SIARAN MEDIA
19 Februari 2001

PENANGGUHAN MUZAKARAH: ABIM TERIMA ALASAN PAS

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengalu-alukan semangat PAS untuk meneruskan perbincangan Perpaduan Nasional sebagaimana kenyataan akhbar Presiden PAS pada 18 Februari 2001.

Walaupun ABIM merasa pertemuan UMNO-PAS yang dijadualkan pada 19 Februari 2001 sepatutnya diteruskan sebagai langkah awal untuk merealisasikan cita-cita Perpaduan Nasional, namun demikian alasan penangguhan PAS adalah wajar demi kejayaan muzakarah tersebut.  Apa yang diinginkan di sini ialah kejayaannya yang hanya mungkin terjadi dalam suasana yang menyakinkan dan tidak perlu tergesa-gesa.

ABIM ingin mencadangkan agar “Confidence Building Mechanism” – Mekanisme Membina Keyakinan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Teknikal PAS dan UMNO yang bertujuan mengatur langkah-langkah praktikal untuk mengujudkan suasana saling percaya mempercayai di antara PAS dan UMNO di pelbagai peringkat kepemimpinan khususnya.

Untuk itu langkah yang praktikal sekarang ialah ‘Gencatan Senjata Politik’ yang bermaksud sebarang bentuk kegiatan politik yang boleh menjejaskan Muzakarah PAS-UMNO haruslah dihentikan untuk beberapa waktu yang dipersetujui. Segala tindakan provokasi sepatutnya dihindarkan.

ABIM juga menyarankan kepada UMNO untuk menunjukkan kesungguhan dan keikhlasannya dengan mengembalikan semula akan hak-hak PAS yang sah di segi undang-undang yang sebenarnya tidak merugikan sesiapapun.

ABIM juga menyedari bahawa memandangkan krisis kepercayaan adalah terlalu dalam, dan tekanan politik dari berbagai pihak adalah sangat kuat, maka kemungkinan mencari tokoh yang neutral yang dihormati oleh kedua pihak, dalam atau luar negeri boleh dimanfaatkan untuk menjadi fasilitator dan moderator kepada muzakarah ini.

ABIM tetap berpendirian bahawa krisis politik umat ini harus ditangani secara syura dan untuk itu merakamkan penghargaan kepada PAS dan UMNO khususnya YAB Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad dan YB Dato’ Fadzil Noor yang telah memilih jalan yang telah dituntut oleh Islam ini.

AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN
Presiden