PROFESOR DR ISHAK SHARI DALAM KENANGAN

Profesor Dr Ishak Shari telah meninggal dunia, pada umur yang agak muda lagi, 53 tahun. Beliau meninggalkan isteri dan lima orang anak. Ishak menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 6.15 pagi Sabtu, 30hb Jun 2001. Beliau didapati menghidap penyakit kanser dan telah dibedah. Setelah pembedahan keadaannya  bertambah buruk sehingga beliau  meninggal  dua minggu selepas itu. Kebetulannya, Ibu dan ayah Ishak  meninggal akibat kanser juga.

Ishak lahir dalam keluarga yang susah. Melalui kerja keras dan cita-cita mulia, beliau  mencapai kedudukan yang tinggi serta dihormati dalam dunia akademik. Beliau mendapat ijazah Sarjana Muda serta Sarjana dari London School of Economics and Political Science (LSE) dan ijazah Kedoktoran (Ph.D) dari Universiti Malaya. Pulang ke tanah air  beliau menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebelum meninggal beliau terkenal dengan jawatannya sebagai Profesor Ekonomi dan Pengarah IKMAS di UKM.

Penglibatan serta minat Ishak bukan dalam bidang akademik saja. Bahkan beliau terlibat dan berminat dalam bidang politik jua. Tidak ramai orang mengetahui bahawa  beliau sudah lama menjadi anggota Parti Rakyat Malaysia (PRM). Bahkan dalam beberapa tahun yang lalu beliau memainkan peranan yang aktif selaku Pengerusi Kongres tahunan PRM. Beliau dihormati sebagai seorang pengerusi yang sangat adil dan cekap.

Saya mula mengenali Ishak di London pada akhir tahun enam puluhan ketika beliau mengikuti ijazah Sarjana dan saya sedang berusaha  menyelesaikan tesis untuk Ph.D. di LSE juga. Selepas pulang dari London, hubungan kami sangat karib. Kami mempunyai kecenderungan yang hampir sama. Satu contoh, beliau telah dipilih untuk menggantikan saya sebagai Presiden Persatuan Sains Sosial (PSSM), apabila perkhidmatan saya tamat.

Sebagai seorang ahli akademik Ishak sentiasa rajin mengajar, menyelidik dan menulis. Beliau sangat cekap menyelaraskan projek penyelidikan atau penulisan. Beliau telah menghasilkan banyak rencana dan beberapa buah buku, secara bersendirian ataupun bersama orang lain, yang dipuji kerana bermutu tinggi. Sebagai tokoh politik, beliau tidak begitu menonjol, akan tetapi peranan yang dimainkan olehnya sangat bermakna dan mempunyai kesan  besar dalam proses perubahan atau sekarang ini lebih terkenal sebagai reformasi.

Ishak seorang yang rendah diri walaupun sering disanjung tinggi. Beliau jujur dengan sahabat taulan dan segala yang dilakukan, dan sentiasa lebih mementingkan kawan-kawan daripada diri sendiri. Komitmen beliau kepada kepentingan rakyat jelata, terutama  yang miskin dan berkedudukan rendah, tidak pernah berbelah bagi. Beliau juga seorang yang sangat bersih serta amanah dalam hidup dan dalam menjalankan tugas. Beliau tidak pernah takut untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Semua orang yang mengenali Ishak sangat-sangat memandang tinggi terhadapnya.

Dengan kembalinya  Ishak, masyarakat bahkan negara  kehilangan seorang tokoh akademik dan juga “aktivis senyap” politik yang disegani. Saya kehilangan seorang sahabat seperjuangan yang sejati dan sangat bernilai tinggi. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas rohnya. Alfatihah.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
1hb Julai 2001