Mahathir  Menjaja  Pembohongan  Kepada  Pelajar 
(Mahathir  Feeds  Fallacies  to  Students) 

Oleh:  Kim  Quek 
03.07.2001. 

Ucapan  Perdana  Menteri  Mahathir  Mohamad  kepada  pelajar  pada  1 Julai 2001 bolehlah  dirumuskan  seperti berikut:

“Jangan campuri  politik,  jangan campuri  cara  saya   menguruskan  negara, atau anda akan  hancurkan Negara  ini dengan  rusuhan  pembangkang,  seperti yang dilakukan oleh pelajar-pelajar  Indonesia. Seandainya  anda tidak  berapa puas hati   dengan alam sekeliling, dengan apa yang sedang  berlaku dalam masyarakat, dengan  apa  yang dikatakan  korupsi, kronisme,  penyalahgunaan wang  dan projek  mega, eloklah patuhi sistem demokrasi  dengan   mengundi pada  pilihanraya umum  (sekali setiap lima tahun), dan janganlah  melakukan  apa-apa lagi  untuk   menentang kerajaan.” 

Sebelum menganalisis   ucapan  itu,  adalah  baiknya  kalau  kita ambil kira latar belakang perkara itu semua. 

Ucapan  itu  dihidangkan  dalam satu simposium   yang  diberi  nama  ‘Penegasan Arah Tuju Idealisme  Mahasiswa  Di  Alaf Baru’ di  Dewan  Perdanasiswa  Universiti Malaya (universiti perdana di negara  ini)  di mana  Dewan Tunku Chanselor  telah terbakar beberapa hari  yang  lalu. (Mengikut   rancangan  asalnya,  Mahathir dijadualkan berucap  di  dewan  itu)  Simposium itu  telah ditaja oleh   sekutu politik yang ikrab, bekas  ketua  menteri Melaka yang  telah diturunkan   setelah terlibat  dengan skandal rasuah  dan  merogol  seorang  gadis  bawah  umur. 

Oleh kerana  adanya  tentangan warga  pelajar  universiti yang  membantah lawatan Mahathir itu  dan juga  kepada  simposium tersebut;  dan  dikelamkan lagi  oleh episod pembakaran  dewan yang  dikatakan disebabkan  perbuatan  khianat;   keselamatan telah diperketatkan  dengan  pengembelingan  sekitar  200 anggota  polis  di  kampus. Kumpulan yang  datang  telah diramaikan lagi  oleh  kehadiran beratus-ratus  penyokong parti pimpinan  Mahathir  yang  diuruskan oleh  pergerakan Pemuda UMNO  dan   Puteri UMNO. 

Berbalik kepada ucapan  itu,  adalah satu ironis  bahawa  inti pati  ucapan Mahathir  itu menjadi  satu  antitesis (pertentangan) kepada  impian yang disarankan oleh tajuk simposium yang   membangkitkan  idealisme warga  pelajar  di  universiti.

Sesebuah  universiti  ialah  menara pembelajaran  di mana  pencapaian  akademik menjadi satu  hambatan. Pelbagai  mata pelajaran  didedahkan  termasuklah  falsafah, ugama  dan politik. Untuk  membolehkan  penyuburan  ilmu  pengetahuan  ke  tahap  yang maksimum ,sesebuah  universiti itu  mestilah  menjadi  satu  taman  nirwana  untuk pendidikan  di mana  wujud  autonomi dan suasana  kebebasan  (kecuali   untuk mereka yang melanggari undang-undang)  untuk mencari ilmu pengetahuan, untuk berfikir  dan menyerlahkan pendirian. Ia seharusnya  bebas daripada sebarang  eksploitasi  daripada  sektor politik  ataupun  komersial  masyarakat  kita. 

Dalam masyarakat  yang  lebih  maju,  seperti yang terdapat  di Amerika Syarikat, Switzerland,  ataupun  Australia, sesebuah universiti itu ialah  satu  tempat yang penuh ketenangan  untuk  belajar, tanpa  adanya  cemaran  politik.  Namun,  di negara yang lebih  miskin  sistem  politik dan sosial  sudah  menjadi  terjejas  dan muncul sebagai satu  hambatan  kepada  pencapaian  kecemerlangan  rakyatnya  dan  juga  sumber negara, menyebabkan institusi  universiti  mengambil peranan   yang  bermakna  dalam menentukan arah tuju  kemajuan  negara. Kerana  itu  ia  kerap  menjadi  kawah menggelegak di mana pelbagai ideologi  politik  dicerna  dan diperincikan, dan  di  mana  gerakan untuk merangsang  perubahan  dalam  suasana  berpolitik dilancarkan. 

