NEGARA ISLAM: KARPAL MENGUJI IMAN UMNO

Sejak kebelakangan ini Karpal Singh begitu lantang menentang penubuhan negara Islam sebagaimana yang dicita-citakan oleh Parti PAS. Penentangan tokoh DAP ini bukan perkara baru malahan pernah disuarakan beberapa tahun dahulu dan ini amat difahami oleh kepimpinan PAS. Kita sebagai ahli-ahli PAS yang tidak pernah luntur semangat malah bertambah keyakinan kita bahawa ugama Islam yang maha suci ini wajib dipertahankan.

Pada kita sedikitpun tidak terguris dihati dengan apa yang diluahkan oleh Karpal Singh. Kita semua maklum bahawa Karpal Singh bukan seorang muslim dan sememangnya beliau mempunyai hak untuk menentang penubuhan negara Islam tetapi bukan bermakna beliau menghina ugama kita. Penentangan beliau itu mudah difahami oleh kita, kerana beliau bukan yang beriman dengan Allah SWT dan beliau juga belum pernah merasai kesejahteraan dan keadilan pemerintahan Islam itu sendiri. Apatah lagi, ugama Islam itu sendiri diperlecehkan serta diperhinakan oleh umat Islam sendiri. Siapakah yang melarang undang-undang hudud untuk dilaksanakan di Kelantan? Adakah Karpal Singh? Siapakah yang menghina Nabi Muhammad SAW? Siapakah yang membawa kepada pemecatan Mufti Selangor Dato' Ishak Baharom? Adakah ini disuarakan oleh Karpal Singh? Ternyata yang sebenar-benar menentang hukum Islam bukan Karpal Singh tetapi mereka terdiri dari satu golongan yang mengaku Islam tetapi menyokong fahaman sekular iaitu UMNO.

Pemimpin-pemimpin UMNO yang mengaku Islam dan mengetahui akan kebenaran ajaran dan hukum yang dibawa oleh Islam itu sendiri menolak hukum tersebut, adakah mereka ini lebih baik dari Karpal Singh? Kita harus sedar, bahawa Karpal Singh tidak bersalah kerana beliau tidak pernah mempelajari apa yang terkandung di dalam Al-Quran. Beliau juga tidak pernah mempunyai pengalaman berada di bawah pemerintahan Islam yang sebenarnya. Tetapi mengapa kita yang telah diajar akan Al-Quran semenjak kecil lagi bahkan berulangkali mengadap Baitullah masih tidak percaya kepada keadilan hukum Islam? Langkah kepimpinan PAS yang tidak mudah melatah dengan tingkah laku Karpal Singh patutlah diberi pujian. Patutkah kita memarahi seorang buta yang mengatakan gajah itu lembu, walhal sibuta tersebut mengenalinya hanya melalui si celik yang penipu lagi fasik? Siapa yang patut dipersalahkan? Sudah tentu bukan si buta tetapi si fasik tersebut. Tugas kita kini ialah membenteras si fasik dari terus membuat penipuan serta memimpin si buta ke arah jalan yang lurus.

Ternyata UMNO tidak lagi mampu berhujah dengan PAS berkaitan kebenaran Islam. Justeru itulah, UMNO cuba untuk menggunakan DAP bagi meruntuhkan Islam. Jika boleh, UMNO mahu DAP berdebat dengan PAS berkaitan hukum Islam. Kita sedar, bukan sedikit dari penyokong-penyokong DAP khususnya di peringkat akar umbi yang telah mula berkeyakinan terhadap undang-undang Islam cuma yang masih tinggal adalah mereka yang masih terpedaya dengan tipu muslihat UMNO yang sememangnya tidak mahukan Islam didaulatkan.

Kepada semua pejuang-pejuang Islam, janganlah kita terpedaya dengan tipu muslihat UMNO yang telah kehabisan modal ini. Apa yang penting kita mesti ingat bahawa UMNO akan sanggup melakukan apa saja untuk meruntuhkan Islam hatta dengan menggunakan sesiapa sahaja. Kalau tidak masakan UMNO yang beriya-iya untuk menghapuskan nama Islam dalam mana-mana pertubuhan kenapa bukan Karpal Singh atau DAP?

MASSURIA NS
(Tunggu Lakonan `Debat UMNO-PAS' Vol.2)

Jumlah pembaca: orang