WAN AZMI: KESETIAAN TAK BERTEPIAN

Tan Sri Wan Azmi, dengan usahanya sendiri, mungkin boleh muncul sebagai seorang ahli perniagaan yang dinamik di dalam mana-mana ekonomi pasaran saham – tetapi bukan di Malaysia,  bukan dengan bermodalkan dirinya sendiri. Di negara ini kebanyakan tokoh-tokoh korporat yang hebat perlu membiasakan diri dengan pelbagai permainan politik – dan sanggup mengeluarkan wang untuk kesemuanya – bagi membolehkan mereka tergolong di  antara 100 Yang Terkaya di Malaysia atau lain-lain yang bermaksud serupa. Itulah kenyataan yang terpaksa diterima untuk berhadapan dengan  suasana ekonomi yang rata-rata dikuasai oleh kumpulan kroni Mahathir.

Harga yang terpaksa dibayar pula amat mahal sekali. Sesetengahnya terpaksa menggunakan khidmat sehingga beberapa orang penaung politik yang melibatkan kos yang sangat tinggi. Yang lainnya, termasuk kebanyakan ahli-ahli perniagaan Melayu, lebih terikat kepada seorang penaung politik sahaja. Dengan bergantung sepenuhnya kepada penaung-penaung ini, ahli-ahli perniagaan Bumiputera akan berjaya mendaki tangga dunia korporat , dan biasanya mereka akan turut menerima nasib yang sama apabila penaung-penaung itu sendiri kecundang.

Wan Azmi sepatutnya cukup bersedia untuk menilai ikatan politiknya itu bagi kestabilan jangka panjang bidang korporat yang diceburinya itu. Ternyata beliau gagal di situ. Sebaliknya beliau tetap setia bergantung harap kepada penaung utamanya, Menteri Kewangan buat kali kedua Tun Daim Zainuddin. Sikap Wan Azmi ini mungkin boleh digambarkan sebagai satu watak di dalam sebuah kehidupan moden Melayu : Seorang yang bijak dan pandai mengenang budi, yang merasakan tidak menjadi kesalahan buat tuannya untuk mengaut kekayaan secara berlebihan, bahkan secara terbuka beliau pernah melahirkan rasa kagum terhadap sumbangannya kepada Malaysia. Beliau begitu amat menghargai jasa gurunya yang telah membuka jalan untuk beliau berkecimpung di dalam dunia perniagaan, dan beliau tetap setia biarpun hubungan tersebut mula menjejaskan masa depan perniagaan dan profesionalismenya.

Ini membuatkan kita terfikir apakah Wan Azmi sendiri mampu untuk pergi lebih jauh lagi dan mencapai sesuatu yang lebih tinggi lagi sekiranya beliau tidak terjebak di dalam cengkaman emas golongan kapitalis kroni di Malaysia ini. Inilah kejadian malang yang menimpa Wan Azmi serta ahli-ahli perniagaan Malaysia yang meletakkan diri mereka di dalam satu sistem yang amat tidak adil itu.

Sebenarnya agak sukar untuk mencari kesilapan Wan Azmi berdasarkan kedudukannya yang amat kukuh di dalam sistem korporat kroni itu. Banyak pengalaman pahit manis yang terpaksa diharunginya sebelum berjaya mencapai tahap seperti sekarang. Beliau telah bekerja keras, belajar dengan sepenuh hati dan di dalam proses itu mendapat beberapa  pengajaran yang amat berguna untuk kepentingan peribadi mahupun kerjayanya. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengalamannya itu tidak dapat ditandingi oleh kebanyakan dari anak didik Daim yang lain.

Namun begitu Wan Azmi tidak boleh mendabik dada mengatakan kejayaannya itu adalah hasil usahanya sendiri. Malah sejarah pengkorporatan di Malaysia juga tidak akan dapat membuktikan perkara yang sebaliknya.

