Rakyat Meneropong Dari Jauh...

Sebuah kerajaan yang angkuh dan tamak dengan kekuasaan yang ada ditangan, mereka tidak akan melihat bagaimana renungan tajam rakyat di bawah yang telah mengangkat mereka ke singgah sana kuasa, mereka penguasa angkuh tidak akan sedar bahawa rakyat non jauh dibawah sana sedang meneropong tingkah laku dan perbuatan mereka dalam mentadbir dan menguruskan negeri dan urusan kebajikan rakyat, selaku penguasa sementara waktu, bukan untuk selama-lamanya. Tapi penguasa atau pemerintah yang angkuh lagi zalim tidak ingat semua itu, yang mereka ingat cuma kuasa, kebendaan dan pangkat kedudukan yang sedang dirangkul semahunya, kemudian diagih sama rata kepada kroni, kawan dan suku sakat.

Sabah negeri di bawah bayu, yang diperintah oleh UMNO/BN tidak banyak memberi manfaat kepada rakyat terbanyak yang majmuk di Sabah selama hampir dua penggal menerajui kerajaan negeri, tidak banyak membuat gerak kerja yang boleh menjamin keselesaan, keamanan, keselamatan dan kedaulatan rakyat dan negeri Sabah secara amnya. Malah timbul pelbagai isu politik, kepimpinan, kelemahan dan ketidakbijaksanaan mentadbir sebuah kerajaan. Antaranya, isu warga asing/PTI membanjiri Sabah, memberi kebenaran PTI/warga asing mengundi memilih wakil rakyat, pemberian kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing/PTI bagi membolehkan mereka mengundi memilih calon UMNO/BN dalam pilihanraya lalu, perlantikan pengarah Yayasan Sabah tertangguh sebegitu lama (kecuali, apabila KM baru dari LDP/BN dipilih jadi KM dalam sistem bergilir idea PM yang nyanyuk) barulah pengarah Yayasan Sabah dilantik, kelembapan Saham Sabah, pemasangan meter air yang kontroversi dan sebagainya.

Belum masuk bab keperibadian beberapa saf pimpinan UMNO Sabah yang cukup kontroversi dan memalukan. Inilah antara beberapa isu menarik yang dapat penulis coretkan untuk renungan dan nilaian oleh rakyat marhaen. Inipun penulis perolehi dari bisik-bisik rakyat marhaen, rakan dan sahabat yang boleh kita yakini sumber yang mereka riwayatkan.

Rakyat marhaen Sabah yang prihatin terhadap isu-isu semasa yang mengancam kehidupan mereka, berakibat dari masalah warga asing/PTI, IC palsu dan setinggan warga asing yang hendak diperakukan oleh kerajaan UMNO/BN sebagai warga negara. Sebagai rakyat yang berhak untuk bersuara dan menyatakan pendirian, rakyat melihat tindakan kerajaan negeri pimpinan UMNO/BN yang diketuai oleh Datuk Chong Kah Kiat selaku KM kepada kerajaan BN Sabah untuk mempertahankan tindakan kerajaan memindah setinggan Pulau Gaya ke tanah besar di Kg. Boronuon, Telipok, adalah satu langkah angkuh tanpa menghirau bantahan dan pandangan rakyat terbanyak termasuk pimpinan politik, pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan/swasta, profesional, NGO dan rakyat biasa.

Sewajarnya, sebagai kerajaan bermaruah, berwibawa dan demokratik adalah lebih patut mendengar suara hati rakyat. Dan seterusnya mengambil pendekatan bijaksana atau jalan tengah untuk menangguhkan atau mengkaji semula keputusan kerajaan yang tidak disenangi rakyat terbanyak itu. Bukan dengan membuat kenyataan angkuh lagi besar diri yang mengguris hati rakyat.

Sebenarnya, rakyat atau siapa juga tidak mungkin akan membantah sesuatu tindakan sebuah kerajaan yang baik lagi berwibawa, andai tindakan itu memberi manfaat kepada semua rakyat, tidak meletakkan rakyat dalam suasana kebimbangan, keselamatan rakyat berada dalam keadaan terancam dan sebagainya. Jaminan KM baru Sabah, Datuk Chong selepas beberapa hari mengangkat sumpah jawatan ketua menteri, bahawa antara perkara utama yang beliau akan tumpukan ialah mengatasi kebanjiran warga asing/PTI yang banyak menimbulkan masalah seperti sosial, kesihatan, jenayah, moral dan lain-lain, sudah cukup melegakan seluruh rakyat Malaysia di Sabah, tiba-tiba beliau sebagai seorang KM membuat kenyataan mempertahan pula pemindahan setinggan Pulau Gaya yang masih diragui status warga negara mereka ke Kg. Boronuon, Telipok.

Sikap double standard kerajaan negeri dan KM ini, pasti menimbulkan tanda tanya. Kepentingan apa yang mereka hendak pertahankan keselamatan rakyat atau kepentingan perniagaan kroni dan permintaan orang lebih atas dan berkuasa. Mudah-mudahan dengan coretan ini dapat membuka mata hati, akal dan mata pimpinan kerajaan dan rakyat seluruhnya untuk terus istiqamah memperjuangkan kebajikan, keselamatan dan kedaulatan rakyat majmuk Malaysia di Sabah khasnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Sekian, selepas ini kita akan cuba pula mengupas pelbagai isu semasa khususnya yang mempunyai relevansinya dengan pilihanraya kecil DUN Likas, itupun andainya mahkamah tidak menangguhkan pilihanraya kecil ini pada 21 Julai, 2001M.

Ibn Sabah,
4.7.2001M

Jumlah pembaca:orang