Kenyataan Media:  05 Julai 2001

 

Akta Lapuk Diguna Lagi!

 

Parti Keadilan Nasional [keADILan]amat terkejut dengan tindakan terbaru kerajaan Barisan Nasional yang tergamak menahan seorang pelajar Institut Kemahiran Mara, Sdr. Khairul Anuar Ahmad Zainuddin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pagi tadi.  Sepanjang pengetahuan kami, inilah kali pertama seorang pelajar ditahan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri sejak lebih 26 tahun yang lalu.  Pada penghujung tahun 1974, sejumlah pemimpin dan aktivis pelajar telah ditahan di bawah akta warisan penjajah ini.

 

Jelaslah kerajaan Dr. Mahathir Mohamad semakin hari semakin terdesak, sehingga seorang rakyat biasa, remaja yang masih di bangku pengajian, ditahan di bawah ISA demi propaganda murahan kerajaan.  keADILan mengutuk keras penggunaan ISA terhadap rakyat jelata dan menuntut Khairul Anuar dibebaskan atau dibicarakan di mana-mana mahkamah terbuka seandainya beliau didapati melakukan sebarang kesalahan dan bukannya dikurung dan disiksa di bawah akta lapuk ketinggalan zaman ini.

 

keADILan sekali lagi mengulangi desakan agar semua rakyat negara ini  yang masih ditahan tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting supaya segera dibebaskan tanpa syarat.

 

 

 

 

 

MOHD ANUAR TAHIR

Setiausaha Agung

Parti Keadilan Nasional [keADILan]