Apabila wujud kerajaan totaliter  yang  korup di mana  rakyatnya  sudah kehilangan kebebasan mereka  dan  segala  upaya  untuk menyuarakan  keinginan  untuk berpolitik, para  pelajar  universiti  yang  mempunyai  ilham  berpolitik  yang tinggi kerap menjadi  peneroka  untuk  bersuara  lantang  dan  melancarkan  gerakan  tunjuk perasaan dengan  tujuan  mahukan  pembaharuan. Pergerakan begini  selalunya  mampu mengatur rentak  dan  momentum  yang  menghebat  sehingga  mampu  menumpaskan  regim yang   tidak disukai  oleh  rakyat,  akhirnya.  Contoh  yang  menonjol  ialah:  kejatuhan beberapa diktator  militer  di  Korea Selatan  dan Thailand,   Shah  Iran,  mantan Presiden Marcos dan Estrada  di  Filipina  dan Suharto  di  Indonesia. 

Memang  tidak ada  salahnya  apabila  warga  pelajar  berminat  dengan  politik. Malahan, dalam sebuah  negara membangun  yang  mempunyai  tahap pembelajaran yang rendah,  di mana  sistem  politik  amat  rapuh dan kerajaan  mudah korup   dan  mereput, universiti merupakan  tempat  utama  untuk  menetaskan  pemikiran dan  mencetuskan  gerakan menuntut  reformasi   kerana  di  sanalah  letaknya   banyak  daya  fikir, yang paling idealistik dan diharapkan juga  yang  paling  berani  untuk  menyuarakan tuntutan perubahan.  Para  professor  dan  pelajar  universiti  yang  memberikan  tenaga dan membuat  pengorbanan  untuk  menyelamatkan  negara  mereka,  di luar  tugas utama mereka  terhadap akademia, adalah  lambang  patriotisme  di tahap  yang tertinggi. Melalui  semangat  patriotisme yang  beginilah  yang  menyelamatkan China daripada kehilangan  kedaulatan negaranya  kepada   serangan  asing  dalam  sejarah peradabannya. Pada  kali  yang  pertama  ialah  dengan  kejatuhan  Dinasti Manchu di abad  yang  lalu, dan pada pusingan  kedua  pula ialah  melalui  kekalahan regim Kuomintang  yang  korup  selepas  berakhirnya Perang  Dunia  Kedua. 

Ada  satu  contoh  yang  baik berlaku  di  Singapura. Idealisma  politik  dan keberanian untuk  mengorbankan  diri yang  dilaksanakan oleh  para  pelajar  sekolah  cina di Singapura  pada   1950-an  dulu telah  menolong  PAP  untuk  melemahkan penjajah  dan musuh yang lainnya,  sehingga  memberikan  kemenangan  dan  seterusnya  mencapai kejayaan  dalam  membangunkan  satu negara  bebas  yang   berjaya. 

Sambil  menjana minat  berpolitik,  warga  pengajar  dan   pelajar  universiti  akan gagal  dalam usaha  mereka menyumbang  kepada negara  hanya  seandainya  mereka membiarkan   minat berpolitik itu  menjejaskan  kesan  pencapaian  akademik  mereka. Perkara ini mudah  dielakkan,  seandainya  wujud  jati diri,  dan kepintaran memprioritas (memberikan  keutamaan) serta  susun atur   masa  yang terselia. Terlalu  banyak contoh yang  boleh  diambil  daripada  pengalaman  pemimpin  dunia  yang  unggul  yang telah memberikan pujian  kepada  kejayaan  negara    mereka terhadap  pembabitan berpolitik ketika  menjadi pelajar  di  universiti. Sebaliknya,  sesebuah  negara membangun  yang tidak ditadbir dengan baiknya, ketiadaan   idealisma  berpolitik  di   institusi pengajian  tinggi   memberikan  bayangan  betapa  negara  itu  akan  terus dihantui masalah  masa  depannya,  disebabkan  warga    terpelajar  di kalangan muda-mudi negara itu  sudah  tersasar  jauh  ke  kancah  kehaprakkan,  sehingga  menafikan peluang negara   menonjolkan  calon  kepimpinan  yang  berwibawa. 

Sudah  menjadi  satu  hakikat,  betapa  sebilangan  besar  warga  pelajar universiti di negara  ini  amat  membenci  Mahathir  kerana  gelagatnya  mengaibkan Anwar Ibrahim dan kerana  kerakusannya   menjahanamkan  demokrasi  negara  ini  dengan cara menjahanamkan pentadbiran  negara. Itulah  sebabnya  beliau  mendapati  pentingnya mementaskan simposium  itu  dengan  membawa masuk  beribu  ahli    UMNO   untuk  menghadiri apa yang  sepatutnya  satu  himpunan  khas    warga pelajar  (sedangkan  himpunan seperti itu adalah  amat  bercanggah  dengan  ketegasan  Mahathir  bahawa  politik tidak seharusnya  dibiarkan  cambah  di  kampus). 

