Umno penyebab pertemuan ditangguh

Oleh Ismail Hashim

ALOR SETAR, 21 Feb (Hrkh)-UMNOlah pihak yang bertangungjawab menggagalkan pertemuan PAS-Umno yang dijadualkan berlaku pada 19 Februari lalu kerana gagal memberi jaminan untuk mengembalikan status quo kepada PAS sebelum pertemuan berlangsung.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengganggap tindakan Umno itu merupakan penyebab kepada gagalnya perbincangan itu diadakan bagi menyelesaikan 'apa sahaja topik' bagi kepentingan nasional.

Ketuanya, Haji Mahfuz Omar berkata, PAS tidak pernah berniat untuk menggagalkan pertemuan itu malah dalam Mesyuarat Lajnah Politik PAS yang beliau juga turut serta mempertegaskan usaha-usaha untuk mengatur pertemuan itu mesti diteruskan.

Menurutnya, dengan perkembangan yang berlaku membuktikan Umno masih mengamalkan politik perkauman sempit, balas dendam, tidak menghormati keputusan rakyat,menutup kebebasan bersuara dan bertindak agresif terhadap pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berucap demikian dalam majlis ceramah khas di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Pokok Sena untuk menjelaskan kenapa pertemuan itu ditangguhkan.

Katanya, perbincangan yang PAS mahu adalah untuk kepentingan nasional itu telah ditangguhkan ekoran Umno gagal untuk memberi jaminan untuk memberikan semula royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu yang mereka sedia nikmati sejak 1978.

Dua lagi prasyarat yang PAS kemukakan sebelum perbincangan boleh berlaku iaitu kembalikan Harakah kepada lapan kali sebulan dan jaminan kerajaan tidak akan membuang nama Islam pada parti-parti politik juga tidak dapat jaminan dari Umno.

Beliau juga sempat menceritakan helah Jawatankuasa Teknikal Umno yang mengatakan apa yang diminta oleh PAS adalah antara PAS kerajaan sedangkan pertemuan itu adalah antara PAS dan Umno.

Seorang wakil Jawatankuasa Teknikal PAS, Dato' Hishamuddin Yahaya lantas mempersoalkan tentang penggunaan kereta-kereta kerajaan oleh Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob sedangkan pertemuan itu adalah antara PAS dan Umno.