Menurut teman-teman Wan Azmi, beliau adalah seorang yang cerdik, pandai bergaul dan menyeronokkan ketika berbual. Rakan-rakan niaganya menegaskan bahawa beliau ternyata seorang yang tahu tentang urus niaganya dan biasanya berurusan dengan agak baik. Di kalangan kaki tangannya pula beliau dikenali sebagai seorang yang bergaya, tetapi cerewet dan berjiwa besar. Ada beberapa teman lain yang menyebut tentang sifat ego yang ada pada dirinya, dan sesetengah pula berpendapat keegoannya itu amat tinggi sekali. Sebilangan kecil yang lain memberitahu akan tabiat beliau yang suka mempersendakan dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kurang menyenangkan tentang hubung kait politik yang sebenarnya mendatangkan banyak kebaikan buat dirinya sendiri. Tidak kurang juga yang menyelar sifat terlalu jujur beliau yang tidak kena pada tempatnya. Namun tiada seorang pun yang berkata bahawa Wan Azmi akan mengecapi kejayaan seperti itu tanpa bantuan dari Daim.

Wan Azmi sendiri tidak pernah dan tidak akan menyangkal pernyataan yang terakhir itu. Satu ketika dahulu beliau pernah membandingkan Daim dan dirinya seumpama Batman dengan Robin, yang menyusuri kegelapan malam di daerah segi tiga emas Kuala Lumpur dan membolot urusniaga-urusniaga yang paling lumayan di Malaysia. Untuk seketika, perkara ini ada kebenarannya.

Wan Azmi yang merupakan seorang Akauntan, seperti kebanyakan anak didik Daim yang lain, telah meninggalkan jawatan sebagai pegawai kewangan  di Kumpulan New Straits Times secara mendadak pada tahun 1978 apabila terlibat di dalam persengketaan dengan Dato’ Junus Sudin, yang merupakan pengerusi empayar korporat UMNO di bawah Fleet Holdings. Keputusannya untuk beralih kerjaya itu agak kurang bijak. Junus, yang pada masa itu bernaung di bawah Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah, telah pun mempunyai kedudukan yang kukuh sebagaimana Daim sekarang.

Kemudian Desa Pachi, yang merupakan proksi kumpulan korporat Daim untuk sekian lamanya,  tampil membantu Wan Azmi mengorak langkah ke alam korporat dengan mengaturkan satu pertemuan di antara Wan Azmi dan Daim, yang sebelum itu tidak pernah ditemuinya  malah kurang pengetahuan tentang dirinya. Tanpa diduga oleh Wan Azmi sendiri, beliau telah diambil bekerja dengan segera –  pada masa itu temuramah yang berlangsung belum pun berakhir – sebagai Pengurus Besar Peremba Bhd., yang merupakan cabang pengurusan Rancangan Pembangunan Bandar kerajaan yang baru dikorporatkan.

Peremba menjadi pusat Daim mengumpulkan anak-anak didik korporatnya yang akan sedia berkhidmat kepadanya sehingga ke hari ini. Di antaranya termasuklah nama-nama seperti Halim Saad, Samsudin Abu Hassan, Razali Rahman dan Hassan Abbas. Tujuannya adalah untuk mewujudkan barisan bumiputera yang setia, pasukan korporat Daim yang bakal membuat kejutan, bagi mengorak langkah mengumpan kontrak- kontrak penswastaan kerajaan yang akan dianugerahkan secara senyap-senyap oleh regim Dr. M di dalam sedikit masa lagi. Salah satu darinya adalah projek pembinaan UBN/ hotel Shangri La dan kompleks pejabat di tengah-tengah segi tiga emas yang merupakan projek yang terbesar di Kuala Lumpur pada masa itu.

Namun untuk sekian lamanya Perdana Menteri telah menjadi batu penghalang kepada peningkatan kerjaya Wan Azmi. Tidak dapat dipastikan mengapa Dr. M tidak menyenangi dirinya sebagaimana Daim terhadapnya. Lebih menimbulkan tanda tanya apabila  Daim terpaksa berulangkali campur tangan di dalam hal anak didiknya itu  dengan Mahathir, yang seperti mempunyai sebab-sebab tertentu untuk tidak menyenangi atau mempercayai Wan Azmi. Dari itu Wan Azmi terus kekal sebagai salah seorang anak didik Daim yang tidak mendapat tempat di hati Dr. M.

Hairan? Ya, memang benar. Apakah tiada sebarang petunjuk langsung? Bukan begitu. Terdapat cebisan-cebisan maklumat dari teman-teman dan kenalan-kenalan rapat Wan Azmi, juga dari sumber-sumber lama di KL, yang dapat menjelaskan sebab di sebalik hubungan yang bermasalah itu :-

· Yang pertama sekali, mungkin tidak kurang pentingnya, Wan Azmi merupakan seorang yang licik dan berdarah Kelantan. Tidak perlu ulasan lanjut tentang perkara ini.

