PERPADUAN BA – SIKAP PRM

“Perbahasan” terbuka yang kadang-kadang tidak terkawal antara PAS dengan DAP mengenai Negara Islam sudah berlarutan dan diperbesar oleh media utama milik pemerintah sehingga menguntungkan hanya BN. Dalam keadaan ekonomi dan politik negara semakin merosot dan parti-parti komponen BN, terutama UMNO dan MCA sedang menghadapi krisis serta perpecahan,  kontroversi antara dua parti dalam BA itu memberi peluang kepada para pemimpin BN mengalihkan pandangan rakyat dari masalah mereka sendiri.

Sekiranya isu Negara Islam ditegaskan atau ditentang oleh pihak-pihak tertentu di kalangan parti-parti alternatif dengan tujuan untuk menguatkan dan meluaskan lagi sokongan asas terhadap parti masing-masing, akibatnya kini sama sekali berlainan bahkan sebaliknya. Rakyat yang tidak percaya kepada BN sekarang ini mempunyai perasaan syak pula terhadap kebolehan serta kewibawaan BA untuk memerintah.

Apabila parti-parti dalam BA tidak boleh memperlihatkan perpaduan di kalangan mereka, dan masing-masing terlalu mengutamakan kepentingan parti sendiri dan bukannya gabungan BA, akhirnya sokongan untuk BA dan juga parti-parti di dalamnya akan bertambah merosot.   Sekiranya semua parti BA sedia mengakui bahawa kerosakan telah berlaku, maka mereka mestilah bersedia untuk membaikinya.

Satu cara melakukannya ialah dengan meneruskan pertemuan pimpinan peringkat tertinggi BA untuk berbincang secara intensif mengenai isu negara Islam ini dan segala isu yang boleh menimbulkan masalah. Sebenarnya beberapa pertemuan seumpama ini pernah diadakan. Akan tetapi ia tidak begitu mendalam dan belum memuaskan.   Perbincangan sehari suntuk pada 16 dan 23 Jun baru-baru ini belum berjaya menimbulkan kata sepakat. Sekiranya semua pihak merasakan perlu dan berguna, maka pertemuan seperti ini hendaklah diteruskan sehingga tercapai rumusan yang memuaskan.

Sebelum pilihanraya lalu parti-parti dalam BA telah berjaya mengeluarkan Manifesto Bersama  BA bertajuk “Ke Arah Malaysia Yang Adil”. Memang benar sejak itu senario politik negara banyak berubah dan oleh yang demikian  Manifesto pun perlu dipinda dan dibaiki. Banyak perkara asas dalam Manifesto itu masih baik dan boleh diteruskan. Akan tetapi, kami mengakui bahawa  terdapat kelemahan tentang bahagian mengenai soal agama, budaya dan sebagainya. Sekiranya perbincangan dapat terus diadakan secara mendalam dan jujur di kalangan parti-parti BA, tentu sekali banyak dapat dilakukan untuk memperbaiki Manifesto ini.

Perlu ditegaskan bahawa setiap parti dalam BA telah menerima Manifesto Bersama BA. Manifesto itu tidak menyebut sepatah pun  tentang pembentukan Negara Islam. Bahkan Perlembagaan PAS sendiri pun tidak menyebut tentang pembentukan Negara Islam sebagai matlamatnya. Bahkan boleh dikatakan hampir semua pemimpin PAS menyedari bahawa Negara Islam tidak mungkin  ditegakkan melainkan Perlembagaan Persekutuan dipinda, dan ini memerlukan kemenangan majoriti dua-pertiga oleh PAS dalam pilihanraya. Oleh kerana itu kami kurang faham mengapa soal Negara Islam ini terus-menerus ditimbulkan oleh sesetengah pihak dalam PAS.

Ustaz Abdul Hadi Awang mempunyai cita-cita atau visi untuk menegakkan negara Islam. Saya kira kita semua perlu menghormati hak beliau untuk mempunyai cita-cita atau visi tersebut dan hak Karpal Singh menentangnya. Akan tetapi saya tidak pernah mendengar Hadi menyatakan beliau tidak lagi mahu mendukung apa yang  terkandung dalam Manifesto Bersama itu. Semua parti dalam BA harus merujuk dan berpegang teguh kepada Manifesto ini sekiranya mereka mahu BA berlanjutan, bertambah mantap dan semakin meluas pengaruhnya.

PRM sebenarnya merasa terkilan dengan pendirian yang disuarakan oleh sesetengah pemimpin PAS yang tidak selaras dengan Manifesto Bersama BA. Kami juga merasa tidak senang kerana ada di kalangan pemimpin DAP yang menyerang PAS, khusus pemimpin tertentu, seolah-olah merekalah yang menjadi musuh utama dan bukannya BN serta pucuk pimpinannya.

Kami berharap semua parti dalam BA akan menggunakan saluran-saluran yang memang sudah ada untuk menyelesaikan semua masalah secara dalaman. Akan tetapi jikalau ada mana-mana parti yang merasa terdesak untuk keluar daripada BA ataupun mahu mendesak mana-mana parti keluar dari BA, lebih baik perkara ini dibincangkan secara strategik dan dengan semangat setiakawan, tetapi bukan melalui media.

Jikalaulah sekiranya PAS memenangi lebih daripada dua-pertiga kerusi dalam Parlimen bila-bila masa akan datang (dan ini satu perkara yang kami percaya susah akan berlaku) maka, sesuai dengan ajaran Islam, PAS hendaklah memberikan jaminan bahawa ia tidak akan menegakkan Negara Islam dengan cara paksaan. Bahkan perlu PAS membuat janji dari sekarang bahawa satu pungutan suara yang bebas serta adil perlu diadakan untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat negeri ini  sebelum melaksanakannya.

Sebagai kesimpulan PRM ingin mengemukakan supaya:

(a) Semua pihak dalam BA memberhentikan dengan serta merta penegasan pendirian dan serang-menyerang secara terbuka  mengenai isu Negara Islam yang boleh menjejaskan imej BA dan menguntungkan hanya BN;

(b) Pemimpin-pemimpin tertinggi dalam BA hendaklah meneruskan perbincangan mendalam untuk mendapatkan pendirian yang disetujui bersama, dan sesuai dengan itu Manifesto BA hendaklah dipinda serta dikemaskinikan supaya terus menjadi pegangan semua parti dalam BA;

(c) Sekiranya ada mana-mana parti yang berpendapat lebih baik baginya dan BA jika mereka berundur dari BA, ataupun ada mana-mana pihak yang berpendapat  parti  lain lebih baik berundur, maka perkara ini hendaklah dibincangkan  dari sekarang  secara strategik dan dengan semangat persahabatan serta setiakawan;

(d) PAS hendaklah memberi jaminan atau ikrar dari sekarang bahawa sekiranya ia memenangi majoriti dalam parlimen ia hendaklah melaksanakan Manifesto Bersama BA; dan seandainya PAS memenangi majoriti dua-pertiga, ia tidak akan menegakkan Negara Islam secara paksa, tetapi sebaliknya akan mendapatkan persetujuan rakyat terbanyak dengan mengadakan referendum.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM                                                                                                        2hb Julai 2001

Jumlah pembaca:orang