BN Sudah Sedia Hadapi Pilihan Raya Likas, Kata Dr Mahathir
 
 
PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Likas, Sabah, 21 Julai ini walaupun belum memutuskan siapa yang akan dicalonkan, kata Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri mengesahkan bahawa beliau belum menerima nama-nama calon yang dikemukakan oleh parti komponen BN.

"Kita sudah buat persediaan tak kiralah siapa jadi calon pun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Aeroangkasa Malaysia di Kompleks Jabatan Perdana Menteri di sini pada Isnin.

Ditanya kemungkinan bekas anggota DUN Likas Datuk Yong Teck Lee dicalonkan semula pada pilihan raya kecil itu, Dr Mahathir berkata Yong dikira layak untuk bertanding memandangkan keputusan mahkamah tidak menyatakan bahawa beliau bersalah.

"Kalau dikira dari segi keputusan mahkamah, dia masih boleh (bertanding), sama ada bijak atau tidak (memilih Yong sebagai calon), itu soal lain," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Likas akan diadakan berikutan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 8 Jun lepas mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya umum bagi kawasan itu pada 1999 adalah tidak sah dan batal kerana terdapat pengundi hantu.

Yong memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,962 undi mengalahkan lima calon lain.

Perdana Menteri turut ditanya tentang tindakan Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengadakan pertemuan dengan anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) di negara itu untuk membincangkan hal ehwal dalaman negara.

Dr Mahathir berkata: "Itu hak dia, tetapi kalau kita mula minta orang luar untuk menyelesaikan masalah dalaman kita, maka lambat laun kita akan kehilangan kemerdekaan." Dr Wan Azizah menemui anggota Kongres AS termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa Henry Hyde, Khamis lepas bagi menjelaskan keadaan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara serta pendirian Anwar untuk menjalani rawatan tulang belakang di Jerman.

Dr Mahathir berkata sikap suka meminta pandangan kuasa asing dalam menyelesaikan sesuatu isu dalaman itu seolah satu trend pembangkang kerana selain Dr Wan Azizah, Presiden PAS Datuk Fadzil Noor turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Australia Alexander Downer di Sydney baru-baru ini.

Beliau berkata terpulanglah kepada rakyat sekiranya mereka masih mahu menyokong pihak-pihak yang sentiasa "memanggil" bangsa asing untuk menguasai negara sendiri.

"Di zaman dulu, orang semacam ini dipanggil sebagai pengkhianat negara tetapi di zaman sekarang ini, nampaknya ada orang yang anggap perbuatan semacam ini (minta kuasa asing campur tangan) sebagai perbuatan yang mulia," katanya.

-- BERNAMA