Kenyataan Media BARISAN ALTERNATIF

EKONOMI NEGARA DALAM KEMELUT

19 Februari 2001

KRISIS EKONOMI TAHUN 2001 Setelah mengalami kemelesetan ekonomi paling teruk dalam tahun 1997-1998, tanda-tanda sudah ada bahawa ekonomi Malaysia kini dilanda kemelut lagi.

Walaupun kemelut ekonomi tahun 1997-1998 berpunca daripada krisis matawang dan pasaran modal, tetapi perkembangan tidak terkawal di dalam subsektor pembinaan khasnya subsektor hartanah dan infrastruktur telah menjerumuskan ekonomi ke jurang kemelesetan yang begitu parah. Sehingga ke hari ini, subsektor hartanah masih dihantui masalah lebihan penawaran sehingga ianya sukar untuk melepaskan diri daripada cengkaman kemelesetan.

Prestasi sektor perkilangan turut merudum sementara sektor perlombongan hanya mampu bertahan dan itu pun kerana kekuatan yang ada pada subsektor petroleum. Namun, yang jelas ialah sektor pertanian khasnya subsektor komoditi pertanian telah menyumbang jasa yang besar di dalam menampani keganasan kemelut yang melanda. Pada ketika sektor-sektor lain di dalam ekonomi merekodkan pertumbuhan negatif, subsektor pertanian kelapa sawit menunjukkan prestasi pertumbuhan yang baik sehingga kalaulah tidak kerananya, kemelesetan yang menimpa ekonomi Malaysia sudah pasti jauh lebih dalam.

Negara seharusnya berterima kasih kepada kaum tani yang mendukung sektor ini. Usia pemulihan ekonomi yang berlangsung belum pun sampai tiga tahun tetapi tanda-tanda kemelesetan ekonomi sudah ada. Walaupun ekonomi Malaysia diunjurkan akan berkembang pada kadar 6% dalam tahun 2001 ini, namun unjuran terkini meletakkan pertumbuhan hanya pada sekitar 4%-5%.

Dijangka kadar inflasi akan memuncak. Walaubagaimanapun, sektor pertanian khasnya subsektor komoditi getah, kelapa sawit, padi dan kelapa sudah ditimpa kemelut sejak tahun 1999 lagi akibat kejatuhan besar di dalam harga komoditi. Ini adalah krisis ekonomi yang tidak diisytiharkan. Lebih teruk lagi, ianya terus diabaikan oleh pemerintah.

Sudah dua tahun subsektor ini di dalam kemelut namun tidak ada langkah-langkah konkrit yang diambil untuk membawa subsektor ini keluar daripada kemelut yang mengcengkam. Berbeza sekali halnya dengan kemelut ekonomi 1997-1998. Perdana Menteri menjelajah ke seluruh negara untuk meredakan keresahan rakyat. Syarikat-syarikat dan warga korporat yang terjejas oleh kemelut cepat-cepat ditolong dan mendapat pembelaan. Tetapi apabila tiba giliran kaum marhaen - petani-petani kecil padi, kelapa, pekebun-pekebun kecil getah dan peneroka-peneroka FELDA mengalami kesukaran dan kesempitan hidup akibat krisis yang melanda sektor ini, pemerintah tidak berbuat apa-apa, bahkan membiarkan sahaja petani-petani tergapai-gapai menempuh hidup yang serba sukar.

Akibatnya, ratusan ribu keluarga peneroka FELDA dan pekebun-pekebun kecil getah, kelapa sawit, padi dan kelapa telah terjerumus ke dalam jurang kemiskinan, sekaligus melonjakkan bilangan rakyat yang berada di bawah garis kemiskinan ke angka yang jauh lebih tinggi daripada angka rasmi. Pada tahun 1997 harga kelapa sawit meningkat sebanyak 16%. Harga naik memuncak sebanyak 72% dalam tahun 1998. Tetapi sejak awal tahun 1999, harga kelapa sawit telah mengalami kejatuhan dan sejak dari itu harga terus jatuh menjunam sehingga kini.

Dalam tahun 1999, harga jatuh sebanyak 38% dan dalam tahun 2000 ianya jatuh lagi sebanyak 37%. Kalau dalam tahun 1997, pekebun kelapa sawit menikmati harga sekitar RM400 setan dan RM200 setan dalam tahun 1999, kini harga yang mereka perolehi hanyalah RM70 setan, tidak sampai pun 20% daripada harga yang mereka perolehi dalam tahun 1997.

Upah memotong kekal pada RM40 setan dan kos baja dan racun pula terus meningkat. Harga getah juga mengalami turun naik yang melampau. Ianya merosot sebanyak 21% dalam tahun 1997, pulih sedikit sebanyak 0.7% dalam tahun 1998 tetapi telah turun secara mendadak sebanyak 14% dalam tahun 1999. Harga pulih pada awal tahun 2000 tetapi telah jatuh kembali sebanyak 11% dalam bulan November dan 2% lagi dalam bulan Disember.

