Likas: Keadilan Atau PBS?

Di Sabah, suasananya berbeza dengan senario kesedaran politik dengan Semenanjung. Kita melihat kesedaran politik semua masyarakat di Semenanjung tanpa mengira kaum baik orang Melayu, Cina atau India sebagai etnik terbesar di sana, terutama sekali orang Melayu teramat tinggi setelah terpecatnya dan terdakwa serta terpenjaranya DS Anwar Ibrahim. Orang Sabah lambat panas, bukan bermaksud orang Sabah dipeka atau sensitif dengan perubahan semasa. Malah dari segi kepintaran menukar kerajaan mungkin rakyat Sabah boleh diletakkan dalam senarai top ten, kalaupun tidak tersenarai tiga teratas. Bayangkan sejak tahun 1963 hingga 1999 sudah empat atau lima parti bersilih ganti menguasai kerajaan negeri, iaitu USNO/Perikatan (1963-1975), Berjaya/BN (1976-1985), PBS/BN (1985-1990), PBS (1990-1994) dan UMNO/BN (1994-sekarang).

Kembali kita kepada DUN Likas. Siapa calun pembangkang yang lebih serasi dengan DUN Likas, di antara tiga parti pembangkang PBS, PAS dan Keadilan. Walaupun, ketiga-tiga parti ini sudah membuat kenyataan akan meletakkan calon masing-masing dalam pilihanraya kecil DUN Likas, ekoran pembatalan kemenangan calon SAPP/BN Datuk Young Teck Lee oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini.

Sekalipun SPR belum menetapkan bila tarikh penamaan calon untuk DUN Likas. Semua parti pembangkang dan juga kerabat BN Sabah telah membuat percaturan politik. Namun, yang menarik perhatian penulis ialah reaksi gabungan pembangkang dibawah BA (PAS dan Keadilan) di Sabah dan PBS selaku parti pembangkang paling dominan di Sabah, atas sebab PBS merupakan parti pembangkang yang telah pernah berkuasa di Sabah selama empat penggal atau empat kali menang pilihanraya umum negeri Sabah pada 1985, 86, 90 dan 94.

DUN Likas akan menguji kekuatan pembangkang sama ada mampu berhadapan UMNO/BN di Likas. Berdasarkan kenyataan ketiga-tiga parti pembangkang PBS, PAS dan Keadilan, setakat ini keinginan untuk berpakat dalam menghadapi pilihanraya kecil DUN Likas menampakkan suatu yang cukup positif. Walaupun, DAP Sabah yang juga berada di dalam gabungan BA pusat tidak membuat sebarang kenyataan tentang DUN Likas. Kita percaya antara PAS, DAP dan Keadilan di Sabah tidak akan timbul sebarang kerumitan dalam pakatan ini, kerana pakatan dan persefahaman mereka di peringkat pusat cukup kuat. Cuma mungkin sedikit halangan dengan pakatan bersama PBS, atas faktor belum wujudnya jawatankuasa bersama sebagaimana gabungan BA di Semenanjung.

Penulis dapat andaikan daripada fenomena sihat, terbuka dan sederhana yang ditunjukkan oleh semua parti pembangkang ini. Meskipun belum ada satu kenyataan bersama dilakukan. Kenyataan Ketua Penerangan PBS, Encik Henrynus Amin yang mahukan pembangkang berpakat dengan hanya meletakkan seorang calon, inipun sudah merupakan bahawa suara pembangkang teramat-amat mahukan satu pakatan lebih kuat bagi menghadapi UMNO/BN di Likas khususnya dan pada pilihanraya umum negeri 2004 nanti.

Khusus untuk kerusi DUN Likas yang kosong sekarang, penulis melihat prospek lebih baik kepada calon dari Keadilan dan PBS untuk menyaingi calon BN nanti. Di sini pembangkang hendaklah berkompromi, kita ada contoh pakatan yang cukup baik iaitu formula kejayaan pakatan pembangkang di Lunas pada November 2000 lalu. Oleh itu, apabila Keadilan dipilih sebagai calon untuk pilihanraya kecil Likas, parti pembangkang yang hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada calon parti Keadilan. Barisan pimpinan tertinggi semua parti pembangkang hendaklah turun padang, sebagaimana mereka turun ke Lunas berkempen hingga saat-saat akhir sebelum pengundian keesokannya. Semangat inilah kita perlukan untuk memenangkan calon pembangkang di Likas nanti.

Begitulah juga sekiranya calon dari PBS yang dipilih, maka semua pihak dalam pakatan pembangkang hendaklah bekerjasama seerat-eratnya bagi memenangkan calon pembangkang yang telah dipersetujui. Kita yakin dengan adanya sikap, semangat dan keikhlasan dalam pakatan pembangkang tidak mustahil Likas akan jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya kecil DUN Likas ini nanti. Di antara faktor Keadilan wajar diletakkan di Likas dan boleh mencabar calon UMNO/BN serta insya-Allah boleh membawa kemenangan pakatan pembangkang ialah, pertama: Simpati rakyat kepada DS Anwar Ibrahim dan keluarganya, isterinya merupakan pemimpin utama Keadilan disenangi rakyat terutama kaum wanita. Kedua: Keadilan parti pelbagai kaum yang terasnya bumiputera/Melayu. Ketiga: Likas adalah kawasan seimbang dari segi pengundi pelbagai etnik. Keempat: Setakat ini reputasi UMNO Sabah sudah menurun dikalangan pengundi bumiputera Sabah dan lebihi menyakini serta bersimpati kepada Keadilan. Kelima: Keadilan Sabah menjadi saingan kuat kepada UMNO Sabah khususnya. Keenam: Wujudnya hubungan baik secara tidak langsung antara PBS dan Keadilan Sabah. Ketujuh: Tertakluk kepada kesediaan dan keterbukaan PBS untuk membantu berkempen kepada calon Keadilan.

Sementara itu, kelebihan PBS di Likas tidak perlu kita sebutkan secara detail, kerana PBS memang mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri di mana-mana juga kerusi DUN di Sabah. Kerana itu, pada fihrasat penulis faktor kerjasama PBS kepada calon Keadilan, insya-Allah boleh membawa kemenangan yang dihajatkan oleh rakyat atau pengundi Likas serta pakatan pembangkang di Sabah.

Akhirnya, marilah kita sama-sama berganding bahu memenangkan calon pakatan pembangkang di Sabah, sama ada Keadilan atau PBS. Sekian.

  Ibn Sabah,
  30.6.2001

Jumlah pembaca:orang