Ketegasan  pelajar  universiti memang patut  dipuji, memandangkan   kerakusan  parti yang memerintah  mencengkam  media massa   untuk  menyibarkan  propaganda   yang penuh kepalsuan  untuk  membohongi  rakyat. Sikap  para  pelajar  itu  berpendirian bebas memberikan  bayangan  betapa  mereka mempunyai  kemampuan  untuk  melaksanakan pengamatan yang  kritis,  dibantu  secara bertahap  oleh  aliran  maklumat  alternatif melalui ruang  siber.

Ucapan  Mahathir  itu  sememangnya  berhasrat  untuk  melunturkan  tentangan para pelajar  terhadap  beliau.  Namun,  segala  fakta  dan  logika beliau  dipenuhi terlalu banyak   pembohongan   yang  boleh  dirakamkan  seperti berikut: 

1. Mahathir  membayangkan  betapa  penentangan  para  pelajar   terhadapnya sebagai usaha  menghancurkan  negara  melalui   cara  yang  ganas. Ini  adalah  satu  tuduhan  yang  sungguh  haprak. 

Pertama,  selama ini    para  pelajar  hanya  turut  serta dalam  himpunan aman,  yang sememangnya  dibenarkan  oleh  perlembagaan. Sebarang  keganasan  yang  tercetus dalam peristiwa  itu  selalunya  berpunca  daripada  keganasan  polis,  pasukan  gerak gempur,  dan  anggota  para-militier,  dan  bukannya  daripada  pelajar  ataupun peserta di kalangan  orang   awam. 

Kedua,   seandainya  Mahathir  mundur, ataupun  kerajaannya  tumpas  disebabkan gesaan tekanan rakyat,  ia  tidak  membawa  erti  negara  ini dan  warisannya akan turut hancur lebur  seperti  yang  didakwa  oleh  Mahathir.  Sebaliknya   peristiwa  seperti itu adalah  satu rahmat   kepada  negara  ini,  kerana  dari  situ  nanti  akan terhumban segala  bentuk  kepimpinan  pincang  yang  korup  (seperti  yang  diperakuinya) dan lembab  untuk  diganti  dengan  kepimpinan  yang  lebih  bermaruah  dan berkaliber. Jikalau kita  mahu  bercakap  mengenai  warisan  negara,  Mahathir  adalah manusia  yang telah menghancurkannya kerana  sebelum  itu  di  zaman  Hussein  Onn, Tun Razak dan Tunku, perkataan politik  wang  dan  kronisme    adalah perkataan  yang tidak  pun didengari, korupsi  amat  jarang  sekali  dan badan   kehakiman  negara  diberikan kehormatan  yang paling  tinggi  menyeluruhi  negara-negara  Komanwel  dan  seantero  dunia, berbanding dengan  masalah  kejijikan  yang  menyelimuti  negara  di mana Malaysia diberikan taraf  yang  sama  dengan   politik  wang,  dan kronisme  dan  badan kehakiman diperlekehkan  dan  dicemuh,  terutama  sekali  setelah  berlakunya  kejijikan penghakiman  episod  Anwar. 

2.   Mahathir  menyalahkan  suasana  politik  dan   kepincangan   ekonomi Indonesia kepada  para  pelajar  yang  menunjuk  perasaan  jalanan dan  memberi amaran bahawa perkara  yang  sama akan berlaku  di  Malaysia  seandainya pelajar di sini menunjuk perasaan  di jalan raya.

Pertama, nasib  yang  murung  melanda  rakyat  Indonesia kini   bukannya disebabkan para  pelajar, tetapi kerana  pemerintahan  yang  otokratik dan sungguh  korup yang dilakukan  oleh  bekas  presiden Suharto.   Sepanjang pemerintahan Suharto  yang haprak itu  korupsi sudah  begitu  terpahat  disetiap  lapisan  masyarakat  Indonesia yang kini memerlukan  beberapa  tahun  lagi  untuk   membina  semula  satu pentadbiran  yang berwibawa  untuk  membolehkan negara  itu  bangkit  semula,  membangun    ke jalan  yang selesa  dan  bersih  pertumbuhannya. Hanya  dengan  cara  ini   barulah  negara itu dapat  menonjolkan  satu   barisan  kepimpinan  yang  cekap dan bersih  untuk mempelopori  kemajuan  negara. 

