, Ketua Pemudanya Mohd Najib Abd. Razak pula yang membakar semangat orang-orang Melayu untuk menolak kaum Cina. Ya, mengenengahkan tuntutan yang berbau perkauman dan kemudian menggalakkan tindakan seterusnya, itulah permainan lama yang diulang-ulang oleh Barisan. Pada masa itu, secara kebetulan Lee dan Najib sering menjadi perhatian umum.

Walau bagaimanapun, yang tidak menonjol adalah tugas-tugas propaganda di belakang tabir oleh Ahmad Sebi – tugas yang beliau telah sedia mahir – untuk menaikkan sentimen kemarahan orang-orang Melayu terhadap orang-orang Cina. Sebelum menjadi Pengarah Urusan TV3, beliau telah sebati bekerja di New Straits Time, bermula sebagai pelatih wartawan dan akhirnya menjadi Pengarang Malay Mail dan Sunday mail. Beliau juga telah berkhidmat di dalam Kumpulan Pengarang berita berbahasa melayu bagi Berita Harian.

Dr. M, Daim dan lain-lainnya mungkin telah berusaha untuk menyelamatkan Ahmad Sebi dari termasuk ke dalam cengkaman SB. Atau mungkin usaha mereka lebih tertumpu untuk menyelamatkan ikan-ikan yang lebih besar dan mencapai matlamat yang lebih penting di dalam percaturan politik dengan memilih penahanan kumpulan-kumpulan tertentu melalui Operasi Lalang tersebut. Biar apa pun, Ahmad Sebi telah benar-benar ditangkap dan hari-hari awal penangkapannya itu bukanlah sesuatu yang indah untuk dikenang.

SB, sebahagian dari bekas-bekas pegawainya memberitahu kami, kurang senang dengan sikap buruk dan sombong Ahmad Sebi sebaik sahaja beliau ditahan. Kesan dari sikapnya itu telah mendorong mereka untuk menyoal siasat dengan lebih ketat lagi berhubung dengan peranannya sebagai pencetus api perkauman.

Ahmad Sebi dikatakan telah mengugut pegawai-pegawai SB dengan mengatakan bahawa sekiranya Dr. M dan Daim mendapat tahu tentang penahanannya itu, kerja mereka akan terancam; mereka akan dipecat; lebih baik mereka melepaskannya atau mereka akan ditukarkan ke Perlis; dan lain-lain lagi yang bernada serupa. Tetapi tanpa pengetahuannya, Dr. M sendiri sedia maklum akan penangkapan tersebut dan tidak ambil pusing langsung tentang hal itu. Mungkin Mahathir sendiri berminat untuk mengetahui apa yang akan dapat dikorek oleh pihak SB.

Ahmad Sebi sendiri menyedari hakikat itu tidak lama selepas itu. Lantas beliau telah menangis semahu-mahunya. Ada di antara pegawai yang memberitahu bahawa pengakuan yang didapati darinya adalah yang paling mudah dan singkat pernah mereka saksikan, di mana beliau telah menangis seperti seorang bayi, bercakap yang bukan-bukan dan mengesahkan segala yang ingin diketahui oleh SB tentang propaganda di dalam negeri, gossip dan rangkaian surat-surat layang. Kemungkinan langkah beliau memberitahu mereka bahawa apa yang dilakukannya itu adalah semata-mata untuk Dr. M telah sedikit sebanyak membantu beliau. Ini dilihat dari segi tempoh penahanan tahanan-tahanan lain yang jauh lebih lama dari dirinya.

Semua ini adalah kisah lama, tetapi menarik, yang telah menjadi satu sejarah.. Mari kita lihat pula pada kegemilangan kerjaya kedua Ahmad Sebi sebagai ahli korporat (ternyata tidak banyak yang boleh dilihat tetapi agak menarik untuk dicuba).

Selepas peristiwa yang memalukan bersama SB dahulu dan selepas dikenal pasti sebagai pemiutang terbesar dari Cooperative Central Bank yang telah gagal itu, bintangnya terus pudar di TV3 dan Kumpulan NST. Namanya tiba-tiba tenggelam dan masa yang dihabiskannya di luar negara dilanjutkan. Pada penghujung tahun 80an, beliau akhirnya terkeluar dari bidang penyiaran berita yang dikawal oleh UMNO. Namun beliau tidak meninggalkan terus tugas-tugas propagandanya, walaupun diakui garis pemisah kedua-dua bidang tersebut amat nipis sekali.

Sebenarnya pada awal tahun 1991, Ahmad Sebi telah muncul sebagai tokoh korporat tulen buat pertama kalinya, apabila syarikatnya (ataupun syarikat rangkaian kroni Daim) yang dikenali sebagai Suasana Dinamik Sdn. Bhd., memperolehi 20% pegangan saham di dalam Batu Lintang Rubber Company Bhd. yang telahpun disenaraikan, di mana pembelian itu telah dikawal oleh beberapa ahli perniagaan kelahiran Sarawak dan Sabah yang mempunyai perkaitan politik – Wee Boon Ping dan Abdul Razak Harris, anak lelaki bekas Ketua Menteri Sabah Harris Salleh.

Wee dan Razak memperolehi Batu Lintang pada tahun 1985 dari Kuala Lumpur Kepong Bhd, telah bingkas menjual aset-aset dari sektor perladangan kepada KLK semula dan merancang untuk mengubah syarikat itu menjadi pemaju hartanah yang utama. Tempoh perancangan itu, walau bagaimanapun, tidak kena pada masanya apabila Malaysia sendiri mengalami zaman kemelesetan ekonominya yang pertama dan mengalami kejatuhan pasaran hartanah.

