PERPECAHAN MASYARAKAT ISLAM: SEBAB YANG DEKAT DAN NYATA

Oleh: Salman Madani

Sebagai ulama kerajaan yang tidak mahu menyalahkan UMNO dan  elit pemerintah, Dr.Ismail Ibrahim ( Ketua Pengarah IKIM) nampaknya terpaksa mencari-cari sebab yang jauh dan tidak begitu pasti  untuk menerangkan mengapa masyarakat Islam di negara ini  telah  berpecah belah.

Mengikut pendapat beliau (hasil kajian atau agakan sahaja? ) punca utama wujudnya perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini ialah  isu kafir mengkafir yang kononya ditimbulkan oleh puak PAS.Betulkah demikian?

Sebenarnya isu kafir mengkafir ini lebih ketara muncul di  tempat tertentu dan  agak hangat pada masa tertentu, misalnya menjelang pilihan raya.

Kesannya mungkin ada.Sebagaimana yang sering di sebut,  di kawasan tertentu (misalnya di Besut, Terengganu) telah berlaku sembahyang dua imam atau sembahyang berasingan, pulau memulau ketika berlaku kematian  dan ketika diadakan kenduri kendara dan sebagainya, yang dikaitkan dengan isu kafir mengkafir tersebut.

Akan tetapi, saya rasa  fenomena ini tidak menyeluruh dan lebih merupakan fenomena yang  terpencil sahaja.

Yang lebih  penting daripada itu,   isu kafir mengkafir ini mungkin lebih wajar dilihat sebagai  kesan atau akibat daripada fenomena  yang lain, dan bukan punca  atau sebab utama kepada perpecahan masyarakat Islam di  negara ini.

Saya lebih cenderung melihat timbulnya isu kafir mengkafir ini sebagai kesan daripada  persaingan dan konflik politik di kawasan tertentu, khasnya apabila  puak yang berkuasa (UMNO) telah  menindas, menekan dan  mendiskriminasikan orang-orang  yang tidak menyokong UMNO (PAS)  di kawasan tersebut.

Maka dalam keadaan tertindas, tertekan dan didiskriminasikan itulah ada tokoh-tokoh atau ulama tempatan yang cuba menimbulkan isu kafir mengkafir itu berasaskan  fahaman dan  tafsiran mereka terhadap ayat-ayat Quran dan hadis yang tertentu.

Jadi isu kafir mengkafir timbul sebagai kesan daripada penindasan,  penekanan  dan pendiskriminasian oleh  puak yang berkuasa ke atas puak yang tidak berkuasa, dan bukan merupakan sebab atau punca kepada perpecahan.

Sebaliknya, jika kita tidak mahu memejamkan mata terhadap perkembangan politik di tanah air kita dalam dua tiga tahun kebelakangan ini, kita akan dapat melihat bahawa sebab yang lebih dekat dan lebih nyata  yang menimbulkan  perpecahan di kalangan masyarakat Melayu , dan bahkan di dalam UMNO sendiri ialah kezaliman yang dilakukan oleh elit politik yang  berkuasa (khasnya pucuk pimpinan UMNO).

Agak anih jika Dr.Ismail Ibrahim tidak dapat melihat   bahawa sebab atau punca utama UMNO dan orang-orang  Melayu berpecah baharu-baharu ini ialah tindakan  Mahathir mengaibkan dan  memecat Anwar Ibrahim, yang ditanggapi oleh majoriti orang Melayu (termasuk orang UMNO juga) sebagai kezaliman yang sukar dimaafkan.

Isu kafir mengkafir yang mungkin ditimbulkan oleh  setengah ahli atau pemimpin PAS sebenarnya  adalah isu lama, dan tidak membawa  perpecahan yang agak berarti  kepada masyarakat Melayu/Islam di negara ini, sebelum timbulnya isu Anwar Ibrahim.

Walaupun isu kafir mengkafir ini sedikit sebanyak ada kesannya di kawasan tertentu, tetapi kesannya jauh lebih kecil daripada kesan  isu Anwar Ibrahim, yang lebih merupakan isu nasional.

Jadi  dalam dua tiga tahun kebelakangan ini punca atau sebab utama perpecahan di kalangan masyarakat Islam di negara ini  sebenarnya ialah  kezaliman yang dilakukan oleh  puak pemerintah, dan bukan isu kafir mengkafir.

Inilah punca perpecahan umat Islam  yang dekat dan nyata, yang sepatutnya diakui oleh Dr.Ismail Ibrahim; dan bukan isu kafir mengkafir  yang merupakan sebab yang jauh dan dicari-cari dan lebih merupakan  akibat dan kesan daripada fenomena yang lain.