Permohonan Difail Untuk Tangguh Pilihan Raya Kecil Likas
 
 
KOTA KINABALU, 2 Julai (Bernama) -- Bekas ketua bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Likas, Bernadette Wong dan dua yang lain, pada Isnin memfailkan satu permohonan bagi mendapat perintah menghalang Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Pengurus Pilihan Raya Likas daripada meneruskan pilihan raya kecil Likas yang dijadual 21 Julai.

Wong dan dua pengundi di Likas -- Bidin Amat dan Ching Jak Hon -- membuat permohonan itu bagi membolehkan penyemakan semula daftar pemilih Likas.

Dalam permohonan yang difailkan melalui Messr Szetu Baldev Gan And Associates, mereka juga memohon perintah supaya daftar pemilih yang disahkan pada 27 Jun, sebagai batal dan tidak sah.

Ketiga-tiga mereka menamakan SPR, Pengurus Pilihan Raya bagi Likas, "Pegawai Pendaftar bagi Likas dan Ketua Pegawai Pendaftaran Malaysia" sebagai responden.

-- BERNAMA