Rundingan antara PAS dan Umno: 'SUASANA TIDAK MERANGSANG' Oleh Ismail Hashim

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Hrkh)-Perbincangan Perpaduan Nasional antara PAS dan Umno yang dicadangkan pada 19 Februari lalu ditangguh ke satu tarikh yang belum diketahui bila kerana suasana yang ada kini tidak merangsang ke arah berlakunya perbincangan yang diminta Umno itu.

Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor menegaskan hanya Allah sahaja yang tahu entah bila tarikh itu berlaku seperti yang dipinjamkannya dari ayat Al-Quran, "Ila Ajalin Khairi Musamma."

Beliau berkata demikian dalam Taklimat Perbincangan Nasional kepada para pimpinan PAS dari seluruh negara yang diadakan di Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar dekat sini.

Turut berada di pentas utama adalah Timbalannya yang juga Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, AJK Tenikal, Dr Wahab Ismail dan Dato' Hishamuddin Yahya.

Ramai pimpinan tertinggi PAS yang lain serta AJK PAS Pusat, Ahli-ahli Parlimen PAS dan Adun turut kelihatan dalam dewan itu.

Ustaz Fadzil yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia berkata, banyak perkara berlaku yang menyebabkan Lajnah Politik PAS Pusat mengambil keputusan untuk menangguhkan perbincangan itu.

"Umno perlu memastikan hak-hak status quo yang dinikmati PAS selama ini diberikan semula, barulah perbincangan itu boleh dilaksanakan kerana ia adalah hak PAS selama ini, kenapa ianya dinafikan?.

"Hati mesti terbuka, bukan terbuku," jelasnya kepada para hadirin tentang kesanggupan untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja bagi menyampaikan kebenaran Islam tetapi mesti adab dan hak yang mesti Umno kembalikan.

Tambahnya, dua perkara utama yang menjadi hak PAS selama ini adalah keluaran akhbar rasmi PAS, Harakah mesti dikembalikan kepada dua kali seminggu dan bukan hanya dua kali sebulan seperti sekarang.

Begitu juga dengan royalti minyak yang sejak 1978 diterima oleh Kerajaan Terengganu, kenapa ianya dirampas tanpa meninggalkan sepuluh sen kepada Kerajaan PAS Negeri itu sekarang yang dipilih rakyat dalam pilihan raya lalu.

Umno juga yang mendakwa memimpin Kerajaan Barisan Nasional mesti mengarahkan semua pihak dalam semua media pro-kerajaan yang ada supaya menghentikan provokasi terhadap PAS, jika mahu perbincangan itu berlaku.

Beliau juga mempertikaikan kenyataan Umno yang mengatakan tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan bilangan lapan kali Harakah diterbitkan, kenapa mereka boleh tarik dulu tetapi mengapa tiada kuasa untuk luluskan semula?

"Sebenarnya, kalau mereka mahu, tidaklah sesukar mana, hanya empat patah perkataan sahaja dari Dato' Seri Abdullah (KDN), 'Beri Semula Permit Harakah!', tetapi mereka tidak mahu," tegasnya.

Ustaz Fadzil juga sempat menyebutkan komen seorang Tionghua yang mengatakan, apa perlunya Umno sibuk-sibuk dengan Perpaduan Melayu, sepatutnya mereka sibuk dengan perpaduan Umno sahaja sudahlah.

Hujahnya, sebut Ustaz Fadzil lagi, orang Cina itu berkata, perpecahan tidak berlaku di kalangan Melayu kerana orang Melayu yang memilih PAS di Kelantan dan Terengganu, hidup aman tenteram dan selesa.

Adun Pendang itu juga menyatakan, pimpinan PAS tidak pernah meminta sebarang jawatan yng kononnya sedang disebarkan oleh Umno kerana masih ramai lagi ahli-ahli Umno yang tidak mempunyai jawatan.

"PAS tidak pernah mempermain atau mempersendakan sesiapa, PAS boleh memaafkan apa sahaja yang Umno lakukan kepada PAS tetapi PAS tidak mempunyai hak untuk memaafkan tindakan zalim Umno terhadap rakyat negara ini," tegasnya.

Presiden PAS sempat juga menceritakan Raja Abrahah yang ingin menyerang Kaabah pernah mengembalikan 40 ekor unta Abdul Muttalib sebelum rundingan dibuat.

"Takkanlah Umno lebih teruk dari Raja Abrahah?" soalnya lagi sambil menjelaskan hak-hak PAS mesti dikembalikan sebelum Perbincangan Perpaduan Nasional itu berlaku.