KENYATAAN AKHBAR :

Campurtangan Daim Zainuddin Dalam Urusan RHB Bank Berhad, Bank Utama Berhad, EON Bank Berhad Dan Kumpulan Arab-Malaysian

Majalah Far Eastern Economic Review (FEER) bertarikh 22 Februari 2001 telah mendedahkan campur tangan Menteri Kewangan Daim Zainuddin dalam urusan empat buah bank utama negara iaitu RHB Bank Berhad, Bank Utama Berhad, EON Bank Berhad dan Kumpulan Arab-Malaysian. FEER menjelaskan bahawa di sebalik tabir gabungan bank-bank yang dikatakan bermatlamat memperkuatkan lagi struktur sistem kewangan negara, rupa-rupanya terdapat pihak yang menangguk di air keruh dan cuba mengambil kesempatan untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni masing-masing.

Daim Zainuddin sebenarnya sedang berusaha memperkasakan empayar kewangannya yang dibina daripada hasil rasuah dan pengalaman kronisme yang berleluasa. Daim berhasrat untuk menguasai kesemua bank-bank besar di negara ini secara peribadi. Proksi-proksi Daim sedang bergiat cergas untuk memaksa para pengusaha bank di Malaysia menjual kepunyaan mereka kepada syarikat-syarikat yang dikuasai oleh Daim dan kuncu-kuncunya.

Jika niat jahat Daim ini berjaya, beliau, keluarga dan kuncu-kuncunya akan menguasai aset rakyat sejumlah antara RM 120 hingga RM 202 billion, iaitu RM 5500 hingga RM 9200 bagi setiap rakyat, lelaki, wanita dan kanak-kanak yang hidup di tanah air kita ini!

Pergerakan Pemuda KeADILan khuatir bahawa rakyat khususnya para pelanggan bank-bank di kalangan rakyat biasa dan peniaga kecil akan menerima layanan yang lebih buruk akibat penumpuan bank-bank tersebut menjadi suatu mega-bank yang tidak lagi mengambil endah kehendak dan keperluan pelanggan kecil dan sederhana. Dengan penguasaan Daim ke atas bank-bank utama ini juga, ramai pekerja bank akan dibuang kerja kerana Daim berhasrat menjalankan konsolidasi dan menutup banyak cawangan-cawangan.

Rekod peribadi Daim Zainuddin adalah amat buruk sekali. Kekayaan yang beliau miliki bukannya hasil penat jerihnya tetapi terbina atas timbunan rasuah dan salah guna kuasa yang cukup melampau. Pergerakan Pemuda KeADILan telah berkali-kali menuntut agar pihak polis dan BPR menyiasat tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas Daim, malah kami turut menyertakan bukti-buktinya.

Tetapi Daim berjaya memeras dan menindas para pegawai penyiasat hinggakan mereka kecut perut untuk bertindak, ditambah pula dengan penindasan dan campurtangan kawan baik Daim iaitu Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad.

Kini Daim berusaha pula menakluk sistem kewangan negara demi kepentingan peribadinya. Pergerakan Pemuda KeADILan menuntut agar BPR segera menyiasat tuduhan yang dibuat oleh FEER itu. Jika ianya benar, maka amat wajar Daim digugurkan sebagai menteri dan dihadapkan ke muka mahkamah atas dasar rasuah dan campur tangan secara tidak sah dalam urusan bank-bank tersebut.

Kami juga menggesa Kesatuan Pekerja yang terlibat dalam menjaga kebajikan pekerja-pekerja industri perbankan, beserta dengan persatuan-persatuan pengguna yang prihatin, menyertai kami dalam protes terhadap niat jijik Daim Zainuddin ini!

Mohamad Ezam M Nor
Ketua Pemuda
Parti KeADILan Nasional
20 Februari 2001