NATIJAH PENGGABUNGAN KeADILan- PRM

OLEH RAJA ANWAR RAJA ABDULLAH

Para perwakilan dalam Perhimpunan Agung Khas Parti Keadilan Nasional yang diadakan di Bangunan Angkasa ,Petaling Jaya, pada 24 Jun yang lalu telah meluluskan dua daripada tiga usul iaitu Usul 1 soal penggabungan dan Usul 3 memberi mandat kepada MPT untuk meneruskan usaha penggabungan . Manakala Usul kedua , soal pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti 2/3 telah tidak kesampaian.

Usul 1 dan usul 3 hanya memerlukan simple majority sahaja manakala usul 2 memerlukan majoriti 2/3. Hampir 64 % para perwakilan mengundi menyokong ketiga – tiga usul tersebut.

Natijah daripada penggabungan ini rasanya amat merunsingkan Mahathir dan BN secara keseluruhannya kerana dengan penggabungan ini akan terbukalah satu era baru dimana politik berbilang kaum akan mendapat tempat seluas – luasnya dalam persada politik tanah air dan meminggirkan politik perkauman sempit yang semakin tidak relevan lagi.

Maka kitalah sebagai pelopor kepada kepada politik baru ini.

Politik berbilang kaum berteraskan Melayu adalah agenda yang amat relevan dan ini diakui sendiri oleh para Think-tank Mahathir dan amat ditakuti oleh BN. Kemasukkan ahli Angkatan Keadilan Rakyat Sabah (AKAR) dari keturunan Cina di Sabah ke dalam UMNO membuktikan parti perkauman dalam BN menjadi semakin tidak relevan lagi.

Dalam konteks Bahagian Padang Serai soal penggabungan itu mendapat respons yang amat baik sekali. Baru – baru ini seorang doktor keturunan Cina yang mengusahakan pusat haemodialisis Taman Selasih serta kaum keluarganya telah memohon menjadi ahli KeADILan – Rakyat (nama yg. Beliau berikan pada gabungan ini) kerana katanya bapa dan abangnya dahulu adalah aktivis Parti Buruh dan memberi jaminan ramai lagi aktivis seangkatan dengan mereka yang akan menyerahkan borang menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat Malaysia. Mereka hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk berbuat demikian . Kalau beginilah respons yang kita terima maka menjelang pemilu 2003/2004 nanti bukan sahaja negeri Kedah Darul Aman akan jatuh ke tangan BA malah Kerajaan Pusat pun mampu diambil alih oleh BA. InsyaAllah.

Mengulas tentang Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS ,Dr. (tidak mahu disiar namanya) itu menambah BA seharusnya dibiarkan memerintah dahulu dan kemudian barulah PAS diberi peluang menggunakan media – media seperti TV dan surat khabar untuk memberi penjelasan sejelas – jelasnya kepada masyarakat bukan Islam tentang perundangan Islam. Ini adalah kerana masyarakat bukan Islam selama ini telah diberikan gambaran yang amat menakutkan tentang Islam oleh BN. Maka untuk menerima konsep negara Islam buat masa ini rasanya akan menjauhkan masyarakat bukan Islam kepada BA. Kami bukan menentang Negara Islam tetapi dengan kempen besar-besaran BN menentang Isu tersebut kami juga merasa amat keliru sekarang ini kerana penjelasan oleh YAB Hj. Hadi Awang di Alur Setar baru – baru ini memperlihatkan keindahan Islam itu tetapi UMNO sendiri yang terdiri dari orang Islam menentang dan memburuk – burukkan Negara Islam. Tambah beliau lagi, UMNO, MCA, MIC dan semua komponen BN menentang Negara Islam termasuklah DAP di pihak BA . Oleh itu beliau menyarankan – Beri peluang BA memerintah malaysia terlebih dahulu , kemudian diberi penjelasan sebaiknya dan di jalankan undang – undang Islam yang mana yang boleh diterima oleh masyarakat bukan Islam dan barulah diterap sedikit demi sedikit undang- undang itu setelah penjelasan demi penjelasan diberikan sehingga mereka benar – benar berpuas hati, barulah undang – undang itu dilaksanakan. Jika PAS dan DAP asyik bertikam lidah melalui akhbar milik BN sahaja pakatan kita ini akan menemui kegagalan katanya sambil mengakhiri perbualan kami.

Seorang pekerja swasta di Perai, En. Poh Thiam Weng yang sama-sama berada di situ menyarankan agar BA berunding sesama sendiri dan menentu pembahagian kerusi dikalangan komponen nya peringkat Negeri Kedah. Saranan beliau seterusnya ialah pihak PAS jangan bertanding lebih daripada 2/3 jumlah kerusi dalam DUN Kedah. Jika kerusi masih lagi 36 maka PAS janganlah bertanding lebih dari 23 kerusi dan selebihnya ditandingi oleh KeADILan dan DAP sebanyak 13 kerusi . Dengan berbuat demikian pihak penyokong BA dikalangan bukan Islam akan dengan mudah berkempen dikalangan masyarakat mereka untuk menangkis tohmahan BN kepada BA , tambahnya lagi sambil dipersetujui oleh rakan – rakan disekelilingnya.

Sebagai reformis ahli KeADILan saya tidak mahu memberi sebarang ulasan dan hanya melaporkan apa yang dinyatakan sahaja tanpa menambah atau mengedit mana- mana kenyataan oleh mereka yang berhujah tadi. Wallahuaqlam………..

 

Reformasi  3x………….Allah Akbar…3x.

 

Reformis KeADILan
Raja Anwar Raja Abdullah.