Kemenangan Yang Diselubungi Bahaya

Oleh : Anil Netto

(Dari FAC)

PULAU PINANG – Sementara polis pencegah rusuhan mengawal para pembantah yang marah di luar, para perwakilan ke Perhimpunan Agung Khas parti kedua terbesar di dalam barisan pemerintah Malaysia pada hari Ahad mengundi dengan majoriti tipis untuk mengambilalih dua akhbar harian berbahasa Cina yang agak bebas.

Keputusannya : 1,176 – 1,019, di mana sebanyak 157 undi majoriti yang memihak kepada langkah MCA untuk mengambilalih Nanyang Press Holdings, manakala sembilan yang lain mengambil pendirian berkecuali.

Keputusan tersebut merupakan satu kemenangan yang tidak bererti kepada Presiden MCA Ling Liong Sik, yang telah mempertaruhkan secara peribadi akan kredibilitinya dalam mempertahankan pengambilalihan dua akhbar, Nanyang Siang Pau dan China Press. Dengan 46 peratus dari partinya menentang urusniaga tersebut dan kegemparan di dalam masyarakat Cina Malaysia dengan pengambilalihan itu, harga kemenangan yang perlu dibayar sudah tentu tinggi sekali untuk suatu jangka masa yang panjang.

Sudah pasti, majoriti yang tipis itu telah memberikan satu kelegaan buat Ling. Seandainya para perwakilan mengundi untuk menolak pengambilalihan itu  kepimpinan Ling di dalam MCA pasti tergugat serta-merta dan parti tersebut akan menjadi kelam-kabut.

Namun kegembiraan Ling hanya seketika. Sebaik sahaja beliau melangkah keluar dari dewan, kumpulan yang membantah pengambilalihan seramai 300 orang telah menjerit ke arahnya dengan perkataan “kepala masam” (rotten fish-head) – sementara melaungkan “Bravo” pula kepada timbalannya, Lim Ah Lek, yang menentang pengambilalihan itu. Para pembantah tersebut merupakan sebahagian dari kumpulan besar yang menentang pengambilalihan itu yang terdiri dari ratusan kumpulan Cina dan persatuan, termasuk tokoh-tokoh utama di kalangan masyarakat perniagaan Cina Malaysia, yang merupakan penyokong tradisi MCA.

Kemarahan masyarakat terbabit terhadap pengambilalihan itu telah membahagikan parti kepada dua dan boleh mengancam perpaduan di dalam barisan kerajaan campuran BN yang diterajui oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

“Sekiranya kemenangan dari segi teknikal itu menandakan bermulanya perpecahan rasmi bagi parti komponen kedua terbesar di dalam Barisan Nasional itu, ini bermakna kemenangan tersebut tidak berbaloi sama sekali,” satu komen memberi amaran di dalam akhbar News Straits Time yang menyokong kerajaan.

Sebenarnya masalah perpecahan telahpun melanda MCA sejak sebelum rancangan pengambilalihan ini lagi. Namun rasa marah dan sakit hati yang menyelubungi rancangan pengambilalihan ini pasti menjarakkan lagi garisan pemisah tersebut dan mencetuskan lebih banyak perbalahan dan mungkin juga membangkitkan cabaran yang lebih sengit terhadap kepimpinan parti. Itu akan menimbulkan masalah kepada Mahahthir, yang telah memegang tampuk pemerintahan sejak 20 tahun yang lalu dan dengan masalah yang ada pada dirinya sendiri, pada pilihanraya umum akan datang yang dijadualkan pada tahun 2004.

Dengan sokongan MCA, gabungan beberapa parti yang diketuai oleh Umno Mahathir telah memerintah Malaysia semenjak merdeka lagi. Tetapi dalam pilihanraya umum 1999, Umno telah kehilangan sokongan orang-orang Melayu kepada pihak pembangkang berikutan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Parti campuran tersebut, walau bagaimanapun, berjaya mengekalkan kekuasaan melalui sokongan padu kaum bukan Melayu dengan 56 peratus undi popular.

Namun dalam satu pilihanraya kecil November tahun lalu, Barisan Nasional mengalami kekalahan mengejut di Lunas, satu kerusi yang secara tradisinya selamat buat BN di bahagian utara Kedah, yang merupakan negeri kelahiran Mahathir sendiri. Para penganalisa menyalahkan kekalahan itu pada undi kaum Cina yang diberikan kepada pihak pembangkang akibat dari ketidakpuasan hati kaum Cina dengan pendidikan Cina dan kemarahan kerajaan terhadap sekumpulan persatuan-persatuan Cina yang membuat rayuan bagi mendapatkan lebih hak-hak awam dan politik.