· Wan Azmi telah merungut kepada hampir semua masyarakat peniaga di KL bahawa beliau tidak langsung menerima sebarang anugerah penswastaan yang lumayan yang selayaknya berbanding dengan kroni dan proksi Dr. M dan Daim yang lain.

· Pernah di satu ketika beliau bekerjasama dengan pelabur-pelabur dari Tabung Kewangan George Soros. Walau bagaimanapun hubungan yang terjalin itu ditamatkan sebelum munculnya Krisis Kewangan Asia. Bayangkan apabila hal ini sampai kepada Mahathir. Biarpun pada hakikatnya Daim sendiri pernah cuba berurusan dengan Soros di masa lalu,  perkara itu tidak pernah diambil pusing.

· Wan Azmi pernah mengkritik Dr. M secara terbuka , bahkan ini berlaku di dalam satu majlis keramaian anjuran Dewan Perniagaan Melayu. Yang lebih ketara lagi adalah semasa beliau menyandang jawatan Presiden Dewan tersebut pada tahun 90an di mana beliau telah mengkritik keras Dr. M yang turut hadir di majlis yang berkenaan.

· Wan Azmi tidak menepati ciri-ciri seorang diplomat korporat pengampu yang disenangi Dr. M untuk diserap menjadi anggota rombongan yang mengiringinya ke luar negeri. Ada laporan yang mengatakan bahawa semasa beliau memegang jawatan Presiden Dewan Perniagaan Melayu, beliau telah menyelar tindakan manipulasi pentadbiran Mahathir terhadap Dasar Ekonomi Baru di hadapan satu perjumpaan di antara ahli-ahli perniagaan Turki dengan pemimpin-pemimpin politik yang berlangsung di Istanbul.

Semua perkara yang dibangkitkan tadi sudah mencukupi buat Dr. M yang sering berperasangka buruk itu untuk terus-terusan membenci Wan Azmi. Tuhan Maha Mengetahui bagaimana Mahathir pernah menyisihkan beberapa individu untuk alasan yang lebih kecil. Namun begitu penulis berpendapat terdapat  alasan yang lebih kuat di sebalik tindak tanduk Mahathir yang keberatan untuk membantu perkembangan kerjaya Wan Azmi – bapa Wan Azmi, bekas Hakim Mahkamah Agong Wan Hamzah Wan Mohamed Salleh.

Para pembaca dari generasi muda tentu tidak biasa mendengar nama bapa Wan Azmi itu. Sudah pasti pembelajaran di sekolah tidak pernah menyentuh tentang peranan yang dimainkan oleh Tan Sri Wan Hamzah pada tahun 1998 di dalam usahanya menghalang Dr. M dari terus memusnahkan saki-baki kebebasan dan kesucian badan kehakiman. Tan Sri Wan Hamzah serta beberapa teman sejawatnya telah tewas di dalam pertarungan itu, yang memang tiada peluang untuk menang, dan bertolak dari situ, Badan Kehakiman di Malaysia telah disimpulkan dengan meluas sebagai salah satu yang paling korup dan tidak berkesan di rantau ini.

Mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku pada tahun 1988 – kemuncak dari kegiatan kempen Dr. M selama 3 tahun untuk menghancurkan musuh-musuh politik dan segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya – dan catatan kisah Tan Sri Wan Hamzah yang gagal di dalam usahanya untuk menghalang kerja-kerja halus Mahathir, semua ini akan dibentangkan secara ringkas.

Bapa Wan Azmi dan 4 rakan sejawatnya dari Mahkamah Agong telah digantung perkhidmatan, didakwa dengan tuduhan ‘berkelakuan amat tidak wajar’ seterusnya dihadapkan secara paksa kepada satu tribunal kanggaru yang ditubuhkan oleh kerajaan, terdiri dari beberapa ahli panel yang akan membuat pertimbangan berkenaan dengan pemecatan mereka. Apa yang telah berlaku sebelum itu adalah ke lima-lima hakim tersebut, yang bertindak dengan berani serta mengikut lunas undang-undang , telah menghalang buat sementara satu tribunal yang terdahulu dan satu lagi yang berasingan, daripada menyampaikan pemerhatian yang telah dibuat berkaitan dengan tindakan-tindakan kehakiman dan kenyataan-kenyataan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Salleh Abas kepada Yang di Pertuan Agong Malaysia. Namun tidak lama selepas itu Tun Salleh telah dipecat oleh YDP Agong, yang menerima segala pertuduhan yang telah dibuat dan bertindak mengikut nasihat Dr. M, sekalipun hakim yang tertinggi di Malaysia telah menolak untuk terlibat ataupun bekerjasama dengan juri-juri yang berkenaan. Tindakan rakan-rakan sejawatnya yang melaksanakan sekatan sementara itu hanya berupaya untuk melengahkan keputusan pemecatan yang tidak dapat dielakkan lagi itu.