Namun menjelang awal 90an, pasaran hartanah mula melonjak semula. Oleh itu apa yang Wee dan Razak perlukan adalah mendapatkan rakan kongsi politik yang paling tepat untuk mempengaruhi keputusan KLSE menarik balik penggantungan saham syarikat Batu Lintang dan kemudian meneruskan projek-projek pembangunan mereka. Rancangan pembangunan mereka itu merangkumi hartanah yang terletak di sepanjang Jalan Imbi di Kula Lumpur sehingga ke kawasan Karamunting di Kota Kinabalu. Di sinilah khidmat Ahmad Sebi digunakan di dalam membantu memastikan segala hal yang berkaitan dengan kelulusan untuk penyusunan semula dicapai bagi mengukuhkan syarikat tersebut. Tulisan tangan Daim boleh didapati pada setiap tahap pengeluaran, yang kesudahannya mengubah Batu Lintang kepada Advance Synergy Bhd., di mana Ahmad Sebi telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutifnya.

Pada tahun 1994, Ahmad Sebi dan Advance Synergy telah mara dengan hangatnya, mempergunakan sepenuhnya rangkaian kroni untuk menarik kontrak sebanyak mungkin. Tiada satupun yang memberangsangkan, begitulah nampaknya keupayaan pengurusan Ahmad Sebi. Sebaliknya Advance Synergy mempamerkan struktur kewangan yang lemah yang menjadi lambang syarikat kepunyaan Daim, bersama-sama dengan cebisan-cebisan  perniagaan yang tidak membanggakan. Kebanyakan darinya hancur selepas timbulnya krisis kewangan di Asia, sebahagiannya telah terjejas lebih awal dari itu. Namun begitu pihak pengurusan Danaharta Nasional masih mendapati Advance Synergy Furniture Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang tiada kesinambungan, berupaya untuk menamakan beberapa pentadbir korporat tertentu bagi menyelamatkan syarikat itu.

Yang pertama sekali timbul adalah mengenai perolehan saham-saham tertentu di dalam Bank Ban Hin Lee yang berpengkalan di Pulau Pinang oleh sebuah syarikat yang baru disenaraikan iaitu Merchant Group Bhd, yang suatu waktu dahulu merupakan sebahagian dari Kumpulan Hong Leong. Kemudian saham-saham diperolehi secara kontroversi dan pertukaran saham yang mengelirukan dari Advance Synergy dan Perdana Merchant Bankers Bhd.

Beberapa minggu selepas itu, Ahmad Sebi mengukuhkan lagi hubungannya dengan rakan lamanya, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, juga seorang lagi teman lama Daim dan Dr. M, dengan meningkatkan lagi pegangan sahamnya di dalam salah sebuah syarikat Tan. Syarikat itu, Berjaya South Island Bhd., segera bertukar nama kepada Prime Utilities Bhd., dan seterusnya muncul sebagai pemegang saham utama projek perkumbahan Kebangsaan, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd.

Tidak lama kemudian, Advance Synergy milik Ahmad Sebi mengetuai sekumpulan pelabur untuk mengambilalih dan seterusnya membangunkan Kelang Multi Terminal Holding Sdn. Bhd. untuk muncul sebagai terminal pelabuhan yang terbesar di Malaysia. Ini dan projek perkumbahan itu adalah di antara hadiah projek penswastaan yang terbesar dianugerahkan oleh regim Dr. M. Sudah semestinya salah satu kroni yang berhak mendapat habuan sedemikian.

Selepas itu empayar korporat Ahmad Sebi menjadi semakin lemah, sekalipun beliau pernah memperkatakan minat terhadap perlombongan emas di Australia  dan untuk membeli beberapa buah hotel. United Merchant Group miliknya itu telahpun dikenal pasti untuk diambil alih oleh Southern bank, salah satu dari 6 bank utama yang telah diwartakan oleh kerajaan.

Dan Ahmad Sebi telahpun kembali kepada status lamanya yang tidak mahu dikenali ramai, bekerja sebagai agen media bawah tanah bagi pihak Dr. M dan Daim untuk menghadapi musuh-musuh politik mereka yang semakin meningkat.

Walau bagaimanapun, pada bulan November yang lalu, beliau telah muncul seketika, selepas Naib Presiden Amerika AlGore menyuarakan sesuatu berkenaan dengan layanan Dr. M terhadap Anwar dan seterusnya menyatakan sokongan kepada reformasi. “Pena (singkatan dari Persatuan Penulis Kebangsaan Malaysia) bukanlah badan politik mahupun terlibat dengan sebarang langkah berkaitan politik” Katanya di dalam satu kenyataan bersama dengan Setiausaha Agong Pena – Wan Omar Ahamed. “Namun kami tidak boleh berdiam diri kerana ucapan Gore itu adalah tidak beretika dan mencabar kuasa pemerintahan sebuah negara yang merdeka”.

Jika contoh ini adalah selari dengan propaganda yang telah Ahmad Sebi sebarkan selama beberapa tahun bagi pihak Dr. M dan Daim, maka FM merasakan bahawa beliau telahpun mendapat habuan yang sangat-sangat lumayan. Sekali lagi, bukankah ini amat benar bagi kebanyakan kroni mereka?

KTK6