Nama Program : Hari Kesedaran Peneroka Bandar (Setinggan ) Selangor.

Anjuran : Lajnah Peneroka Bandar Dan Pekerja PAS Negeri Selangor.

Tarikh : Ahad - 11 Mac 2001

Masa : 8.30 pagi hingga 2.00 petang.

Tempat : Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak.

Persamian Oleh : YB Haji Mohammad Sabu - Pengerusi Lajnah Buruh Dan Setinggan PAS Pusat.

Kertas-Kertas Kerja Yang Akan Dibentangkan :

1. Hak-Hak Peneroka Bandar Dari Perspektif Undang-Undang - Sdra Hanifa Maidin
2. Pembelaan Peneroka Bandar : Satu Kisah Benar - Sebuah NGO

Turut Akan Diadakan Dialog Dengan ADUN-ADUN Barisan Alternatif Selangor. Kami juga menjemput Dato' Mokhtar Dahalan - EXCO Negeri Selangor bertanggung-jawab ke atas setinggan.

"PROGRAM INI ADALAH TERBUKA KEPADA SEMUA BANGSA DAN PERCUMA"

Pihak kami berharap agar program ini dapat memberi kesedaran kepada para peneroka bandar akan hak-hak mereka. Selama ini ramai yang telah tertipu atau ditakut-takutkan oleh para pemaju atau majlis-majlis tempatan ( kerajaan tempatan ) oleh kerana mereka kurang pasti akan hak-hak mereka. Ramai yang dihalau dari rumah-rumah mereka dengan kekerasan dan tanpa sebarang pampasan.

Terdapat yang ditipu oleh pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan. Mereka ini tidak menubuhkan jawatankuasa penduduk tetapi menyerahkan perundingan dengan pemaju kepada UMNO-UMNO Cawangan. Akhirnya pampasan yang diberikan melalui UMNO tidak sampai kepada mereka. Mereka hanya mendapat sebahagian kecil dan yang selebihnya disapu oleh pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan.

Kerajaan Negeri Selangor hendak menuju kepada matlamat "Setinggan Sifar 2005". Tetapi dimanakah perancangan yang bersepadu mereka ke arah matlamat ini ? Masih ramai yang menunggu rumah-rumah kos rendah mereka. Ada yang menunggu di rumah-rumah panjang sementara lebih dari 15 tahun. Dengan itu tidak mungkin dapat menyelesaikan masaalah dalam masa 4 tahun.

Menyelesaikan masaalah tidaklah bermakna meroboh-robohkan penempatan-penempatan peneroka bandar atau membakarnya. Penyelesaian hendaklah adil dan bukan sahaja berat sebelah kepada pemaju.

Buat masa ini tidak ada keseragaman dari segi pampasan. Ada yang dapat beribu-ribu ringgit dan ada yang dihalau sehelai sepinggang keluar dari kampung mereka apabila rumah mereka terbakar.

Di zaman Dato' Harun menjadi MB Selangor mereka digalakkan untuk berhijrah ke bandar. Tetapi di zaman Dr. Khir mereka dihalau balik ke kampung. Bukankah para peneroka bandar telah menyumbang kepada pembangunan negara dengan menjadi tenaga kerja kepada kilang-kilang di samping menyumbang di dalam sektor komersil dan awam yang lain ?

Adalah diharapkan agar Hari Kesedaran Peneroka Bandar ini akan dapat mendidik para peneroka akan cara yang paling baik untuk mendapatkan hak mereka. Kami berharap wakil dari Kerajaan Negeri Selangor akan hadir untuk menjawab soalan-soalan dari para peneroka.


ISKANDAR ABDUL SAMAD
PENGERUSI
LAJNAH PENEROKA BANDAR DAN PEKERJA
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR
25 Februari 2001
Tel : 03-61857536 / 03-42516057 / 019-3840754 / 03-9812678 ( Niza )
E-Mail : pas_ampang@hotmail.com