PAS saman TV3 RM100 juta

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - PAS akan memfailkan writ saman terhadap Sistem Televisyen Malaysia Sdn Bhd (TV3) dan menuntut sebanyak RM100 juta berhubung laporan tidak benar menerusi siaran Buletin Utama pada 20 Februari lalu.

Plaintif adalah Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Isa manakala pihak defenden dalam kes ini adalah penerbit siaran Buletin Utama berkenaan, pengarah urusannya, dan syarikat Sistem Televisyen Malaysia Berhad pemilik TV3.

Menurut Nasharuddin, PAS mengambil keputusan menyaman TV3 disebabkan apa yang didakwanya adalah satu pembohongan apabila mereka menyatakan bahawa PAS menghantar surat (penangguhan isu perpaduan nasional) dengan meletakkan surat itu di bawah pintu pejabat Setiausaha Agung Umno sahaja.

Katanya, surat itu diserahkan kepada pegawai yang bernama 'Suzi' dan dicop dengan cop Umno sebagai tanda penerimaan rasmi daripada Umno.

"Pas mempunyai bukti yang jelas berhubung penyerahan surat tersebut," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili PAS, Muhamad Hanipa Maiden berkata, notis saman akan diserah kepada pihak defenden pada minggu ini juga.

Selain itu jelas Hanipa, PAS meminta TV3 memohon maaf mengenai kes pembohongan mereka menerusi siaran Buletin Utama.