Akhbar Cina secara tradisinya menyediakan ruang untuk pandangan-pandangan yang meluas tentang politik, pendidikan dan kebudayaan. Liputannya yang agak bebas berbanding dengan akhbar-akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris kadangkala mengundang surat-surat amaran dari Kementerian Dalam Negeri.

Amaran-amaran ini tidak boleh diambil mudah. Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk menarik semula lesen penerbitan pada bila-bila masa sahaja dan keputusannya itu tidak boleh dicabar di mahkamah. Di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan Malaysia yang melemaskan itu, syarikat penerbitan perlu memohon kepada Kementerian Dalam Negeri pada setiap tahun untuk satu permit penerbitan baru bagi setiap tempoh penghasilan mereka. Ia merupakan satu sistem yang menggalakkan penapisan sendiri dan amaran di kalangan penyunting-penyunting berita di kebanyakan akhbar harian dan menjadikannya sukar bagi syarikat-syarikat penerbitan yang bebas untuk terus bernyawa.

Namun biarpun dengan surat-surat amaran, akhbar-akhbar Cina yang agak bebas itu berjaya juga menyiarkan laporan-laporan yang berani meliputi pandangan-pandangan parti pemerintah, parti pembangkang dan komuniti secara amnya.

Tetapi keadaan seperti itu mungkin tiada lagi. Sekalipun Mahathir menafikan yang beliaulah orangnya yang berada di belakang rancangan pengambilalihan itu manakala Ling memberikan keyakinan bahawa kebebasan kerja-kerja penyuntingan akan dikekalkan, namun nadanya pasti akan dilembutkan. Malahan, dengan pengambilalihan kedua-dua akhbar tersebut, hampir kesemua akhbar-akhbar utama di Malaysia akan dikawal oleh parti-parti yang berkait rapat dengan pemerintah.

Dari segi sejarah, akhbar Cina telah dilihat sebagai satu simbol kebudayaan masyarakat dan ramai rakyat Cina Malaysia tidak akan menyambut baik pengambilalihan itu.

Tidak kurang juga rakyat Malaysia yang akan melihat urusan tersebut sebagai satu usaha untuk meraih sokongan buat MCA dan, lebih dari itu, kerajaan campuran BN. Akhbar harian Inggeris yang terkemuka, The Star, dimiliki oleh sayap pelaburan MCA, Huaran Holdings, diterima umum sebagai satu tabloid yang pro-MCA dan pro-golongan yang berkuasa, dan hakmiliknya itu digambarkan di dalam pendirian lidah pengarangnya.

Kerajaan campuran BN kini terpaksa berhadapan dengan kemungkinan tindak balas ganas dari masyarakat Cina Malaysia. Ini mungkin berlaku dalam bentuk peralihan sokongan kepada parti berbilang kaum tetapi berteraskan Cina iaitu DAP atau parti berbilang kaum Anwar yang berteraskan Melayu iaitu Keadilan. Kedua-duanya merupakan komponen Barisan Alternatif pembangkang.

Walaupun parti MCA berjanji bahawa tidak akan berlaku sebarang campurtangan di dalam kerja-kerja penyuntingan, sejauh mana hujah-hujah itu dapat meyakinkan akan, sehingga ke satu peringkat, digambarkan dalam pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan pada tahun 2004,” New Straits Times berkata. Kerajaan campuran BN, katanya, “tidak lagi mampu untuk menerima peralihan undi dari orang-orang Cina dan kekalahannya di dalam pilihanraya kecil Lunas perlu dilihat sebagai satu amaran.”

Bahaya lebih besar yang menanti adalah kemungkinan berlakunya pemboikotan besar-besaran terhadap kedua-dua akhbar tersebut oleh kumpulan-kumpulan anti-pengambilalihan. Satu masa dahulu, dua akhbar Cina terpaksa gulung tikar selepas mereka diambilalih oleh firma-firma yang mempunyai kaitan dengan kerajaan campuran BN. Sekiranya pemboikotan ini berkesan, kedua-dua akhbar yang telah diperolehi itu boleh mengalami kerugian yang akan menjatuhkan nilai pelaburan MCA di dalam kedua-dua akhbar tersebut dan kehilangan liquiditi (keadaan di mana tabungan boleh dibuat dengan menjual asset-aset yang ada) yang diperlukan bagi membayar semula pinjaman besar yang bernilai 230 juta ringgit yang digunakan bagi membiayai pengambilalihan tersebut.

Sementara Ling dan rakan-rakan sejawatnya meletakkan harapan agar pengambilalihan itu akan dapat menghasilkan kumpulan akhbar Cina yang terbesar di Malaysia dan mungkin juga dapat mempertingkatkan prospek politik mereka, ramai aktivis yang berharap agar pada satu hari nanti mereka yang menyokong pemgambilalihan itu akan menyesal kerana pernah terfikir untuk menyokong skim yang seumpama itu.


Terjemahan : SPAR 09

Jumlah pembaca:orang