Berbeza  dengan  apa  yang  diucapkan  oleh  Mahathir,  para  pelajar Indonesia,  telah memberikan  sumbangan yang  amat  bermakna   kepada  negara mereka  dengan membantu menjatuhkan  satu  pemerintahan  diktator  yang  rakus  untuk  mengembalikan suasana demokrasi.  Ini   adalah  satu  tugas  yang  amat  sukar  dalam  sebuah  negara yang kecil yang  mempunyai  satu  masyarakat  yang  bersahaja.  Apabila  ia dilaksanakan  di Indonesia  ia  merupakan  satu  peranan yang  menakjubkan  yang  penuh  dengan cabaran serta  banyak  kesangsiannya.  Apa lagi  kalau  diambil  kira  luas  negara  itu dan kepelbagaian  kedaerahan,  rakyat  dan  budaya  serta   institusi  negaranya yang  lemah pentadbirannya  hasil  warisan  pemerintah  yang  terdahulu. 

Kedua,   keadaan di Malaysia  amat berbeza dengan  Indonesia. Tunjuk  perasaan secara aman  oleh  pelajar  universiti  Malaysia  membantah  salah laku  kerajaan  akan membantu membetulkan  arah tuju   negara  ke  jalan  yang  benar  dengan  mendesak kerajaan membetulkan  kesilapannya  dan  sedar  betapa  rakyat  marhaen  amat  perihatin kepada segala kerakusannya. Bercanggah  dengan  saranan  Mahathir,  sikap  ketegasan para pelajar  dan  rakyat  marhaen  kepada  korupsi  yang  berleluasa  dan  salah guna kuasa yang  akan  menyelamatkan  Malaysia  daripada terjerumus  ke  kancah  kemusnahan yang kini  melanda  Indonesia. 

Kita  boleh  menerima  pakai  saranan Mahathir  yang berpendapat  bahawa  para pelajar mungkin  tidak  selalu  betul  dalam  kritikan  mereka  terhadap  kerajaan. Akan tetapi,  jika  demikian  halnya,  kerajaan boleh  mengatasi masalah  ini dengan mudahnya  dengan  memberikan  gambaran  keadaan  sebenar  kepada  para  pelajar dan masyarakat  awam.  Oleh  kerana  Kerajaan  menguasai  sepenuhnya  segala  bentuk media massa,  sebarang  bantahan   pelajar  seharusnya  tidak  menjadi  satu  cabaran besar kepada  kerajaan,  apatahlah lagi  seandainya  kerajaan  itu  benar  dan  jujur. Akan tetapi,  seandainya  telah  terjadi  perlakuan  jenayah  yang  serius,  seperti kepimpinan  kerajaan  terbabit  dalam  pengaiban  mantan  timbalan  perdana menteri melalui    kerenah  konspirasi   politik,  ataupun  korupsi yang  berleluasa dan salah guna  kuasa, makanya  adalah satu kemestian  kalau-kalau    kepimpinan kerajaan itu  menjadi  tergugat  dan  gelabah  terhadap  sebarang  pertanda   kebangkitan rakyat marhaen, kerana  takutkan  terdedahnya  kebenaran  yang membolehkan  kebangkitan marhaen itu  merebak  ke satu  tahap   yang   tidak  terkawal  lagi. 

Gelagat  histeria  Mahathir  mencemuh  himpunan   pelajar  secara  aman  sebagai rusuhan   untuk  menghancurkan  negara  adalah  satu  gambaran  kepada  kategori  sikap kesangsian  yang  baru  disebut  tadi. 

3.  Apabila  para  pelajar  mengadu  terhadap  korupsi,  kronisme,  salah  guna kuasa dan  pembaziran  projek  mega,  Mahathir  menasihati  mereka  agar  bersabar dan  tunggu   giliran  mereka  pula, ataupun  sebagai  alternatif,  menghormati sistem demokrasi dengan  tidak  menentang  kerajaan  selain  daripada  melaksanakan  tugas mengundi  pada pilihanraya  umum  (sekali  setiap  lima  tahun)  untuk  menentukan  perubahan yang mereka  impikan. 

Fahaman  Mahathir  terhadap  demokrasi ialah  setakat  mempunyai  hak  mengundi pada pilihanraya, dan  bukannya  kepada  hak  membantah  antara  pilihanraya  itu. Inilah cadangan  yang  haprak  dan  boleh  ditertawakan. 

Peringatan  beliau  agar   pelajar  memerhatikan  sahaja   negara  mereput daripada satu  krisis  keyakinan  kepada  yang  lagi  satu  adalah  untuk  membolehkannya terus memerintah  tanpa  gangguan. Di  waktu  yang  sungguh  mencabar ini,  ketika  negara  dilanda  gelombang revolusi ICT dan  kebebasan  pasaran  yang  pasti  akan  tiba,  kita sepatutnya  tidak boleh leka  dan  alpa  untuk  menentukan  negara  maju  ke  hadapan  pada  satu  hala tuju yang  baru   yang  bersesuaian  untuk  menangani    segala  cabaran  yang datang  dan menanganinya  dengan penuh keyakinan.

Kim  Quek

Jumlah pembaca:orang