MGG   5201

Senarai  Hitam di  Internet 
(Blacklist On  The  Net)

Janji Jabatan Pengangkutan  Jalan untuk menyediakan  satu sistem, sebelum  Jun ini, agar para  pemandu boleh memeriksa senarai khas; sama ada  mereka  masih mempunyai saman tertunggak  yang perlu dibayar  membuatkan para  pemandu berada dalam keadaan bercelaru. Bayangkanlah bagaimana bercelarunya  para  pemandu apabila  diarahkan  membayar saman dengan  kad  kredit  “melalui  khidmat e-Pay” sedangkan  tidak ada sesiapa  yang arif menerangkan  makna ‘e-Pay’  itu.  JPJ  beranggapan semua  orang faham  istilah itu. Rakyat  marhaen  perlu  menyemak  senarai hitam  itu dengan  mengakses laman web kementerian  di  www.jpj.gov.my  dan  membayar  saman  yang dikenakan. Kalau anda  mahu mencabar  saman itu kenalah pergi sendiri ke balai polis  untuk menyelesaikannya ataupun untuk merayu  agar  saman  itu dikurangkan. Ketua  Pengarah  nampaknya  sengaja mahu nama  dalam  menyarankan  rakyat  marhaen menggunakan  skim terbaru  itu dalam cara mengeluarkan  wang mereka  sambil  mendapat penyakit pening kepala.

Demikianlah caranya  setiap kali kerajaan  cuba  memperketatkan khidmat  sesuatu  agensi kerajaan  itu. Inilah  hakikatnya apa yang sedang  berlegar dalam Darulboleh. Seperti juga cara   kerajaan  menonjolkan  ‘Multimedia Super Corridor’. Dalam  hal ini JPJ beranggapan  bahawa  setiap  rakyat  marhaen  yang memandu kereta  mempunyai sebuah komputer peribadi dan  juga  akaun  internet.   Kalau  anda seorang  pemandu yang tidak mempunyai  komputer  bererti  anda  terpaksa  mengharungi  segala masalah sengaja dicetuskan oleh  JPJ  dan polis  berkaitan  dengan saman yang tidak berbayar.

Seandainya anda  mempunyai sebuah komputer  dan mempunyai sebab kenapa  saman yang dikenakan itu adalah sesuatu  yang tidak betul, anda  masih tidak bernasib baik juga. Anda  perlu bayar saman  yang ditentukan itu dulu yang  selalunya bernilai maksimum RM300 ataupun anda  akan disekat  untuk memperbaharui lesen  pemandu (ataupun cukai jalan kereta)   anda. Sedangkan   mahkamah  telah  mengisytiharkan  bahawa saman lalu lintas yang  tertunggak  tidak boleh menjadi  penghalang kepada usaha  pemandu untuk memperbaharui  lesen  kenderaan   mereka. Kalau anda  mempunyai lebih daripada satu kereta, semuanya  itu pun boleh disenarai-hitamkan. Sehingga  dekad  yang  lalu, saman lalu lintas yang  tertunggak tidak  menghalang  sesiapa  untuk memperbaharui  lesen kenderaan (cukai jalan)   mereka, sambil kes  itu terus  diproses  oleh mahkamah.

Keadaan  sudah berubah, kini. Selagi  saman anda  tidak dibayar  di balai polis selagi itulah  cukai jalan  kereta tidak boleh diperbaharui. Kalau pihak  polis mengenakan saman lalu lintas, anda  adalah bersalah seperti  yang dituduh. Hak  untuk  memandu kereta  itu akan digantung  sehinggalah  mahkamah  bersidang mendengar  kes anda  beberapa tahun kemudiannya.  Kalau anda  berjaya  mempengaruhi mahkamah dengan alasan yang anda berikan  itu, bolehlah  lesen anda  itu diperbaharui tetapi  ini tidak  bermakna  anda akan mampu memperbaharuinya  di tahun  yang akan datang. Anda  akan dianggap masih bersalah  mengikut  tuduhan  yang dikenakan.

Apakah   skim  yang baru dirancang  itu berjaya  dilaksanakan  seperti janji-janji  yang dihamburkan?  Masih ingatkah anda lagi akan fiasko  lampu brek  kereta  nombor tiga  dulu ? Menteri  pengangkutan  jalan pernah  berkata  bahawa  tarikh penguatkuasaan pemasangan brek ketiga itu tidak akan dilanjutkan. Tetapi, ia dilanjutkan juga.  Kini, bas ekspress dan bas pelancongan  dimestikan memasang meter pengesan  kelajuan  sebelum bulan September. Setiap pengesan itu  berharga  RM1,000 dan dikatakan untuk kebaikan dan keselamatan  para penumpang. Mungkin juga ada  kroni yang akan meraih keuntungan besar dalam perkara  itu. Seperti juga  tarikh tamat  senarai hitam  yang  dijadualkan pada Jun ini. Sudah pasti ia akan dilanjutkan lagi. Inilah bahananya apabila sesuatu rancangan itu tidak difikirkan masak-masak dan diuji dulu  sama ada  boleh dilaksanakan. Ketua Pengarah  JPJ  sengaja mahu namanya tersohor  dengan  pengumuman  rancangan itu sehingga naik ghairah mengumumkannya. Walaupun ia mampu muncul  online seperti yang dijanjikannya pada  Jun nanti,  ia masih merupakan  satu sistem yang banyak cacat celanya.

Mungkin juga sistem itu dapat berjalan  licin untuk satu, dua  tahun. Kemudian timbullah masalah. Mungkin ada   anggota  polis  yang tidak  cekap mengendalikan komputer, tidak ada sesiapa  lagi yang akan  mengambil kisah sistem itu. Akan terperuklah nanti segala kelengkapan  yang ada  menjadi satu monuman lagi kepada  rancangan  negara. Begitulah juga kisahnya dengan sikap melengahkan dan sambil lewa yang terdapat  dalam perkhidmatan awam yang memudaratkan masyarakat kita.  Kalau rakyat marhaen  boleh membayar saman menerusi  online, seperti yang dijanjikan oleh Dato’ Shahrar  itu, ia akan mengurangkan wang sogokan  yang  selalunya  tidak mudah  dihakiskan. Apabila  kita cuba merundingkan agar kadar saman dikurangkan, di sebalik rundingan  itu tersorok  satu kemestian menyogok  sesiapa  yang mengurangkan kadar itu.  Itulah sebabnya  dalam Darulboleh setiap saman mesti mengenakan  denda  yang maksimum. Di sinilah  letaknya  muslihat denda  yang tinggi itu. JPJ  memang terkenal  sebagai satu agensi yang amat leceh perkhidmatannya. Agensi itu terpaksa  mengusahakan satu  kempen  untuk mencari  pemegang  lesen haram. Kini, ia menjanjikan  satu sistem tercanggih di dunia untuk membolehkan anda menyiasat apakah nama anda disenarai-hitamkan. Tetapi, rencana  ini memerlukan satu sistem interaksi yang rapat  di antara polis  dan  JPJ.   Ia semacam satu situasi bagaimana Presiden George Bush  menelefon  Presiden Kim Jong Il  untuk  berbincang dan beromong kosong semata-mata.

-MGG  Pillai- 
pillai@mgg.pc.my
 
Ahad 25 Feb. 2001.

Terjemahan MT