Persidangan UMNO Membenci Orang Asing
(Harakah 01-15 July 01: Malay Xenophobia at the UMNO Meet)

Persidangan UMNO yang berlangsung selama tiga hari pada 20-23 Jun yang lalu, menampakkan sekali lagi kepintaran Perdana Menteri, Dr. Mahathir memukau para perwakilan, yang turun untuk diceriakan, disakat oleh para pemimpin mereka, dan diberitahu betapa mereka gagal memenuhi agenda kebangsaan untuk memuaskan hati Perdana Menteri mengenai kejayaan mereka. Memang tidak ada yang perlu dibincangkan selama tiga hari itu. Walaupun berlaku satu peristiwa dramatik membabitkan pengunduran bendahari parti yang memegang jawatan selama 17 tahun, dan melepaskannya hanya tiga minggu sebelum perwakilan berhimpun. Perkara itu tidakpun diungkitkan, apalagi perkara yang lain-lain.

Dr. Mahathir telah menjadikan perhimpunan tahunan UMNO itu sebagai majlis istimewa putar-belitnya. Selepas menguasai parti selama 20 tahun, sudah tentu dia pakar menaikkan semangat para perwakilan untuk membenci orang asing. Dia memberitahu mereka apa yang mereka suka dengar sedangkan tidak ada satu pun mesej ucapannya itu yang laku untuk dipakai. Itulah caranya tahun demi tahun. Dia berucap kepada persidangan untuk memukau mereka agar terus memberikan sokongan kepadanya.

Semua perdebatan adalah lakonan yang mengikut skrip yang disediakan. Para pendebat dipilih kerana keupayaan mereka untuk menghiburkan dan menjadikan tajuk perbualan harian menjadi isu perdebatan, untuk menceriakan para perwakilan agar mereka pulang dengan hati yang gembira betapa semua perkara hidup ini ditangani dengan sempurna. Setiap kali suasan bertukar menjadi mencabar, seperti yang berlaku di awal tahun ini, dia akan melencongkan perhatian semua dengan cara menyerang orang asing dan kaum Cina dan juga India. Xenophobia ialah sejenis penyakit membenci orang asing yang sudah dijadikan satu pilihan alternatif oleh Mahathir untuk menjentik perasaan orang Melayu agar mereka bangkit dengan marah secara melulu. Persidangan UMNO yang terbaru memang tidak dikecualikan daripada jangkitan wabak itu.

Pergerakan Pemuda UMNO telah bersuara lantang mahu dihentikan rencana membina sekolah Tamil dan Cina. Perdana Menteri yang merangkap Presiden UMNO cuba menafikannya. Pada waktu yang sama dia mengipas bara xenopohbhia dengan menyerang akhbar-akhbar Cina kerana menyebabkan kekalahan Barisan Nasional di Lunas pada pilihanraya kecil yang lalu. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato’ Seri Abdullah Badawi memberitahu bagaimana kementeriannya memantau semua akhbar. Kalau ada yang melanggari undang-undang, para pengarang akhbar dipanggil untuk diberikan amaran.

Ketika Mahathir menghentam akhbar-akhbar Cina itu, ia bukannya sebarangan hentaman. Ia memang bertujuan untuk menaikkan kemarahan para perwakilan untuk mempercayainya bahawa kekalahan BN di Lunas dulu adalah disebabkan oleh akhbar-akhbar Cina. Sebenarnya kekalahan itu disebabkan UMNO gagal mendapatkan sokongan pengundi Melayu. Pemimpin pergerakan Pemuda UMNO, Hishamuddin Hussein, merupakan ketua yang bertanggungjawab dengan kempen BN ketika itu. Dia ‘bungkus’ lari di pertengahan kempen untuk memenuhi agenda percutian yang lebih penting lagi untuk keluarganya di luar negara.

Keangkuhan UMNO yang digambarkan oleh puluhan Mercedes Benz, dan BMW yang ditayangkan di Lunas, disulitkan lagi oleh kesilapan besar memilih calon. Apatah lagi dengan kegagalan menandingi usaha kempen pihak lawan, telah menyebabkan kekalahan itu. Undi orang Cina memang penting tetapi tidaklah sepenting undi orang Melayu. Apabila UMNO gagal mendapatkan undi orang Melayu, mereka kantul dengan pertempuran politik di situ. Jika tidak, dan seandainya pengundi Cina tidak memulaukan mereka, segala aduan Perdana Menteri itu tidak akan begitu berbisa.

