PERTEMUAN MELAYU: YANG MEMBELIT DAN YANG TERBELIT

Nampaknya keghairahan Umno untuk bertemu dengan Pas masih belum reda, sekalipun syarat-syarat yang dikemukakan oleh parti Islam itu terutama yang terbaru dirasakan mustahil untuk diterima oleh Umno. Umno pun memang sudah pun memperkatakan bahawa ia tidak dapat melaksanakan tuntutan Pas itu. Kata Dr.Mahathir beliau sedia bertemu bila-bila masa dan atas apa tajuk sekalipun. Cuma jangan letakkan syarat, khususnya jangan minta duit, di mana kata-katanya itu merujuk kepada permasalahan wang royalti minyak Petronas kepada Terenganu yang kini bertukar menjadi wang ihsan. Mengapa Umno ingin sangat bertemu dengan Pas? Inilah satu soalan yang sering dikemukakan oleh peminat-peminat politik tanahair.

Seandainya Pas tidak meletakkan syarat-syarat itu, pasti pertemuan itu sudah berlangsung, demikianlah pandangan mass media yang pro Umno. Awang Sulung dalam kolumnya di Mingguan Malaysia (25/2) menyifatkan Dato’Fadhil tersalah baca penerimaan di peringkat akar umbi. Kebanyakan ahli Pas menentang pertemuan ini,

.katanya. Tetapi sebelum itu beliau telah pun mengulas tentang kemungkinan Pas bersatu dengan Umno, yang sememangnya menjadi harapan orang-orang Umno akhir-akhir ini bila mereka sedar bahawa Umno sudah pun ditinggalkan orang, khususnya anak-anak muda.       

Soalnya pertemuan itu bakal berlangsung atau tidak, Umno sudah pun mendapat laba dari isu ini. Sebaik sahaja Pas bersetuju dan kemudian Pas pula menangguhkannya, Umno telah pun memainkan sikap putar belitnya. “Umno bukan kerajaan, kita bercakap dengan parti, bukan dengan kerajaan,” demikian ulasan pucuk pimpinan Umno sewaktu Pas mengemukakan syarat supaya wang royalti dikembalikan kepada kerajaan Terengganu dan Harakah diterbitkan dua kali seminggu seperti dahulu. Sedangkan kita tahu orang-orang Umno adalah orang-orang kerajaan dan Umno adalah tulang belakang Barisan Nasional. Inilah sikap putar belit Umno.

Prof. Syed Hussein Alatas pula mengulas panjang lebar tentang perlunya muzakarah Pas dan Umno (Mingguan M’sia,25/2). Menurut Profesor yang condong kepada faham sosialis itu syarat tidak perlu dalam pertemuan ini. Nabi sendiri pun dalam Perjanjian Hudaibiah tidak meletakkan apa-apa syarat kepada kaum jahiliah.Yang meletakkan syarat adalah pihak jahiliah melalui wakilnya Suhail bin Amir, jelas beliau. Ertinya di sini Umno bersetuju bertemu dengan Pas asalkan Pas tidak meletakkan apa-apa syarat. Pucuk impinan Umno juga berpendapat sedemikian. Tetapi apa yang jelas ialah ia adalah satu jerat kepada Pas. Jika Pas menggugurkan syarat-syarat berkenaan, maka mudahlah bagi Umno untuk bertemu Pas. Dari situ Umno mungkin akan mendabik dada bahawa merekalah juara perpaduan Melayu. Samada Pas bersetuju untuk menyertai BN atau tidak, itu adalah satu soal yang lain. Apa yang penting Umno akan dapat meraih seberapa banyak keuntungan-keuntungan politik hasil dari pertemuan itu. Jika seandainya Pas tidak menyertai BN, Umno akan mencanangkan ke seluruh dunia bahawa Pas-lah yang menjadi dalang kepada perpecahan Melayu.

Inilah di antara putar belit Umno. Dan yang tersilap langkah ialah Pas. Kalau pertemuan itu tidak berlaku Pas juga yang akan dipersalahkan. Pas mungkin dituduh sebagai pengkhianat bangsa, memecah-belahkan kaum Melayu dan menuduh Umno dan orang-orangnya kafir dan murtad. Isu ini sudah pun dimainkan oleh media massa pro Umno dengan menyentuh apa yang dipanggil mereka sebagai Amanat Haji Hadi. Sudah acapkali amanat ini dimainkan khususnya menjelang  Pemilu 99 dan ketika drama Sauk sedang berlangsung. Demikianlah Umno walaupun Ustaz Fadhil merasakan lebih mudah berunding “dengan orang yang kita tidak percaya’ dari orang yang kita percaya. Apa yang nyata kini ialah Pas sudah pun terperangkap dengan isu pertemuan Melayu ini. Persetujuan Pas untuk bersemuka menyebabkan Pas terperangkap, yang oleh ahli-ahli Pas dianggap itu adalah kesederhanaan Dato’ Presiden Pas. Keadaan ini menyebabkan Pas sudah pun berada dalam dilemanya sendiri. Jika Pas bersetuju dan tidak menganggotai BN Pas akan dipersalahkan kerana tidak berminat ke atas penyatuan bangsa , manakala jika tidak bersetuju Pas juga dipersalahkan kerana menggagalkan usaha perpaduan Melayu.

Begitulah Pas yang sudah pun masuk ke satu perangkap yang di pasang oleh Umno yang memang terkenal dengan  putar belit dan janji palsunya itu. Dan Umno sudah pun boleh mentertawakan Pas dalam isu ini. Pas haruslah merenung hal ini semasak mungkin. Ingatan AlQuran supaya jangan condong kepada mereka yang berbuat zalim hendaklah diperhatikan betul-betul sebelum membuat keputusan sedia berbincang dengan Umno yang merupakan musuh tradisi Pas. Samada ada muslihat lain atau pun tidak, Umno telah pun berjaya membelit Pas dalam soal ini. Dan yang terbelit adalah Pas.

AlKundangi,
26.2.2001