Tan Sri Abd. Hamid Omar, yang mengambilalih jawatan yang disandang oleh Tun Salleh Abas sebelum itu, adalah orang yang bertanggung jawab memfailkan pendakwaan ke atas ke lima-lima hakim Mahkamah Agong di atas tindakan mereka mengeluarkan perintah sekatan sementara itu (perlu diingat bahawa Tan Sri Hamid juga adalah pengerusi tribunal yang telah menentukan nasib Tun Salleh). Keputusannya, 2 dari hakim-hakim tersebut telah dipecat manakala Tan Sri Wan Hamzah dan 2 orang hakim lagi telah dibebaskan dari semua pertuduhan dan dibenarkan bertugas seperti sediakala.

Walaupun telah didapati tidak bersalah, Tan Sri Wan Hamzah merasa amat kesal dengan kempen Dr. M yang keterlaluan terhadap kebebasan badan kehakiman dan kesan dari campur tangan Dr. M yang telah menjadikan mahkamah-mahkamah di Malaysia tercemar dan dengan keadaan amat menyedihkan sekali. Sebaik sahaja bersara, bapa Wan Azmi itu telah menjadi penyokong kuat PAS dan turut berkempen menyuarakan bantahan terhadap amalan rasuah dan ketidakadilan sistem pemerintahan Mahathir dan Barisan Nasional.

Melihat kepada semua ini, dan mungkin banyak lagi, maka niat Wan Azmi untuk berubah angin daripada seorang ahli perniagaan kepada pemimpin politik tidak mungkin tercapai. Satu masa dahulu beliau pernah menaruh harapan untuk dilantik sebagai Gabenor Bank Negara. Beliau telah berjaya menjadi ketua perbankan pada usia yang paling muda di dalam sejarah Malaysia, di mana pada usia 35 tahun beliau telah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Malayan Banking Bhd, yang merupakan bank yang terbesar di negara ini. Penghargaan sepatutnya diberikan kepada Menteri Kewangan buat kali pertama Daim yang bertanggung jawab di atas perlantikan yang dibuat pada tahun 1985 itu. Namun disebabkan bebanan kerja yang terlalu tinggi sehingga menelan sebahagian besar dari masanya dan tekanan dari keluarga yang memerlukan perhatiannya, beliau meletakkan jawatan biarpun baru 19 bulan menyandangnya dan melupakan terus cita-citanya untuk menerajui Bank Negara.

Sekitar pertengahan tahun 90an, terdapat banyak desas-desus mengenai Wan Azmi, yang telahpun mencapai beberapa pengiktirafan politik sebagai Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu yang dipilih, yang akan diketengahkan untuk bertanding satu kerusi yang selamat di bawah UMNO Dr. M. Kemudian gosip terus bertiup kencang tentang kemungkinan beliau akan dilantik pula sebagai Menteri Kewangan.

Bekas Menteri Kewangan (kini musuh Dr. M yang terpenjara) Anwar Ibrahim dikatakan telah bersetuju untuk menerima Wan Azmi sebagai penggantinya, asalkan beliau sendiri diperuntukkan satu portfolio baru dan bersesuaian seperti Hal Ehwal Dalam Negeri. Sudah tentu Daim tidak akan membantah. Tiada yang lebih menggembirakan selain dari melihat anak didiknya menduduki tempat yang paling penting di negara ini, lebih-lebih lagi buat seseorang yang terlibat secara aktif di pasaran saham sepertinya. Malangnya Dr. M tidak akan membenarkan perkara itu terjadi; tiada tempat buat Wan Azmi di dalam regimnya. Dan itulah hakikatnya.

