4,278 Perhimpunan Barisan Nasional Tanpa Permit ?

Menurut laporan Berita Harian pada 21 Februari 2001, Timbalan Ketua Polis Negara - Datuk Kamil Johari telah memberitahu bahawa pihak Polis telah mengeluarkan 4,732 permit perhimpunan bagi seluruh negara dalam tahun 2000. Dari jumlah itu 3,900 adalah untuk parti-parti Barisan Alternatif dan NGO-NGO.

Maka dengan itu hanya 832 adalah permit untuk parti-parti Barisan Nasional. Walau bagaimanapun sekiranyanya diperhatikan sepanjang tahun 2000 saya yakin Barisan Nasional telah menganjurkan lebih dari 832 perhimpunan. Setiap hari berpuluh perhimpunan Barisan Nasional diadakan seperti lawatan Menteri atau Timbalan Menteri, majlis-majlis perasmian, program turun bersama rakyat dan lain-lain.

Sekiranya bagi satu hari terdapat 1 program Barisan Nasional bagi setiap Negeri maka bagi satu tahun akan terdapat 5110 perhimpunan. Dan sekiranya pihak Polis hanya telah mengeluarkan hanya 832 permit untuk mereka maka terdapat 4278 perhimpunan Barisan Nasional tanpa permit ! Atau telah terdapat 4278 perhimpunan haram !

Tetapi mengapakah tidak ada tangkapan, gas pemedih mata atau pancutan air seperti yang pernah berlaku di Jalan Kebun, Sabak Bernam atau Kubang Pasu ?

Berhubung dengan kenyataan Datuk Kamil bahawa hanya 278 permohonan ditolak di seluruh negara - ini tidaklah memeranjatkan kerana terdapat balai-balai Polis daerah yang menasihatkan parti-parti politik Barisan Alternatif supaya tidak membuat permohonan untuk mengadakan ceramah umum atau perhimpunan kerana ianya akan ditolak. Rupa-rupanya nasihat ini mempunyai muslihatnya tersendiri iaitu untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa jumlah permohonan yang ditolak adalah sedikit berbanding dengan jumlah yang diluluskan.


Iskandar Abdul Samad
Setiausaha PAS
Kawasan Ampang Jaya
Selangor Darul Ehsan
28 Zulkaedah 1421 / 22 Februari 2001