Hakikatnya kini, setiap kali undi Melayu menjadi undi penentu kepada UMNO, akan muncullah masalah penyakit xenophobia. Itu sebabnya Mahathir menyerang akhbar Cina. Tidak pula dia memberitahu kenapa dia diam membisu ketika akhbar Cina berperangai songsang, dulu. Malahan, kalau betullah mereka berlagak begitu, sudah tentu kerajaannya yang bertindak dulu. Tidak pula berlaku perkara itu. Ini membayangkan betapa cadangan Perdana Menteri itu terhadap Nanyang Siang Pau dan China Press adalah gambaran betapa dahsyatnya gelagat orang Cina apabila mereka suka dan apabila tiba masanya.

Tidak ada sesiapapun yang bercakap mengenai masalah UMNO dan kenapa keangkuhannya selama ini yang sedang diserang oleh rakyat marhaen bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu malahan daripada semua lapisan rakyatnya. PAS diserang kerana mendekati rakyat marhaen dan bermesraan dengan masyarakat Melayu. UMNO memang kerap bercadang mendekati akar umbi untuk memerangi cabaran yang semakin membesar terhadap ketuanannya.

Ramai di kalangan barisan pemidato yang diperlukan untuk menjawab pelbagai kempen pembangkang. PAS telah dicemuh kerana pandangannya terhadap ajaran Islam, yang mengikut Mahathir bukannya amalan Islam sebenarnya kerana PAS menutup pintu hatinya terhadap pembangunan. Tetapi, selagi pemimpi UMNO berdegil untuk bergaya dengan Mercedez mereka di majlis ceramah di kampung yang terpinggir sedangkan orang PAS terus selesa berbasikal sahaja, sokongan Cina yang bertambahpun tidak akan mampu menyelamatkan mereka semua.

Daripada membincangkan masalah ini untuk mendapatkan jalan penyelesaiannya, para perwakilan diberitahu betapa orang lain – MCA, MIC, PAS, Keadilan, DAP, orang Cina, India, kumpulan India yang anti-UMNO, Dato Seri Anwar Ibrahim - semuanya makhluk dan kumpulan ini mahukan UMNO dan juga Barisan Nasional kehilangan kuasanya. UMNO adalah yang terunggul daripada kalangan parti komponen BN dan hanya UMNO yang mempunyai kunci hikmat yang memperkasakan segalanya. Semua yang lain adalah anti kebangsaan.

UMNO sudah jauh tersasar daripada matlamatnya. Ada tanggapan haprak bahawa kuasa yang begitu lama di tangan sudah memberikannya satu kuasa kekebalan daripada serangan yang kini mencabarnya. Inilah yang menonjol ketika mantan timbalan perdana menteri Dato Sri Anwar Ibrahim diaibkan, dihenyak dan dilebamkan matanya sehingga beliau kini terpenjara. Inilah yang meletupkan kemarahan rakyat marhaen Melayu apalagi setelah suara mereka diperam, melainkan dalam suasana yang terkawal.

Para pemimpin UMNO yang bertaraf khazanah purbakala mempunyai pelbagai jawapan kepada masalah mereka dan menuduh sesiapa sahaja melainkan diri mereka sendiri. Mereka enggan mengakui betapa merekalah masalahnya. Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sudah ketinggalan zaman. Seolah-olah ada satu semangat berlumba-lumba antara pemimpin UMNO dan Barisan Nasional siapa yang mampu lebih bertahan lama memimpin negara.

Akan tetapi, cucu-cicit kepada para pejuang kemerdekaan dulu sudah begitu tetinggal oleh keadaan hidup yang jauh bezanya dengan keadaan 1955, dulu. Dr. Mahathir adalah ahli UMNO sejak penubuhannya pada 1946. Penyambung kuasanya tidak akan datang daripada golongan yang seangkatan dengannya. Mahathir adalah sebahagian masalah UMNO seperti juga beberapa faktor yang lain. Namun, dia tidak mempercayainya dan UMNO yang sedang dikuasainya tidak akan mendesaknya untuk mundur dan bersara.

Adalah lebih penting untuk Perrdana menteri menyambungkan kepimpinannya daripada melepaskan kuasa, buat kepentingan negara. Cengkamannya yang autokratik memang amat menyeluruh namun dia semakin terpinggir. Tidak ada pun sebarang tanda perubahan itu boleh berlaku. Jadi, xenophobia UMNO akan menjadi satu perkara kelaziman pada tahun tahun yang mendatang. Hubungan kaum akan menjadi satu masalah besar di tahun yang mendatang. UMNO perlu berjuang bermati-matian untuk memperkasakan sokongan akar umbi Melayu. Penyebab utama semua itu sudah tentulah orang lain sahaja. Sindrom menafikan kebenaran inilah yang menyebabkan segala masalah itu terus menggelegak Inilah perkara yang tidak semestinya digembar-gemburkan dengan pujian kita.


MGG Pillai
pillai@mgg.pc.my

Diterjemahkan oleh SPAR-01-025

Jumlah pembaca:orang