Bagi pihak Wan Azmi pula, menurut teman-teman rapatnya, tidak semudah itu untuk menerima sebarang penolakan. Lantas kritikan-kritikan yang dilontarkan olehnya terhadap Dr. M menjadi semakin lantang. Begitu pun kesetiaannya kepada Daim tetap utuh. Rangkaian ahli-ahli korporat di Malaysia menyedari akan ikatan kukuh di antara mereka, yang tidak akan menjadi lemah hanya kerana sikap Dr. M yang menolak Wan Azmi itu.

Ternyata pada tahun 90an, Wan Azmi semakin dikenali dengan peranannya sebagai penentu di dalam urusniaga-urusniaga korporat. Beberapa peniaga di negara ini mengajukan soalan kepada Daim. Adakah Daim akan membuat bising tentang hal ini? Apakah beliau akan menolaknya? Adakah beliau akan bertegas untuk mendapatkan bahagiannya? Dan selepas itu, bagaimana dengan Anwar? Adakah beliau akan meluluskan perkara itu? Bolehkah Anwar meyakinkan Suruhanjaya Sekuriti untuk menerimanya? Kedudukan yang sentiasa menjadi perhatian ramai itu telah mendorong Wan Azmi untuk bertindak sendiri, dengan bantuan Daim. Dan perbuatan tersebut telah menjangkau lebih jauh dari itu.

Wan Azmi juga sedia menyelesaikan segala perbalahan di dalam sindiket Daim yang sentiasa berkembang itu. Penyelesaian yang dibuat terbukti membawa lebih banyak keuntungan, seperti yang berlaku pada tahun 1990 apabila Syarikat Land & General milik Wan Azmi tampil menyelesaikan pertelingkahan  di antara  Pengerusi Berjaya Bhd. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Ketua Multi-Purpose Holdings Bhd. Lim Thian Kiat. Kata sepakat akhirnya dicapai dan Syarikat Land & General mendapat habuan yang merupakan salah satu dari projek perumahan yang amat memberangsangkan, Sri Damansara MPHB, d pinggiran ibu kota.

Krisis Kewangan Asia telah menjejaskan prestasi Wan Azmi buat seketika, seperti yang menimpa kebanyakan ahli-ahli perniagaan Malaysia baik dari kumpulan kroni mahupun bukan kroni. Beban yang ditanggungnya amat berat kerana Syarikat Land & General lebih banyak bergantung kepada pergerakan pasaran saham, yang merupakan sektor yang paling teruk terjejas oleh krisis itu dan mungkin yang paling lambat untuk pulih semula.

Seperti yang lazim dibuat oleh Wan Azmi, sewaktu membentangkan satu kertas kerja di acara tahunan Persidangan Perumahan dan Hartanah Kebangsaan Malaysia,  beliau telah menyalahkan semua pihak, termasuk dirinya dan regim Dr. M, di atas kemuraman pasaran saham. Katanya kesilapan-kesilapan telah dibuat oleh :-

“Pihak bank yang telah mengeluarkan pinjaman dengan berlebihan; pihak kerajaan yang telah membenarkan tanah-tanah dibangun secara keterlaluan dan meluluskan terlalu banyak projek; pihak pembeli yang membuat janji-janji kosong; dan para pemimpin yang memberi jaminan bahawa bunyi muzik itu tidak akan berhenti. Kesalahan kami sebagai pemaju adalah satu kesalahan yang tidak disengajakan dan kesilapan kami adalah satu kesilapan yang tidak boleh disalahkan!”

Walau bagaimanapun para penganalisis menjangkakan bahawa Syarikat Land & General akan berjaya mengumpulkan kekuatan kembali selaras dengan arahan kerajaan bagi penetapan kadar faedah pinjaman yang rendah serta tanah seluas10,000 ekar milik kumpulan itu. Yang membimbangkan sebenarnya adalah kerakusan Wan Azmi di dalam urusan perniagaannya seperti kursus-kursus golf dan banglo-banglo di Portugal; kegiatan perlombongan di Australia dan beberapa tempat lain; pusat peranginan di Melaka; sebuah bank di Mauritius, beberapa syarikat kecil di negeri kelahirannya di Kelantan dan lain-lain lagi.

Penulis merasa yakin akan keupayaan Wan Azmi untuk melepasi semua halangan untuk bangkit semula. Kebijaksanaannya di dalam selok-belok perniagaan akan banyak membantu ke arah itu. Tambahan pula, Daim tidak mungkin membelakangkan anak didik terbaiknya itu. Tergamakkah Batman meninggalkan Robin?

KTK6