Harga padi dan kelapa terus tertekan. Kini petani padi menghadapi pertandingan sengit daripada kemasukan padi dari Thailand. Tuntutan petani agar harga padi dinaikkan tidak mendapat perhatian. Lembaga Padi dan Beras Negara yang telah diswastakan nampaknya tidak berminat untuk menjaga kepentingan petani. Pertimbangan keuntungan kini lebih berkuasa.

Akibatnya, pendapatan para pekebun telah merosot dengan nyatanya pada sekitar RM140-RM280 sebulan, jauh di bawah garis kemiskinan yang ditetapkan pada kira-kira RM450 sebulan. Apatah lagi, ini amat jauh daripada pendapatan munasabah untuk mengekalkan taraf hidup paling minimum kira-kira RM1000 sebulan bagi sebuah keluarga bersaiz purata 5 orang. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kenaikan harga barang keperluan yang melambung. Kadar inflasi dijangka naik lagi daripada sekitar 2.5% dalam tahun 2000 ke paras melebihi 4% dalam tahun 2001 ini. Ini kadar inflasi yang rasmi.

Pada hakikatnya, harga barang-barang jauh lebih tinggi. Harga-harga buku dan pakaian seragam sekolah misalnya, telah naik melambung sehingga melebihi 10%. Begitu juga halnya dengan kos pengangkutan dan bayaran tol yang naik hampir 25%. Tidak lama lagi bayaran bil air dan letrik akan naik, entah berapa peratus pula. Ini bermakna, kuasa beli para pekebun dan petani terus terhakis dengan nyatanya dan begitu jugalah taraf hidup mereka.

Ramai peneroka FELDA dan juga petani-petani lain kini terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menampung kehidupan. Kalau keadaan yang didedahkan bukan krisis, apakah ada nama lain bagi keadaan ini? Keresahan rakyat yang menghadapi penderitaan hidup sudah tidak dapat dibendung lagi. Dilaporkan bahawa pekebun-pekebun di kawasan Sabak Bernam dan Batu Pahat telah membuat bantahan dan menuntut pihak berkuasa melakukan sesuatu untuk menstabilkan harga kelapa sawit dan komoditi pertanian yang lain.

Kita amat bimbang, jika sektor pertanian khasnya subsektor komoditi utama ini terus berada dalam krisis dan tidak ada pula langkah-langkah pembelaan diambil untuk meringankan beban dan penderitaan hidup yang dialami petani sekarang, mereka akan merasa terpanggil untuk meluahkan keresahan mereka secara lebih terbuka. Barisan Alternatif (BA) mengisytiharkan bahawa ekonomi Malaysia adalah di dalam kemelut. Khasnya, sektor pertanian telah dicengkam kemelut sejak dua tahun yang lepas.

Sikap berdiam diri pemerintah membiarkan sahaja harga-harga komoditi utama pertanian - yang mana jutaan rakyat menggantungkan kehidupan mereka - terus merosot amatlah dikesalkan. Kalau pemerintah bersedia menyelamatkan dan membela golongan korporat yang ditimpa kemelut, demi keadilan, maka sudah sewajarnya pemerintah melakukan sesuatu untuk meringankan beban penderitaan rakyat petani dan pekebun.

BA mencadangkan agar program yang pernah diwujudkan di zaman pemerintahan Tengku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak dahulu, iaitu skim penstabilan harga pertanian khasnya getah dan kelapa sawit hendaklah diperkenalkan semula. Pemerintah, melalui program ini, hendaklah membeli komoditi-komoditi utama pertanian ketika keadaan penawaran berlebihan dan menjualnya ke pasaran ketika permintaan berlebihan supaya harga dapat distabilkan. Ini akan menstabilkan pendapatan pekebun-pekebun.

Adalah dicadangkan supaya skim ini diperkenalkan segera dan diurus dengan sebaiknya oleh pengurusan profesional. Kalau pemerintah boleh menggunakan dana-dana tertentu milik rakyat untuk menyelamatkan golongan tertentu dan menyokong harga-harga saham syarikat tertentu di pasaran saham misalnya, kita tidak nampak kenapa dana tidak boleh diperuntukkan untuk skim penstabilan komoditi utama pertanian, lebih-lebih lagi yang terlibat ialah ratusan ribu kaum tani dan jutaan tanggungan mereka. BA akan menganjurkan satu persidangan mengenai Krisis Ekonomi 2001 pada kadar segera.

Dato' Ustaz Fadzil Mohd. Noor
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail
Presiden Parti Keadilan Nasional (keADILan)

YB Kerk Kim Hock
Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Dr. Syed Husin Ali
Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM)