Kenapa Mahathir Tendang Daim
(Why  Mahathir Axed Daim)
Oleh  Terrence  Gomez
FEER  Edisi  5  Julai, 2001.


Walaupun Daim Zainuddin sudah menyerahkan surat perletakan jawatannya  sebagai menteri kewangan Malaysia, pada awal Jun dulu, ramai pengamat bersikap berpihak-pihak beranggapan apakah sudah tercetus satu perbalahan antara  beliau dengan perdana menteri Mahathir Mohammad. Oleh kerana Mahathir dan bekas sahabatnya yang paling setia, Daim, enggan menyatakan secara terbuka  sebab musabab pengunduran Daim itu, makin semaraklah spekulasi mengenai dalil-dalil  menyebabkan pengunduran beliau.

Beberapa peristiwa yang berkisaran dalam dunia korporat memberikan  gambaran betapa perbalahan itu memang begitu serius dan berkemungkinan besar  mempunyai hubung-kait dengan beberapa urusan niaga yang membabitkan anak lelaki kedua perdana menteri, Mokhzani Mahathir. Secara khususnya, pembabitan  Mokhzani dalam rencana penggabungan bank yang dikatakan telah menjejaskan beberapa  bidang perniagaan peribadi kepunyaan Daim.

Sebelum tercetusnya krisis kewangan pada 1997 dulu, kerajaan memang  berminat menggabungkan sektor perbankan tempatan, yang ketika itu berjumlah lebih 50 institusi kewangan. Apabila kerajaan bertindak memaksa penggabungan itu dan merancangkan kewujudan enam bank peneraju pada 1999, tercetuslah  pelbagai bantahan daripada masyarakat perbankan.

Masyarakat Cina menjadi tersentuh apabila mendapati banyak bank kepunyaan usahawan Cina ditelan dan terhakis dalam proses penggabungan itu. Ketika itu pula pemilu sudahpun menghampiri masanya dan Mahathir semakin tertekan dengan hakikat betapa perlunya sokongan pengundian orang bukan-Melayu, terutama sekali pengundi Cina untuk memenangkan mereka menguasai parlimen semula. Kerana  itu kerajaan bertindak menambah jumlah bilangan bank peneraju itu daripada 6  menjadi 10. Desas-desus mula berterbangan betapa keputusan itu telah mencetuskan  satu pergeseran antara Mahathir dan Daim.

Sebelum penggabungan bank itu mula dicadangkan, para kroni Daim telahpun menguasai Multi-Purpose Bank (MPB) daripada T.K. Lim yang pada satu  ketika itu memang rapat dengan bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan Anwar Ibrahim. Di tahap awalan dulu, Multi-Purpose Bank telah direncana agar  bergabung dengan Phileo Allied Bank yang dikuasai oleh Tong Kooi Ong, yang juga  rapat dengan Anwar Ibrahim. Walaupun Tong mula menceburi dunia perbankan pada  1994, dia berjaya memajukan Phileo Allied Bank menjadi sebuah bank yang sungguh dinamik, berteknologi inovatif di Malaysia. Apabila rencana penggabungan itu disemak semula, Phileo Allied Bank telah dicabut daripada cadangan asal untuk bergabung dengan MPB untuk diregukan pula dengan Malayan Banking, ataupun kumpulan Maybank. Kumpulan Maybank adalah dikuasai oleh Perbadanan Nasional, ataupun PNB yang  dipengerusikan
oleh Perdana Menteri.

Seorang lagi pemegang saham (terbesar) Phileo Allied bank ialah anak Mahathir, Mokhzani, yang memang sudah lama mempunyai pegangan berpada sebelum  rencana penggabungan dicadangkan. Ada sebuah syarikat Mokhzani yang tersenarai di  BSKL, Tongkah Holdings, yang mempunyai pegangan bersilang dengan sebuah lagi  syarikat tersenarai, Pantai holdings. Pantai dan Tongkah mempunyai milik bersama setakat 28 persen saham Phileo Land, yang juga tersenarai. Phileo Land merupakan pemegang saham terbesar kerana mempunyai 18.4% saham dalam Phileo Allied yang merupakan pemilik Phileo Allied Bank. Phileo Land kemudiannya menukar namanya menjadi Avenue Assets.

Satu ketika dulu Mokhzani memang rapat dengan Daim, namun Tong dilaporkan  liat dengan rencana menggabungkan banknya dengan MPB. Mengikut rencana  penggabungan yang disemak semula itu, Maybank telah menawarkan Avenue Assets satu  rencana tukar pegangan saham (share swap) bernilai 1.2 bilion ringgit (US $316 million) untuk mengambil-alih Phileo Allied Bank. Tawaran itu ditolak oleh Avenue Assets kerana lembaga pengarahnya berpendapat harga saham Phileo Allied bank sengaja diturunkan harganya, dan tidak pula ada tawaran bayaran dana tunai  dalam cadangan itu. Avenue Assets mahukan cadangan yang lebih lumayan dan akhirnya bersetuju menerima tunai sebanyak 1.3 bilion daripada Maybank sebagai bayaran saham bank itu. Dengan penjualan itu Phileo Allied menjadi sebuah syarikat induk yang kaya-raya.

Dengan penjualan Phileo Allied Bank pada bulan Januari itu, Suruhanjaya Sekuriti yang tertakluk kepada Kementerian Kewangan, memberi para pemegang saham Phileo Allied, yang termasuk juga Avenue Assets, memberitahu bahawa mereka tidak boleh melepaskan pegangan saham di dalam syarikat yang kaya dengan wang tunai  ini. Mereka juga tidak dibenarkan menukar jumlah pegangan tanpa mendapatkan kebenaran awal Suruhanjaya.

Peraturan ini belum pernah dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Sekuriti ke atas mana-mana syarikat Malaysia dalam sejarahnya. Ia menjadi lebih menarik  kerana peraturan yang serupa tidak pun dikenakan terhadap Tajuddin Ramli yang  merupakan rakan kongsi Daim, ketika syarikat beliau, Naluri menerima sejumlah 1.8 bilion ringgit daripada penjualan saham MAS kepada kerajaan. Sedangkan proses  jual beli itu berlaku pada waktu yang sama proses yang sama dilakukan oleh Phileo Allied Bank.

Pada awal April, Daim menyuarakan hasratnya mahu bercuti panjang, dan tidak lama kemudiannya, Mokhzani mengumumkan niatnya melepaskan semua pegangan korporatnya. Oleh kerana pegangan korporatnya secara terus berada pada  Pantai dan Tongkah, yang mempunyai sebahagian besar saham Avenue Assets, dia tidakpun mencela syarat-syarat yang ditentukan oleh Suruhanjaya Sekuriti ketika membuat penjualan tersebut.

Mokhzani mengumumkan penjualan semua pegangan korporatnya itu dicetuskan oleh pelbagai tohmahan yang dihumbankan kepada ayahnya yang berbentuk tidak berasas. Untuk menjaga nama baik bapanya itulah dia bertindak mahu memberikan tumpuan kepada politik. Ketika itu dia merupakan Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO. Pada bulan Jun, dia melepaskan juga jawatan itu. Oleh kerana menjual sahamnya dengan kerugian, ada beberapa faktor lain yang telah mempengaruhi tindakannya  untuk keluar daripada dunia perniagaan.

Ketika Mokhzani melepaskan pegangan sahamnya untuk menumpukan perhatian kepada politik, Daim mengeluarkan satu kenyataan agar rakyat menghormati keputusan Mokhzani itu. Yang lebih menarik, bekas menteri kewangan Razaleigh Hamzah, yang satu ketika dulu merupakan pengkritik hebat terhadap pembabitan anak-anak perdana menteri dalam dunia perniagaan, telah mengeluarkan kenyataan betapa Mokhzani sepatutnya memegang terus saham-saham korporatnya. Ada desas-desus mengatakan bahawa Razaleigh memang sudah lama memasang harapan agar dilantik menggantikan jawatan Daim itu, dan memberi ruang kepadanya untuk  timbul semula dalam hiraki kepimpinan UMNO.

Mokhzani telah mengalihkan saham penguasaan Pantai kepada Lim Tong Yao, seorang peniaga yang tidak menonjol yang menguasai sebuah syarikat pembuatan  sabun, Paos Holdings. Lim menyatakan bahawa Pantai mempunyai ruang yang luas untuk membesar dalam bidang barangan kesihatan. Lagipun syarikat itu mempunyai pegangan berpada dalam syarikat yang banyak hutangnya, Tongkah. Pantai kemudiannya melepaskan sekitar 1,2% daripada sejumlah 16% pegangan saham dalam Tongkah, sementara Tongkah menjual pula pada kadar kerugian, 12 persen daripada pegangannya sebanyak 32.5 persen saham Pantai untuk mengurangkan bebanan hutang. Tongkah masih mempunyai bon bernilai 462.5 juta ringgit yang matang pada 2004.

Pada akhir Mei, perkhidmatan pos kerajaan, Pos Malaysia telah dijual kepada Phileo Allied. Sebelum itu tidak pun ada sebarang isyarat daripada kerajaan akan cadangan menjual institusi yang menguntungkannya itu untuk penswastaan ataupun mendapatkan peluang penyenaraiannya di BSKL dengan cara menyuntiknya kepada Phileo Allied. Malahan, adalah bukannya sukar untuk Pos Malaysia memasuki pasaran berasaskan kekuatannya sendiri, namun ahli lembaga syarikat itu dikatakan tidak berminat menyenaraikan syarikat itu pada tahun ini kerana keadaan pasaran yang lengang.

Phileo Allied perlu membayar kerajaan sebanyak 800juta ringgit untuk membeli Pos Malaysia - 550 juta ringgit dalam bentuk tunai dan bakinya setara 5% melalui bon terbitan pinjaman jenis boleh-tukar daripada kerajaan. Kerajaan  boleh tukar pinjaman itu menjadi saham ekuiti, bererti kerajaan berkemungkinan menjadi pemegang saham terbesar di Phileo Allied pada satu masa dalam tempoh lima tahun. Oleh kerana Pos Malays diswastakan ketika Daim sedang bercuti, keputusan mengalihkan kuasa kepada Phileo Allied sudah tentu bukan keputusannya.

Beberapa isu yang membabitkan Phileo Allied, rencana penggabungan bank dan penswastaan Pos Malaysia telah mencetuskan banyak persoalan mengenai pentadbiran kerajaan dan korporat di Malaysia. Kenapakah Phileo Allied dijual kepada Maybank, yang tidak berapa berminat dengan penggabungan itu kerana ia mempunyai peluang untuk bergabung dengan satu ataupun lebih bank peneraju kecilan yang berjumlah sembilan semuanya itu? Apakah sebenarnya kriteria yang menentukan bank peneraju dan rakan gabungan mereka? Kenapakah Suruhanjaya Sekuriti mengenakan syarat terhadap Phileo Allied tetapi tidak pula terhadap Naluri sedangkan kedua syarikat ini menerima bahagian besar wang kerajaan ketika menjual asset mereka?

Kenapakah Pos Malaysia dijual secara tergesa-gesa tanpa sebarang notis, kepada sebuah syarikat yang akhirnya dikuasai oleh seorang manusia yang telah membeli syarikat-syarikat milik Mokhzani? Mungkinkah putar-belit perniagaan ini mempunyai satu kaitan kepada tergugatnya kemesraan antara Daim dan Mokhzani? Yang lebih menarik lagi, perbalahan yang tercetus antara Mahathir dan Anwar dulu berpunca daripada penentangan Anwar terhadap cadangan kerajaan untuk mengambil-alih aset daripada syarikat yang dibebani hutang kepunyaan anak Mahathir yang bernama Mirzan Mahathir.

Semua sepak terajang politik untuk menguasai aset korporat memang menunjukkan kepada beberapa pembangunan penting sejak 1998. Apabila Anwar diaibkan dan tercampak daripada UMNO, segala aset korporat yang pernah dimiliki oleh para penyokongnya telah pun diambil-alih oleh manusia yang tidak menyokongnya. Para peniaga yang mempunyai hubungan baik dengan Daim telah meraih keuntungan besar daripada pengagihan semula segala aset itu. Bersabit dengan itulah tercetusnya pelbagai perbalahan antara kelompok elitis politik dan perniagaan dan mendedahkan Daim kepada kritikan yang berbisa yang membabitkan juga ahli  partinya. Yang lebih pening lagi, cubaan Daim untuk mencengkam pengaruh yang besar ke atas industri perbankan yang digabungkan itu menjadi satu punca perbalahan yang hebat antara beliau dan Mahathir.

Walaupun Daim yang sungguh berpengaruh itu sudah pun tertendang, adalah  tidak mungkin kerajaan akan mengamalkan satu pentadbiran yang telus dan lebih bertanggungjawab. Kerajaan sudah pun mengumumkan 10 bank yang digabungkan itu akan dikenakan satu proses penggabungan lagi. Hanya empat hingga lima bank besar sahaja yang akan muncul daripada perencanaan terbaru itu nanti. Walaupun Daim tidak berkemungkinan mempunyai kuasa pemilik terhadap satu  ataupun lebih lagi daripada satu daripada hasil penggabungan itu nanti, namun tidak ada sebab kenapa rakyat marhaen mampu beranggapan semua bank itu tidak akan dicemari lagi di masa depan.

Tanpa pemeriksaan dan seliaan kerajaan nampaknya segala rencana reformasi Mahathir tidak akan menyuntik sebarang keyakinan kepada sektor korporat Malaysia. Sebaliknya, tumpuan utama akan terfokus kepada cara mana  Mahathir mahu menangani segala perniagaan para juak dan jongos Daim termasuklah segala aset dan hutang berkarat yang masih lagi dalam penguasaan mereka semua.


Tamat

Diterjemahkan oleh SPAR-03-031

Jumlah pembaca:orang