Belanja alat tulis pejabat sultan RM251,000

KOTA BHARU, 27 Feb (Hrkh) - Peruntukan tambahan sebanyak RM692,000 dimohon Pejabat Sultan, yang dimasukkan ke dalam Enakmen Perbekalan Tambahan Yang Kedua (2000) Tahun 2001 dipertikaikan ramai anggota Dewan Undangan Negeri.

Wakil rakyat Kelaboran, Haji Nordin Yaakub melahirkan rasa tidak puas hati terhadap permohonan tambahan tersebut, yang begitu banyak berbanding jabatan-jabatan lain.

Peruntukan tambahan tersebut termasuk untuk menjelaskan bil air dan elektrik sebanyak RM113,000, perbelanjaan minyak kenderaan (RM248,000), imbuhan dan gaji (RM78,000) dan pembelian alat tulis (RM251,000).

"Peruntukan yang dimohon tersebut adalah tambahan daripada RM3.68 juta yang diperuntukan untuk pejabat Sultan tahun 2000," katanya ketika mengambil bahagian berbahas rang undang-undang perbekalan tambahan di persidangan Dun di sini, semalam.

Menurutnya, peruntukan bagi pejabat sultan bagi tahun 1999 sebanyak RM3.56 juta. Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa hairan terhadap jumlah belanja begitu banyak digunakan pejabat Sultan.

"Sedangkan wakil rakyat memohon untuk menambahkan peruntukan bagi faedah rakyat sebanyak RM10,000 pun sukar untuk diluluskan.

"Kita seharusnya ingat duit yang digunakan kerajaan negeri adalah dipunggut dari cukai rakyat. Oleh itu, kita perlu lebih prihatin membelanjakan dengan berhemah," katanya.

Beliau juga mendedahkan sindrom kehilangan fail-fail permohonan tanah oleh rakyat berlaku di sesetengah pejabat tanah dan jajahan di negeri ini.

Menurutnya, apabila diminta oleh jawatankuasa tanah peringkat jajahan, pihak yang menerima permohonan rakyat tidak dapat mengemukakan fail dimaksudkan.

"Mungkinkah ada hantu-hantu raya yang menyebabkan fail-fail permohonan tanah rakyat hilang," tambahnya.

Haji Nordin yang baru pulih dari keuzuran turut mendedahkan rakyat merunggut kerana sukar untuk bertemu dengan ketua-ketua jajahan tertentu.

Katanya, ketua jajahan sering tiada di pejabat dan sukar untuk rakyat dan pelbagai pihak yang datang untuk berurusan.

"Sepatutnya ketua jajahan tidak perlu hadir dalam semua mesyuarat membabitkan dirinya dan dia boleh mewakilkan kepada penolong-penolongnya untuk hadir pada mesyuarat tertentu.

"Sekiranya semua perkara mahu dilakukan ketua jajahan sudah tentu fail kerja di pejabat semakin meningkat," katanya.

Adun Guchil, Ustaz Zulkefli Yaakob turut melahirkan rasa hairan terhadap penggunaan wang kerajaan yang begitu banyak oleh Pejabat Sultan sehingga terpaksa memohonan peruntukan tambahan dari kerajaan negeri.

Beliau turut meluahkan tidak senang hati terhadap sesetengah pegawai kerajaan negeri yang tidak mematuhi arahan kerajaan negeri.

"Saya melahirkan rasa kesal terhadap sesetengah pegawai kerajaan yang tidak boleh menerima hakikat kerajaan yang ada sekarang melaksanakan dasar Membangun Bersama Islam.

"Oleh itu, bagi pegawai yang tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik, mereka boleh membuat permohonan untuk berhenti.

"Apa kesalahan yang dibuat kerajaan negeri sekarang sehingga mereka sanggup melanggarinya," kata beliau.

Menurut Ustaz Zulkefli, sekiranya ketua jajahan tidak mampu untuk menonjolkan perbuatan baik, macam mana pegawai bawahan lain boleh menjadikannya contoh sebagai model kepemimpinan.

Adun Melor, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh mendedahkan ada kakitangan jabatan tertentu sanggup menjual pelan kawasan balak sehingga tiga kali kepada orang yang berlainan.

Menurutnya, perkara itu didedahkan oleh mereka yang biasa berurusan dengan jabatan tersebut. "Apabila diminta supaya mengenengahkan perkara itu, orang terbabit enggan dengan menjawab dia perlu berurusan lagi dengan jabatan berkenaan," katanya.

Menurutnya, tindak tanduk segelintir kakitangan dan pegawai menjejaskan reputasi kerajaan negeri.

Wakil rakyat Bukit Tuku, Ustaz Yusof Abdullah turut melahirkan rasa tidak senang terhadap pegawai kerajaan yang tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik sebagaimana diamanahkan.

"Mereka diibaratkan sebagai kemuncup yang mencucuk betis-betis pemimpin kerajaan negeri," katanya.

Wakil Rakyat Pulai Chondong, Haji Zulkefli Mamat mencadangkan penstrukturan semula dilakukan terhadap Pejabat Tanah dan Jajahan untuk membolehkan unit-unit tertentu diberi kuasa untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, tanggungjawab yang dipegang oleh ketua jajahan perlu diperturunkan kepada pegawai-pegawai lain untuk membolehkan masalah rakyat diselesaikan dalam tempoh singkat.