ISA - Ciptaan  British Untuk Menjajah dan Menghambakan Bangsa  Lain
(ISA  - British Colonial Law  Formulated to Dominae, Subjugate, Oppress and    Exploit   a    Conquered Race)

Oleh:   Spirit  of   Truth

Artikel asal ada di FeU.

ISA  (Internal  Security Act:  Akta  Keselamatan  Dalaman)  adalah lambang pengabdian  manusia  yang  paling  kejam  sekali. Akta  ini  dicipta, diperbaiki  agar  lebih  kejam  lagi dan  dikuatkuasakan dengan  kejamnya oleh  penjajah  Pentadbiran British  dulu,  terhadap  rakyat  Malaya  yang  telah  dijajahnya. Inilah  hasil  seni  daripada salah satu  alat  perundangan yang  sungguh  menekan yang  pernah dicipta dalam sejarah  peradaban  manusia.

Penjajah British  mencipta  perundangan ini, ketika mereka menjajah wilayah kolonial mereka dulu, dengan  tujuan  untuk melumpuhkan  sebarang  usaha  dan  percubaan  daripada   kumpulan   tertentu,  untuk  menyiasat dan menyoal ataupun untuk  mencekik  masyarakat  yang  dijajah itu  secara   berkesan.  Pemerintahan penjajah kolonial British dulu  memang amat keras dalam segala bentuk pentadbirannya.  Mereka  membuat ketentuan  agar  kuasa  dominasi  mereka itu tidak  tergugat  ataupun  dicabar. Untuk  melaksanakan  itu  semua  mereka mahukan satu alat  perundangan  dan kerana  itu  ISA telah difikirkan dan dicipta   oleh para  penjajah  itu untuk menafikan sebarang percubaan rakyat  marhaen  untuk memberontak.

Penjajah British  telah  menggunakan  akta  ini  yang melanggari keluhuran  martabat manusia dan haknya, bagi kepentingan  mereka,  supaya penjajahan dapat diperpanjangkan   dan  memudahkan  eksploitasi maksima  segala hasil-mahsul  rantau  yang  dijajah  itu dengan  tujuan membalun segala harta kekayaannya.  Itulah  satu senjata  berbisa  untuk  penjajah  terus  bernafas  lega  dan  mengekalkan pemerintahannya  sedangkan  undang-undang serupa itu  tidak  pernah  diambil kira  oleh sistem perundangan  Britain, yang membawa makna  undang-undang  itu  hanya layak digunakan terhadap  manusia yang dijajah sahaja.

Kini, apa yang  disebut  sebagai  Malaysia  yang merdeka, mencecah   44  tahun usia  kemerdekaannya,  terdapat  undang-undang berbentuk  ini  menconteng-arang   system perundangan negara kita, dikuatkuasakan  dengan cara yang sama terhadap  manusia  yang tidak lagi “menentang  kuasa penjajah” tetapi  mereka  yang mencabar kerajaan  yang dikatakan bebas hasil kemerdekaan 1957 itu. Satu  undang-undang  yang paling berbisa  peninggalan  penjajah British  merupakan satu undang-undang  unggul negara   ini  sekarang,  melambangkan kita masih  mundar-mandir sekitar gerbang  zaman kolonial  dulu ataupun mungkin kerana  kita  belum mencapai kemerdekaan yang sebenarnya. Adalah  satu tragedy betapa kita masih dijajah  walaupun kemerdekaan itu telah  diisytiharkan lebih empat  dekad dulu.

Kita dikejutkan oleh satu kebenaran,  walaupun  kita sudah bebas sebenarnya  kita masih dijajah  lagi, bukan oleh British tetapi oleh   gulungan  elit (ningrat)  yang  ada  yang  telah  mewarisi  system itu  daripada  penjajah,  dan  lebih  suka  mengekalkan ketuanan  itu daripada  membebaskan rakyat  marhaen daripada cengkaman akta  yang  menjijikkan.  Kenapa jadinya?   Jawapannya amat  mudah  diambil-kira.. Apabila rakyat  sesebuah  negara  itu  ditekan dengan zalimnya, tindakan itu  memudahkan kerja-kerja membalun segala  khazanah negara yang  ada untuk diri sendiri dan untuk keseronokan  yang tidak ada tandingannya lagi Ini  semua  jelas  ditayang oleh gelagat  hidup para pemimpin UMNO BN. Mahathir dan keluarganya  mempunyai  kekayaan bernilai berbilion-bilion,  begitu  juga  dengan  Ling Liong Sik  dan Samy  Vellu  sedangkan rakyat  marhaen  terpaksa memerah  keringat kais  pagi makan pagi dan kais petang makan hati.

Apabila rakyat  marhaen  mula mencabar kumpulan  pemimpin  bertaraf neo-penjajah  ini,  terutama sekali  sejak dua  tahun  yang berlalu, kumpulan  yang  memerintah  mula  takutkan  kehilangan  syurga dunia  mereka  itu telah bertindak menggunakan  ISA sebagai  satu senjata  untuk menyerang  dan  menekan kaum sebangsa  yang sepatutnya bebas dan merdeka seperti mereka.  Peralatan  yang dicipta oleh penjajah dulu  untuk  mencengkam  dan menggodam  cabaran  puak-puak  yang mencabar mereka itu  - yakni  ISA -   sekali lagi digunakan  terhadap  satu kumpulan  pemimpin muda  yang  lebih  popular dikenali  sebagai  ‘pahlawan  tujuh’  (magnificent tujuh)  yang  menuntut kebebasan  yang menyeluruh.  Mereka  telah  dihenyak  oleh senjata ciptaan  penjajah  British  dulu, menjadikan  ISA satu  undang-undang zalim yang  melindungi kerakusan  pemerintah yang zalim juga.

Adalah  sesuai  dirakamkan  di sini, kumpulan pemerintah yang ada ini tidak banyak bezanya  dengan para penjajah kolonial  dulu.  Perbezaan  yang  ada terletak kepada  bangsa  dan kaum  yang sama.   Inilah kezaliman  yang paling  menghinakan, merupakan kemuncak  kebajingan pemerintahan regim dictator. Inilah  penyiksaan  yang paling memualkan.   Selagi  ISA tidak dihapuskan,  kita  semua akan  terus  menjadi hamba abdi kepada neo-kolonialis, UMNO  BN  yang tidak pun ambil peduli  bila mahu  menyerahkan kebebasan dan  kemerdekaan  sebenar kepada bangsanya. Marilah kita bangkit  secara berpadu menghancurkan UMNO BN  supaya  kita dapat  mengembalikan kebebasan sebenarnya daripada kapitalis neo-kolonialis ini yang sekian lama berlagak laksana orang kaya feudal semata-mata.


Spirit of Truth
(Semangat Kebenaran)
19/4/20

Terjemahan MT