KLON DR. M

Bahagian 4

Inilah  Wajah ‘Kolon M’  Yang Lelaki.  Lebih  terkenal di kalangan professional muda di  Kuala  Lumpur  sebagai ‘Tukang  Sauk’. Patutlah ‘daddy’ gunakan Sauk  sebagai   pentas  drama   ‘sauk-menyauk’.                         

Mokhzani

Di kalangan masyarakat korporat KL,  Mokhzani  dianggap sebagai  pelabur jangka pendek, dan  bukannya seorang pembina perusahaan jangka panjang. Seperti  yang ditanggung  oleh  Mukhriz, anggapan  ini  mungkin salah.  Mungkin  juga  di tahap awal  pelaburannya dulu  di   Kestrel Securities, rakyat  Malaysia nampak  gelagatnya  yang terlalu berminat mengejar keuntungan  secara cepat   sahaja. FM lebih  berminat  memikirkan bahawa pembabitan  Mokhzani dalam Kestrel dan beberapa pelaburan  lain  merupakan  cara    yang  memudahkan  usahanya  untuk  melompat masuk dalam banyak  ruang niaga yang  menguntungkan mengikut arahan telunjuk  yang  ditonyohkan kepadanya yang tidak pun  menyulitkan sangat   pembabitannya. Kenderaan korporat yang utama  digunakan oleh Mokhzani ialah  Tongkah  Holdings Bhd. Lembaga pengarah  syarikat  telah mula  memancing pembabitan Mokhzani pada awal 1990-an lagi untuk meminjamkan namanya dan  pengaruh politik yang terpendam kepada sebuah  syarikat yang sudah lama meraba-raba dalam dunia niaga  tanpa   satu hala tuju  yang  ketara.  (Kemasukannya itu dipermudahkan dengan kewujudan  peruntukan saham  istimewa untuk Bumiputera.) 

Setelah  menanggung kerugian berniaga selama lapan tahun berturut-turut, lembaga pengarah Tongkah memang sudah menggelupur  untuk mencuba apa  sahaja. Ketika  itu Tongkah  berdagang dalam  pelaburan yang  ada kaitan dengan  galian, dan pengurusan operasinya memang tidak menyumbang  kepada  pembayaran kos.  Itu  sebabnya  ahli lembaga pengarah yang dulu beranggapan kelulusan  Mokhzani sebagai graduan jurusan  ‘geology’ (kaji bumi)  dan pengalamannya  sebagai seorang jurutera  petroleum  boleh membantu   meningkatkan  operasi itu semuanya.  Mungkin  juga,  mereka lebih  berminat kepada DNA-politik yang  ‘mengalir’  dalam tubuhnya. 

Seperti mana  yang  dilakukan  oleh  ahli-ahli  kelab kroni,  Mokhzani telah melibatkan  Tongkah dalam pelbagai rupa usaha niaga,  tanpa memikirkan apa  yang  dikatakan oleh  perunding  pengurusan  sebagai  perniagaan  yang ada  hubung kait kepada ‘synergy’.   Mula-mula,  dia babitkan  operasi  seismic-data  dengan usahasama  Campagnie  Generale  de-Geophysique  daripada Peranchis. Kemudian  dia babitkan pula usahasama pembangunan  hartanah  di  KL  dan Pulau Pinang.  Selepas itu  muncul pelaburan dalam pembikinan (perkilangan), kebanyakannya dalam pengeluaran  gantian audio dan barangan getah. Kemudian, dijalin pula  satu hubungan pengeluaran  dengan Goldron Ltd  yang  berpusat  di Singapura.

Seperti teman-teman yang satu  ‘fraternity’ dengannya  Mokhzani cuma  mencari dan cuba mendapatkan  satu  projek  yang  boleh dianggap menonjol  dalam setiap  ceruk dunia niaga kroni   Malaysia yang dapat  dicekaunya,  kerana  kebanyakan  projek  yang  menonjol  itu sudah  lama  dicekau  oleh  penyangak  lain. Dia yakin  akan  memperolehinya  juga. Tidak ada satu  pun  asset ataupun  institusi perkhidmatan kerajaan  yang  merupakan kawasan ataupun barang larangan   dalam proses   penswastaan Mahathir  yang  mengambil  sikap laksana  orang yang sedang mengamuk  itu. Dengan ilham itu sebagai nawaitunya, Mokhzani pun mula mengelebek sana-sini mencari dan  menunggu  kalau-kalau  ada hara kerajaan  yang akan  diswastakan. Pada  pertengahan  1990-an,  ketika dia terjengah-jengah dengan gelojohnya    dia terantuk  kepada   perkhidmatan  penyeliaan kesihatan, satu industri  di mana regim Mahathir  sudah  pun serahkan secara  berkesan kepada para kroni dan  ahli  keluarganya.  Mahathir dan  juga  isterinya  pernah berkhidmat dengan kerajaan  dalam bidang  perubatan.  Tentulah dia  sedar  akan kesulitan  yang dihadapi  oleh hospital-hospital apabila  dirundung  peralihan daripada satu institusi  yang dipunyai oleh kerajaan kepada  proses penswastaan  yang  dikendalikan oleh orang awam  yang tidak tahu pun  ataupun tidak  pun menerima latihan perubatan. Menyelamatkan nyawa  ataupun memanjangkan usia, termasuklah  menguruskan  masyarakat yang pada amnya memang sihat, tidak mudah diterjemahkan  kepada untung  dan  rugi di  atas  kertas perakaunan korporat.

Namun,   pada 1997, kerajaan Mahathir  telah memfaraidkan Tongkah dengan  satu  kontrak  yang  memakan masa 15 tahun lamanya  untuk menguruskan 20 hospital  yang  dipunyai  oleh kerajaan  Malaysia  dan memberi izin kepada syarikat itu menguasai  saham sebuah syarikat tersenarai di BSKL  yang bernama  Hospital Pantai Bhd.  Sekaligus  Mokhzani  menjadi  seorang  ‘maharajah’ dalam dunia  seliaan-kesihatan  dan  pembekal peralatan  perubatan jenis bawahan  di seantero Asia Tenggara. 

Inilah gunanya kalau ada seorang ahli di  rumah  yang menjadi doctor perubatan, teristimewa sekali kalau  doktor itu  tinggal  pula di  Wisma Perdana. Tetapi, seperti yang berlaku  kepada  ramai lagi kroni Mahathir, krisis Asia  yang melanda negara ini  juga  telah  membuatkan Mokhzani melutut, lantas membuatkannya bingkas mencari bantuan  Bank Negara meminta tolong Jawatankuasa Penstrukturan Hutang Korporat di  situ.  Penguasaannya dalam Tongkah  dan  Pantai Holdings  akan menurun begitu besar  sekali dalam  satu rencana  menukarkan hutang bertapuk  itu  dalam  usaha mengurangkan beban Tongkah Group  (Kumpulan Tongkah) daripada penderitaan  pinjaman jangka pendeknya. Mokhzani  dan Mukhriz memang perlu meracau  lebih jauh lagi kalau mahu  bertanding dengan abang sulung mereka.

KKK10April  18,  2001.…….bersambung.