Tindakan Terhadap Kementerian Dalam Negeri

KENYATAAN AKHBAR (Oleh Siva Rasiah)

Tindakan undang-undang terhadap Kementerian Dalam Negeri akan dimulakan sekiranya permit penerbitan tidak diluluskan

Parti Rakyat Malaysia telah membuat langkah-langkah permulaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Kementerian Dalam Negeri kerana kegagalan mereka meluluskan pemohonan permit penerbitan di bawah Seksyen (6)
(1) (a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan1984.

Permohonan tersebut telah dikemukakan mula-mulanya pada 22hb Mac 1999. Menurut permintaan Kementerian tersebut pada 30 hb April 1999, borang-borang yang telah dikemaskinikan telah diserahkan semula pada 6hb Mei 1999. Melalui surat Kementerian bertarikh 11hb Mei 1999, pihak kami diberitahu bahawa permohonan kami telah diterima dan sedang diproses. Secara lisan, kami diberitahu bahawa kami akan mendapat jawapan dalam masa satu atau dua bulan.

Walaupun pihak kami telah bertanya beberapa kali, malangnya tidak ada sebarang jawapan diterima daripada pihak Kementerian. Surat kami bertarikh 17hb Oktober 2000 yang mengingatkan pihak Kementerian supaya meluluskan
permohonan kami dengan segera tidak dijawab sama sekali.

Seterusnya, kami telah melantik peguamcara untuk mengambil tindakan tentang perkara ini. Akan tetapi, surat-surat peguamcara yang bertarikh 13hb Disember 2000 pun masih belum dijawab. Ekorannya, kami tiada pilihan lagi selain mengarahkan peguamcara kami memberi notis bertempoh 14 hari daripada 31hb Januari 2001 - bahawa sekiranya permohonan itu tidak diluluskan, tindakan Mahkamah akan diambil.

Kami juga kesal mendapati bahawa seorang pegawai tinggi di pihak Kementerian, yakni Ketua Penolong Setiausaha Unit Kawalan Penerbitan Tengku Mahmood Tengku Ismail, dalam satu interviu dalam majalah Tamaddun (Mei 2000), telah membuat kenyataan bahawa PRM telah diluluskan permit penerbitannya. Kenyataan ini tidak benar sama sekali.

Parti Rakyat Malaysia amat kecewa dengan keadaan membisu pihak Kementerian yang tidak wajar bagi sebuah kerajaan yang bertanggung jawab. Penafian permit penerbitan untuk PRM merupakan satu pelanggaran hak asasi di bawah Perlembagaan Malaysia yang memberikan jaminan kebebasan bersuara.

Pada hemat kami, terdapat juga unsur diskriminasi dan taktik pecah belah dalam sikap pihak Kementerian dalam menangani permohonan permit penerbitan. Parti-parti Barisan Nasional telah diberi permit bersama-sama dengan parti pembangkang saperti PAS dan DAP yang dibenarkan menerbitkan hanya dua kali sebulan. Nampaknya pihak Barisan Nasional sangat khuatir untuk memberikan PRM hak untuk berkomukasi dengan rakyat Malaysia melalui penerbitan.


Sivarasa Rasiah
Penasihat Undang-Undang PRM

6hb Februari 2001